Dato' SriDr.Adham bin Baba (Jawi: ادهم بن بابا; lahir 6 Oktober 1962) merupakan seorang ahli politik Malaysia dan bekas Menteri Kesihatan dari 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Tenggara sejak 2018 hingga kini. Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan JohorPasir Raja pada 2008 hingga 2018.[2]
Kerjaya
Adham berkelulusan ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya pada tahun 1987. Selepas graduasi, beliau bertugas sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan pada 1988 hingga 1990. Pada tahun yang sama, Adham memulakan kerjaya pertama beliau sebagai seorang doktor perubatan dalam sektor swasta pada 1990 hingga sekarang. Beliau mempunyai sebuah klinik peribadi iaitu Klinik Adham Sdn. Bhd. dan 18 cawangan klinik tersebut.[3]
Beliau mula terlibat dalam politik pada 1991 dengan memegang jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Senai. Selepas itu, beliau mula memegang portfolio penting di kementerian. Antaranya, Pegawai Khas Pendidikan di Kementerian Belia dan Sukan dari tahun 2000 hingga 2004. Pada tahun 2004, beliau telah bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi sehingga 2008.[3]
Beliau turut memegang beberapa jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan antaranya Pro Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2013 hingga 2018.[3] Selain itu, beliau pernah menjadi Pengerusi UniKL Medical Services Sdn Bhd. pada 2010 hingga 2015.[3]
Pada 2004, beliau telah diberikan mandat oleh penduduk di Dewan Undangan Negeri Pasir Raja, Johor dan terpilih menjadi wakil rakyat apabila berjaya meraih majoriti undi. Beliau menjadi ADUN kawasan itu sehingga 2018. Beliau meningkatkan kerjaya politiknya dengan bertanding bagi kerusi Parlimen Tenggara dalam pilihan raya umum ke-14 dan berjaya meraih kemenangan.[3]
Kontroversi
Dakwaan Minum Air Suam Mencegah Covid-19
Pada 19 Mac 2020, Adham dalam wawancara Bicara Naratif di TV1, menasihat orang ramai bahawa minum air suam dapat mencegah jangkitan penyakit COVID-19 kerana virus tersebut tidak tahan panas, dan apabila dialirkan dari kerongkong ke dalam perut, asid dalam perut dapat membasmi virus. Dakwaan beliau seterusnya menjadi viral dalam laman media sosial, dengan ramai netizen yang mempersoalkan saranan beliau.[4]
Nur Amalina Che Bakri mengkritik Adham kerana tidak ada sumber saintifik yang membuktikan asid dalam perut dapat membunuh virus.[5]Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga pernah memberi nasihat bahawa walaupun mengambil air yang mencukupi adalah penting untuk menjaga kesihatan badan, ia tidak dapat mencegah jangkitan koronavirus,[6] manakala bekas Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye juga menyangkal pendapat tersebut. Boon Chye menjelas bahawa COVID-19 adalah jangkitan saluran pernafasan yang amat dalam, sedangkan minum air suam melibatkan sistem gastrointestinal yang mempunyai laluan berbeza, walaupun berkongsi kawasan umum di dalam kerongkong. Beliau juga berpendapat bahawa walaupun suhu panas dapat membunuh virus, tetapi air yang diminum perlu mencapai suhu yang amat tinggi, dan pesakit akan mati dahulu kerana air panas disiram terus ke paru-paru dan membanjirinya.[7][8]
Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah turut membantah dakwaan Adham, dan menekankan bahawa rawatan untuk semua pesakit COVID-19 sentiasa berdasarkan bukti-bukti saintifik.[9]
Hantaran Politik di Laman Facebook Kementerian Kesihatan
Pada 15 April 2020, laman rasmi FacebookKementerian Kesihatan Malaysia berkongsi sebuah hantaran daripada halaman "Friends of Adham Baba".[10] Hantaran tersebut memuji sumbangan Adham dalam menangani pandemik COVID-19 dan juga mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan tidak efektif dalam menentang krisis tersebut.[11][12]
Hantaran tersebut dipadamkan selepas dikritik oleh para netizen yang menganggap bahawa Kementerian Kesihatan sepatutnya bersikap neutral dan tidak melibatkan unsur politik.[13]
Dakwaan Kerajaan Pakatan Harapan Gagal Membendung Kluster Himpunan Tabligh
Pada 18 April 2020, dalam sebuah sesi telesidang dengan Presiden UMNOAhmad Zahid Hamidi yang disiar langsung, Adham mendakwa bahawa Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini gagal membendung kluster himpunan tabligh yang menjadi kluster terbesar penyakit COVID-19 dalam Malaysia.[14] Beliau dilaporkan berkata bahawa sekiranya kerajaan PH ketika itu berjaya membendung penularan Covid-19, Malaysia hanya akan berdepan kluster jangkitan yang kecil.[15]
Himpunan tabligh yang melibatkan 16,000 peserta telah diadakan pada Februari 27 hingga Mac 1 di Masjid Jamek Sri Petaling, dan pada masa itu, Malaysia dipimpin oleh Mahathir bin Mohamad yang menjadi perdana menteri sementara, negara tiada kerajaan sepanjang tempoh itu. Krisis politik tersebut berlaku susulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan sebahagian ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang sebelum ini merupakan parti komponen Pakatan Harapan, membuat keputusan untuk tarik diri daripada pakatan tersebut dan menubuhkan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Perikatan Nasional yang baru ditubuhkan membentuk kerajaan pada Mac 1, tanpa malalui pilihan raya.[16][17][18]
Kementerian Kesihatan tidak mempunyai Menteri Kesihatan bermula 24 Februari apabila kabinet dibubarkan, dan keadaan ini berterus sehingga Kabinet Muhyiddin mengangkat sumpah pada Mac 9 semasa COVID-19 semakin menular di Malaysia.[19]
Pada 18 April 2020, dalam sebuah sesi telesidang dengan Presiden UMNOAhmad Zahid Hamidi yang disiar langsung, Adham berkata bahawa beliau telah menyertai sesi video-conferencing Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melibatkan 500 negara. Ahmad Zahid pula mengucapkan tahniah beberapa kali semasa Adham menceritakan tentang perkara tersbut. Adham juga berpendapat bahawa beliau amat yakin pencapaiannya sebagai Menteri Kesihatan diiktiraf seluruh dunia.[22] Petikan perbualan dalam video berkenaan kemudian ditularkan netizen, yang rata-ratanya menjadikan kenyataan beliau sebagai bahan jenaka.[23]
Pada hari kemudian, Adham mengakui bahawa beliau tersilap cakap dan menjelaskan apa yang ingin disampaikan adalah video-conferencing bersama 500 penyerta dari 50 negara.[24] Kenyataan ini dapat dibuktikan dengan foto yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Kementerian Kesihatan pada 27 Mac, yang menunjukkan konferensi WHO yang melibatkan hampir 500 peserta, dan salah satu peserta merupakan Pusat Penyediaan dan Maklum Balas Krisis (CPRC) di bawah penyeliaan KKM.[25][26]
Kehidupan peribadi
Adham berkahwin dengan Taibah Tabrani dan mempunyai 3 cahaya mata dan 2 anak angkat. Pada 23 April 2007, isteri Adham menderita asma dan pengsan di rumahnya selepas mengalami masalah pernafasan. Beliau kemudian dikejarkan ke hospital namun telah diumumkan meninggal dunia. Pada waktu itu, Adham berada di Auckland, New Zealand atas tugas rasmi.[27]