Kuching merupakan sebuah daerah pentadbiran yang berada di wilayah Sarawak, Malaysia. Daerah ini berada di bawah pentadbiran Bahagian Kuching. Pusat pentadbiran bagi daerah ini ialah Bandaraya Kuching, yang juga merupakan pusat pentadbiran bagi Bahagian Kuching dan wilayah Sarawak. Daerah ini juga mempunyai sebuah daerah kecil, iaitu Padawan.
Daerah ini dianggarkan mempunyai keluasan sebanyak 1,498 kilometer persegi dan jumlah penduduk seramai 609,205 orang pada tahun 2020.[1] Daerah ini juga merupakan daerah paling ramai penduduk dan paling padat di Sarawak.
Daerah Kuching terletak di barat negeri Sarawak, dan di timur bahagian Kuching. Daerah Kuching bersempadan dengan daerah Asajaya di timur laut, daerah Samarahan dan Siburan di timur, daerah Tebedu di tenggara, daerah Bau dan Lundu di barat serta Laut China Selatan di utara. Daerah ini juga bersempadan antarabangsa dengan Kalimantan Barat, Indonesia di selatan.
Daerah Kuching mempunyai keluasan kira-kira 1,498 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 1,235 meter. Bentuk muka bumi daerah ini kebanyakannya merupakan kawasan rata dan mendatar. Terdapat juga beberapa kawasan di hujung selatan dan utara daerah ini yang merupakan kawasan yang sedikit tinggi dan berbukit.
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Kuching ialah seramai 609,205 orang dengan kepadatan penduduk 410 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 142,732 isi rumah dengan 180,026 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Kuching merupakan Bumiputera dengan majoriti antara mereka berbangsa Melayu. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan kedua terbesar diikuti masyarakat berbangsa India. Penduduk bukan warganegara hanya terdiri daripada 9,977 orang.[2][3]
Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[2][4]
Di daerah Kuching, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 40 peratus diikuti agama Kristian sebanyak lebih 32 peratus. Penduduk beragama Buddha membentuk kelompok ketiga terbesar dengan peratusan lebih 24 peratus dari jumlah penduduk. Sebanyak satu peratus daripada jumlah penduduk terdiri daripada penduduk tidak beragama. Penduduk beragama Hindu dan lain-lain membentuk kumpulan minoriti.
Daerah Kuching merupakan sebuah daerah di kawasan bandar dengan fasiliti kemudahan yang lengkap. Dari segi fasiliti pendidikan, daerah ini mempunyai 188 buah sekolah yang diletakkan di bawah pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching dan Pejabat Pendidikan Daerah Padawan. Dari segi fasiliti kesihatan, daerah ini mempunyai empat hospital kerajaan iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Petra Jaya, Hospital Psikiatrik Sentosa dan Hospital Rajah Charles Brooke Memorial serta lima hospital swasta. Daerah ini juga mempunyai 22 balai polis dan empat balai bomba.[2]
Rujukan
^Malaysia, Department of Statistics. "Kuching Kawasanku | OpenDOSM". open.dosm.gov.my (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-11-12.