Kuala Pilah merupakan salah satu daripada tujuh daerah yang terdapat di Negeri Sembilan, Malaysia. Daerah ini berkeluasan 1090 kilometer persegi dan merupakan daerah yang ketiga terbesar di Negeri Sembilan selepas Jempol dan Jelebu. Kuala Pilah terletak di tengah-tengah Negeri Sembilan dikelilingi oleh daerah Jelebu di utara, daerah Jempol di timur, daerah Rembau dan Tampin di selatan serta daerah Seremban di barat.
Kawasan pentadbiran
Daerah Kuala Pilah ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Pilah yang berpusat di Bandar Kuala Pilah. Daerah ini merangkumi 11 buah mukim dengan 441 buah kampung dan ditadbir oleh 125 buah JKKK yang merangkumi kampung tradisional, kampung baru dan perkampungan orang asli.
Berikut adalah senarai mukim yang terdapat di daerah Kuala Pilah dan jumlah kampung[3]:-
Memandangkan banjaran Titiwangsa merentasi daerah Kuala Pilah, keadaan bentuk muka bumi di daerah ini keseluruhannya adalah kawasan tanah tinggi, terutamanya di sebelah utara dan barat. 50 peratus kawasan tanah tinggi ini masih lagi diliputi oleh hutan. Kawasan-kawasan hutan ini telah diwartakan sebagai hutan rizab seperti Hutan Rizab Pelangai, Hutan Rizab Berembun, Hutan Rizab Angsi dan Hutan Rizab Johol. Antara gunung-gunung dan puncak tinggi yang terdapat di daerah Kuala Pilah ialah Gunung Angsi (825 meter), Gunung Datuk (884 meter), Gunung Gagak (807 meter), Gunung Pasir (892 meter), Bukit Ulu Pilah (911 meter) dan Bukit Sangkar Puyoh (856 meter).
Sementara itu tanah pamah dan tanah yang mempunyai ketinggian sederhana terletak di bahagian tengah, timur dan selatan yang meliputi 45 peratus daripada jumlah keluasan daerah Kuala Pilah. Kebanyakan kawasan-kawasan ini telah dijadikan kawasan peladangan dan pertanian. Kawasan ini pula kebanyakannya meliputi kawasan di sepanjang Sungai Muar, Sungai Seri Menanti, Sungai Terachi dan Sungai Batang Pilah yang meliputi 5 peratus keluasan daerah Kuala Pilah.
Iklim
Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[5] Purata suhu ialah 26.4 °C (79.5 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 27 °C (80.6 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 25.7 °C (78.3 °F).[5] Purata kerpasan di Kuala Pilah adalah 1,960.8 milimeter pertahun. Bulan Disember merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 237.9 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 105.5 milimeter.[5]
Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Kuala Pilah ialah seramai 70,331 orang dengan kepadatan penduduk 69 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk 81 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Sebanyak dua peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[6]
Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 105:100. Terdapat 24,008 tempat kediaman dengan sebanyak 18,715 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 48 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 16 ribu dalam golongan muda dan selebihnya lima ribu orang merupakan warga tua.
Majoriti penduduk di daerah Kuala Pilah beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[6]
Di daerah Kuala Pilah terdapat 14 buah perkampungan orang asli. Perkampungan orang asli tersebut terletak di Mukim Seri Menanti (satu kampung), Mukim Langkap (satu kampung), Mukim Ulu Jempol (dua kampung) dan Mukim Johol (10 kampung). Majoriti masyarakat orang asli ini masih mengamalkan animisme manakala sebahagian kecil yang lain menganut agama Islam.
Sosioekonomi
Tumpuan daerah Kuala Pilah ialah dalam bidang pertanian dan penternakan sebagai sumber utama ekonomi. Bidang-bidang pertanian yang utama ialah getah, kelapa sawit, padi dan buah-buahan serta tanaman buah naga. Sementara itu terdapat juga tempat tarikan pelancongan seperti Taman Rekreasi Ulu Bendul, Empangan Talang, Perkampungan Budaya Terachi, Bandar Diraja Seri Menanti, Hutan Lipur Batu Maloi, Gunung Pasir dan Jeram Tengkek.
Sistem perhubungan
Jumlah jarak jalan raya di daerah Kuala Pilah ialah 978 kilometer terdiri daripada jalan persekutuan sepanjang 102 kilometer, jalan negeri sepanjang 274 kilometer dan jalan kampung sepanjang 602 kilometer.[3] Daerah Kuala Pilah boleh dihubungi dari Seremban melalui LP 51Laluan Persekutuan 51, Bahau melalui LP 13Laluan Persekutuan 13, Jelebu dan Tampin melalui LP 9Laluan Persekutuan
Masalah jalan utama Seremban - Kuala Pilah ialah kesesakan melampau pada setiap hujung minggu bermula Jumaat petang. Ini disebabkan tabiaat balik kampung oleh mereka yang tinggal bekerja di Kuala Lumpur dan Seremban. Tiap minggu orang Pilah kena balik kampung menjengok orang tua dan lembu kambing yang ditinggalkan di kampung. Ada diwar-warkan oleh kepimpinan lama kerajaan untuk pembinaan jalan pintas Highway Utara/Selatan terus ke Kuala Pilah via Talang skip Ampangan/Bukit Putus. Namun setakat ini tidak ada apa yang berlaku sementelahan pula pemerintah sudah bertukar dari BN ke Perpaduan cum AI. Rakyat masih menganga melihat celoteh pemimpin.
Infrastruktur
Daerah Kuala Pilah dilengkapi dengan infrastruktur yang sangat lengkap merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan komuniti. Dalam kemudahan pendidikan, terdapat 62 institusi pendidikan terdiri daripada 48 sekolah rendah dan 14 sekolah menengah. Dalam aspek keagamaan, terdapat 68 masjid dan 242 bagi kemudahan penduduk beragama Islam, 13 tokong penduduk beragama Buddha, lapan kuil penduduk beragama Hindu dan dua gereja bagi penduduk beragama Kristian. Bagi aspek perubatan, terdapat sebuah hospital kerajaan iaitu Hospital Tuanku Ampuan Najihah, tujuh pusat kesihatan, sebuah klinik pergigian, 22 klinik desa dan lapan klinik swasta.Bagi kegiatan komuniti penduduk, terdapat 123 balai raya dan lapan dewan orang ramai di sekitar daerah.[3]