Berhadapan dengan Selat Melaka, Port Dickson menawarkan pantai-pantai yang tidak terlalu jauh dari pusat bandarnya untuk penduduk tempatannya berehat, berkelah, berenang dan sebagainya. Antara pantai-pantai yang ada di bandar ini termasuklah Teluk Kemang dan Tanjung Biru (Blue Lagoon).
Bersama-sama dengan Nilai dan Seremban, Port Dickson adalah sebahagian daripada koridor Lembah Wawasan Malaysia, iaitu sebuah kawasan pembangunan ekonomi yang meliputi bahagian barat Negeri Sembilan.
Sejarah
Port Dickson mendapat nama dari pegawai tinggi British bernama Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat semasa akhir abad ke-19. Sebelum tempat ini dibangunkan dan dimajukan ianya dikenali dengan nama Tanjung oleh orang Melayu tempatan kerana kedudukannya di sebuah tanjung kecil. Orang Cina dan India tempatan pula menamakan tempat ini sebagai Alang atau Arang oleh kerana berhampiran dengan tanjung tersebut terletak sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arangnya dan membekalkannya kepada kawasan berhampiran.
Setelah menyedari Arang mencapai kemajuan yang pesat sebagai kawasan perindustrian dan Tanjung sebagai kawasan bandar yang membangun dengan cepatnya, Setiausaha Negeri-negeri Selat, Sir John Frederick Dickson, terus mewartakan supaya Tanjung dijadikan sebuah pelabuhan yang strategik dan juga menjadikannya sebagai tempat istirahat untuk pegawai dan peladang British.
Pembangunan pelabuhan itu juga membolehkan orang-orang British mengambil kesempatan dari perniagaan rempah, teh dan sutera yang menguntungkan antara India dan China. Aktiviti perdagangan yang sibuk antara peniaga dua negara tersebut menonjolkan Selat Melaka sebagai satu tempat perhentian yang sesuai dan praktikal kerana kedudukannya di pertengahan perjalanan bagi saudagar-saudagar kapal itu.
Bagi melengkapi keberkesanan pelabuhan baru ini, berikutnya pada tahun 1891, satu landasan kereta api sepanjang 39 km telah dicadangkan untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Pelan yang dirangka membolehkan pelbagai jenis barangan yang dibawa oleh kapal niaga seperti rempah-ratus, beras, ubi kayu diangkut melalui keretapi dari pelabuhan ke Sungai Ujong.[1]
Perkembangan
1889 - Pekan Port Dickson dibuka.
1891- laluan kereta api telah dibina dari Seremban hingga ke pelabuhan Port Dickson.
1933 - Port Dickson telah dipilih sebagai penempatan kem Angkatan Tentera Melayu dan Maktab Tentera Persekutuan (kini Maktab Tentera Diraja). Kem ini dikenali sebagai Kem Haig Lines di Si Rusa, yang kini menempatkan Kolej Pegawai Tidak Tauliah (PTT). Terdapat juga kem-kem lain seperti Kem Segenting, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), dan Kem Sebatang Karah.
1962 - loji penapisan minyak Shell didirikan. Shell merupakan syarikat petroleum multinasional berasal dari Belanda. Kilang ini didaftarkan sebagai Syarikat Shell Petrol and Trading dapat menghasilkan 700 liter tan minyak. Keperluan kilang penapisan petroleum amat penting agar Malaysia tidak bergantung kepada minyak dari Pulau Bukom, Singapura. Petroleum mentah diimport dari Arab Saudi, Kuwait, Iraq dan Iran.
1964 - Esso membuka loji penapisannya sebagai saingan kepada Shell. Rakyat tempatan diambil bekerja di dalam kilang ini.
1965 - Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar dibina bagi membekalkan tenaga elektrik. Janakuasa ini menggunakan petroleum sebagai bahan bakar. Janakuasa ini sering disalah anggap sebagai kilang Shell dan kilang Esso.
1 Disember 1979 - Majlis Daerah Port Dickson ditubuhkan.
Port Dickson terkenal kerana adanya jajaran pantai yang panjang dan indah sejauh 18 km dari Tanjung Gemuk di utara hingga ke Pasir Panjang di selatan. Pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan, bilik mandi dan tandas serta pondok-pondok rehat. Salah satunya ialah Pantai Teluk Kemang yang terletak antara Batu 7 dan Batu 8.
Penginapan
Terdapat banyak hotel, chalet dan resort dibina di Teluk Kemang dan di Port Dickson. Antaranya termasuklah: