Perhimpunan agama Jemaah Tabligh yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac 2020 di Masjid Jamek Seri Petaling di Sri Petaling, Kuala Lumpur telah menjadi acara perebakan utamaCOVID-19 dengan lebih daripada 3,300 kes dikaitkan dengan acara tersebut.[4][5] Menjelang 19 Mei 2020, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa 48% kes COVID-19 di dalam negara (3,347 kes) telah dikaitkan dengan kluster tersebut.[6] Selain itu, hampir 10% yang hadir ialah pelawat dari luar negara, menyebabkan penyebaran COVID-19 ke negara-negara lain di Asia Tenggara.[7] Pada 8 Julai 2020, kluster ini telah diisytihar tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.[8]
Walaupun penyebaran COVID-19 melalui kluster ini jauh lebih meluas, himpunan agama Jemaah Tabligh bukanlah kluster yang menyebabkan gelombang jangkitan COVID-19 yang pertama di Malaysia.[9]
Acara
Antara 27 Februari hingga 1 Mac 2020, gerakan Jemaah Tabligh telah menganjurkan persidangan antarabangsa di Masjid Jamek Seri Petaling di Sri Petaling, Kuala Lumpur di Malaysia.[10] Perhimpunan agama tersebut dihadiri oleh kira-kira 16,000 orang peserta (hanya 12,500 orang peserta yang didakwa hadir oleh Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia)[11], termasuk kira-kira 1,500 orang peserta dari luar Malaysia. Para peserta didapati telah berkongsi makanan, duduk bersama, dan berpegangan tangan ketika acara tersebut. Menurut para peserta, pemimpin-pemimpin acara berkenaan tidak menyebut pun tentang langkah berjaga-jaga daripada jangkitan COVID-19, tetapi kebanyakan peserta mencuci tangan semasa acara tersebut. Pihak berkuasa Malaysia telah dikritik kerana membiarkan acara itu diteruskan.[12]
Penyebaran
Perhimpunan Jemaah Tabligh di Sri Petaling telah dikaitkan dengan lebih daripada 620 kes COVID-19 pada bulan Mac 2020, menjadikannya pusat penyebaran virus yang paling terkenal di Asia Tenggara pada ketika itu.[13][14] Sekurang-kurangnya tujuh buah negara telah mengesan kes mereka yang didapati berpunca daripada acara tersebut di Malaysia; sebahagian besar daripada 73 kes COVID-19 di Brunei telah dikaitkan dengan acara tersebut, diikuti dengan 22 kes di Kemboja, 13 kes di Indonesia, 10 kes di Thailand, 5 kes di Singapura, 2 kes di Filipina, dan 2 kes di Vietnam.[15][16][17][18][19]
Menjelang 13 Mac 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyemak semula jumlah peserta majlis Jemaah Tabligh tersebut daripada 5,000 orang kepada 14,500 orang, dan keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa lebih banyak kes positif akan ditemukan.[20] Daripada 14,500 orang peserta, 41 orang telah diuji positif untuk COVID-19, yang menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 238.[21][22] Menjelang 17 Mac berikutnya, majlis itu telah mengakibatkan peningkatan kes positif COVID-19 besar-besaran di Malaysia, dengan hampir dua pertiga daripada 673 kes yang disahkan di Malaysia dikaitkan dengan acara tersebut ketika itu.[23]
Pada 29 Mac 2020, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa kluster Tabligh telah mencapai generasi kelima.[24] Menjelang 19 Mei, Noor Hisham mengesahkan bahawa 48% daripada kes COVID-19 Malaysia ketika itu telah dikaitkan dengan kluster Jemaah Tabligh tersebut.[25]
Kesan
Himpunan Jemaah Tabligh di Sri Petaling dijalankan serentak dengan krisis politik Malaysia yang sedang berlaku ketika itu ekoran daripada peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) diikuti dengan peletakan jawatan Menteri Kesihatan oleh Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Sebelum pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak mempunyai menteri selama lebih dari dua minggu hingga pelantikan Dato' Sri Dr. Adham Baba pada 10 Mac 2020. Sepanjang tempoh itu, hanya terdapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan sahaja untuk meminimumkan pendedahan orang ramai terhadap COVID-19.[26][27]
Berikutan peningkatan kes positif yang mendadak, mulai 11 Mac 2020, Kementerian Kesihatan mula mengesan sekitar 5,000 orang warganegara Malaysia yang disyaki terdedah kepada jangkitan COVID-19 semasa perhimpunan Jemaah Tabligh tersebut di Sri Petaling.[28] Sebilangan besar yang dijangkiti telah kembali ke negeri dan komuniti masing-masing, yang menyebabkan lonjakan penularan komuniti di seluruh Malaysia.[29][30]
Pada pertengahan bulan April 2020, Dr. Adham mengkritik bekas kerajaan iaitu PH dalam isu menangani kluster Jemaah Tabligh di Sri Petaling. Sebagai tindak balas, Dr. Dzulkefly mempertahankan persiapan kerajaan PH terhadap wabak COVID-19 dan mencadangkan agar Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga mantan Menteri Dalam Negeri, bertanggungjawab atas letusan wabak itu kerana sebarang perhimpunan awam seperti majlis Jemaah Tabligh berada di bawah portfolio beliau sebelum ini.[31]
Menjelang akhir tahun 2020, sebuah kilang Top Glove menjadi kluster COVID-19 yang terbesar selepas Jemaah Tabligh setakat ini setelah melaporkan lebih daripada 7,000 kes di Malaysia.[32][33][34]
Pengstigmaan
Terdapat laporan bahawa komuniti-komuniti lain dipersalahkan akibat wabak COVID-19. Penyebaran COVID-19 di Indonesia telah menyebabkan orang awam menyalahkan peraturan kerajaan yang tidak tegas terhadap pekerja-pekerja dan pelancong-pelancong dari China, manakala peserta-peserta himpunan Jemaah Tabligh di Sri Petaling dipersalahkan atas letusan wabak tersebut di Malaysia. Masyarakat Cina juga terlibat dalam pemprofilan agama dan kaum berikutan penyebaran COVID-19 yang berkait dengan kluster Jemaah Tabligh tersebut. Orang Rohingya juga menjadi sasaran dan dituduh menyebarkan COVID-19.[35][36]
^Asyraf Hasnan, Harits (29 March 2020). "Kluster jemaah tabligh COVID-19 memasuki generasi kelima" [COVID-19 Tabligh cluster entering fifth generation]. Astro Awani (dalam bahasa Malay). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 April 2020. Dicapai pada 29 March 2020.CS1 maint: unrecognized language (link)