Kuala Pilah (sebutan dalam loghat tempatan: Kolo Pilah; Jawi: كوالا ڤيلهcode: ms is deprecated ), juga diringkaskan sebagai Pilah sahaja, merupakan sebuah bandar yang terletak di daerah senama di tengah Negeri Sembilan, Malaysia, serta merupakan pusat pentadbiran bagi daerah berkenaan.
Bandar ini terkenal dengan seni bina rumah-rumah kedai berhias cantik cerminan kemewahan para pengusaha syarikat milik mereka yang berniaga di sini pada sekitar 1910-an dan 1920-an ketika ia menjadi tempat pertemuan jalan-jalan timur dan barat Semenanjung.[1]
Geografi
Bandar Kuala Pilah terletak di bahagian hulu Sungai Muar, di lereng timur Banjaran Titiwangsa. Jaraknya ke ibu negeri, Seremban, adalah sekitar 39 km (22.3 bt) ke arah barat. Seri Menanti, iaitu bandar diraja bagi Negeri Sembilan, terletak 14 km (8.7 bt) ke arah barat daya.
Pentadbiran
Bandar Kuala Pilah merangkumi mukim-mukim Pilah, Ulu Muar dan Melang di dalam Daerah Kuala Pilah, iaitu salah satu daripada tujuh daerah yang terdapat di Negeri Sembilan. Bandar ini juga merupakan ibu daerah bagi daerah berkenaan.