Jalan Negeri Kedah K803 (dikenali sebagai Jalan Kampung Kuala Sedim dan Jalan Kuala Sedim) ialah jalan negeri utara-selatan yang terletak di Daerah Kulim, dalam negeri Kedah, Malaysia.[3] Penghujung selatan K803 terletak di FT 136 (Jalan Bandar Baharu–Merbau Pulas) di Kampung Sungai Karangan manakala penghujung utaranya terletak di sebatang jalan kampung di Kampung Kuala Sedim,[4] dengan panjang jajarannya mencecah 4.33 kilometer (2.7 bt).[1][2]
Gambaran keseluruhan
Jalan Negeri K803 merupakan sebatang jalan raya yang berstatus jalan negeri, yang dibina dan diwartakan di bahagian barat laut Daerah Kulim, Kedah. Secara pentadbiran, perwartaan jalan negeri ini terletak di dalam kawasan pentadbiran Mukim Sidam Kanan yang bersempadan secara langsung dengan Daerah Kuala Muda di bahagian utaranya. Pewartaan jalan negeri ini juga terletak di kawasan luar bandar, dengan panjang keseluruhan mencecah 4.33 kilometer (2.7 bt) dan luas jalan raya iaitu sebanyak 31,465.50 meter persegi (338,691.8 ka2).[5] Selain itu juga, K803 ialah jalan raya tunggal utara-selatan yang mempunyai dua lorong dari permulaan hingga pengakhiran hayat laluan. Ia diselia sepenuhnya oleh JKR Daerah Kulim/Bandar Baharu, melalui Kerajaan Negeri Kedah.[1][6] Untuk perkhidmatan penyelanggaran jalan, K803 terletak di Zon Padang Serai selian JKR Daerah Kulim/Bandar Baharu. K803 dikenali sebagai Jalan Kuala Sedim dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).[1][2][5]
K803 bermula sebagai kilometer sifar di Kampung Sungai Karangan, di simpang tiga FT 136 (Jalan Bandar Baharu–Merbau Pulas) berdekatan dengan bangunan Balai Polis Sungai Karagan dan Masjid Nurul Ehsan Sungai Karangan. K803 hanya bertindak sebagai cabang jalan (spur road) kepada FT 136. Pada peringkat awal, K803 bakal melewati kawasan perniagaan, perumahan kos rendah dan perindustrian Taman Kenangan di sisi barat jalan negeri ini manakala di sisi timur pula terdapat bangunan Balai Polis Sungai Karangan, Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Utara serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Karangan. Setelah menjelajah sepanjang 550 meter ke utara, K803 akan meninggalkan kawasan Taman Kenangan dan bakal memasuki kawasan ladang kelapa sawit Ladang Rivington dan Ladang Titi Karangan. K803 juga akan berkelok dari utara ke utara-barat laut dengan melewati kawasan perkampungan kecil, Kampung Paya Kelubi.[2][6]
Berdekatan dengan punca bagi Sungai Karoh Satu (Sungai Karoh 1) dan likuan Sungai Karangan, K803 bakal bersimpang dengan sebatang jalan kampung ke Kampung Gajah Merangkak, yang bernama Jalan Kampung Gajah Merangkak. K803 diteruskan menuju ke utara-barat laut dengan melewati ladang kelapa sawit Ladang Titi Karangan sekali lagi. Kira-kira tiga kilometer dari penghujung selatan berdekatan dengan sumber Sungai Karoh Tiga (Sungai Karoh 3), K803 akan berkelok ke barat laut. K803 diteruskan sehingga penamatnya di kawasan perkampungan Kampung Kuala Sedim dan bakal dilanjutkan dengan sebatang jalan kampung sedia ada.[2][6]
Persimpangan utama
Kesemua bahagian laluan negeri ini terletak di Daerah Kulim, Kedah, Malaysia.