Perlanggaran LRT Kelana Jaya 2021 (Tulisan Jawi: ڤلڠݢرن ايل. ار. تي. کلان جاي 2021) ialah kemalangan kereta api yang berlaku pada 24 Mei 2021, 20:45 waktu Malaysia, apabila dua buah tren transit aliran ringan (LRT) bertembung di laluan Kelana Jaya di antara Stesen LRT Kampung Baru dengan Stesen LRT KLCC.[1] Kemalangan tersebut mencederakan 213 orang penumpang, termasuk 166 orang cedera ringan dan 47 orang cedera parah.[2]
Kemalangan ini merupakan kemalangan pertama yang berlaku di laluan Kelana Jaya sejak perkhidmatannya bermula pada 1998 dan kemalangan kereta api terburuk di Malaysia setakat ini.[3][4]
Fasa awal laluan Kelana Jaya telah disiapkan pada tahun 1998. Laluan LRT Kelana Jaya merupakan laluan transit rel yang kelima dan juga sistem rel automatik sepenuhnya tanpa pemandu pertama di kawasan Lembah Klang serta merupakan sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang. Dengan perkhidmatan di 37 stesen, laluan ini mempunyai sistem trek bertingkat sejauh 46.4 km yang bergerak di laluan bawah tanah dan jejambat. Dahulunya dikenali sebagai PUTRA LRT, ia kini dikendalikan oleh Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia. Laluan ini dinamakan sempena bekas terminalnya, stesen Kelana Jaya. Laluan tersebut bernombor 5 dan berwarna merah delima di peta transit rasmi. Bahagian yang berlakunya kemalangan tersebut terletak di bawah tanah dan sebahagian daripada sambungan ke stesen LRT Gombak yang dibuka pada tahun 1999.
Laluan tersebut menggunakan sistem Bombardier Innovia Metro, iaitu LRT tanpa pemandu yang beroperasi menggunakan gred pengautomatan tahap 4 (GoA-4). Ketika kejadian ini, salah sebuah tren yang terlibat (tren Bombardier Innovia Metro nombor 81) membawa 213 orang penumpang dari Stesen LRT KLCC ke arah Stesen LRT Gombak, manakala yang sebuah lagi (tren Bombardier Innovia Metro nombor 40) sedang menjalani pandu uji dan dipandu secara manual.[2][5]
Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk mengenal pasti punca kemalangan.[6] Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengatakan bahawa laporan awal kemalangan akan dihantar ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada pagi keesokannya, 25 Mei 2021. Beliau juga menganggarkan proses penyiasatan akan mengambil masa dua minggu bagi mengenal pasti punca kemalangan ini sama ada akibat kesilapan manusia, kegagalan komunikasi atau kegagalan sistem perisyaratan.[5]
Meskipun begitu, beliau bertegas dengan anggapan bahawa perlanggaran itu berlaku akibat kesilapan pemandu tren 40; beliau berkata bahawa tren itu sepatutnya bergerak ke arah selatan (ke stesen Dang Wangi), tetapi sebaliknya dipandukan ke arah bertentangan lalu melanggar tren 81.[7] Kenyataan ini menimbulkan persoalan oleh beberapa pihak, terutamanya bekenaan kegagalan peranan pusat pengendalian dan sistem perisyaratan rel sehingga menyebabkan pemandu tersalah arah.[8]
Muyiddin Yassin Twitter @MuhyiddinYassin Saya telah dimaklumkan oleh YB Menteri Pengangkutan @weekasiongmp bahawa telah berlaku kemalangan yang melibatkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru petang tadi. 24 Mei 2021
Saya telah dimaklumkan oleh YB Menteri Pengangkutan @weekasiongmp bahawa telah berlaku kemalangan yang melibatkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru petang tadi.
24 Mei 2021
Muyiddin Yassin Twitter @MuhyiddinYassin Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang meningkat naik. 24 Mei 2021
Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang meningkat naik.
Kenyataan awal daripada pegawai daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah menyatakan bahawa kemalangan tersebut berkemungkinan berpunca daripada masalah komunikasi dari pusat pengendalian.[5]
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan kemalangan tersebut merupakan kemalangan yang pertama dalam 23 tahun pengendalian sistem tersebut.[5] Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Prasarana Malaysia turut akan membincangkan jumlah insurans yang akan diberikan kepada mangsa kemalangan.[9] Pengerusi Prasarana Malaysia, Dato' Sri Tajuddin Abdul Rahman pula mengatakan bahawa Prasarana Malaysia akan memberikan bantuan khas RM1,000 setiap seorang kepada 213 orang mangsa kemalangan di Laluan Kelana Jaya. Pada sidang media yang diadakan pada keesokan harinya, beliau selanjutnya menyatakan bahawa Prasarana akan menanggung perbelanjaan perubatan semua mangsa sehingga mereka didiscaj.[10]
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan kesemua penumpang yang tercedera dalam kemalangan tren tersebut di Laluan LRT Kelana Jaya pada malam itu dirawat terlebih dahulu.[11]
Pelbagai pihak menyuarakan kritikan terhadap respons bagi perlanggaran ini, terutamanya kepada ketua syarikat Prasarana serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman. Pada awalnya, Tajuddin dikritik kerana tidak turun padang pada momen kejadian itu. Tajuddin menjelaskan bahawa dirinya sedang berada dalam pertemuan bersama dengan pihak sebuah syarikat pada masa itu serta bersiap sedia untuk memperoleh dos kedua vaksin COVID-19-nya yang dijadualkan pada keesokan hari, dan lewat menerima berita tentang kejadian itu.[12] Seterusnya, sidang medianya pada pagi 25 Mei menambahkan lagi kutukan terhadapnya kerana tidak memperlihatkan keseriusan terhadap kemalangan itu. Sidang itu dicemari dengan jenaka tidak wajar terhadap kemalangan,[13] komen berbaur xenofobia/rasis anti-Cina oleh Tajuddin dan perbuatannya yang tidak memakai pelitup muka (sebaliknya memakai pelindung muka lutsinar) dalam situasi pandemik COVID-19 negara sehingga dijadikan kes oleh pihak polis.[14][15][16]
Masalah ini mendorong tekanan oleh pelbagai lapisan masyarakat agar Tajuddin segera meletak jawatan sebagai ketua eksekutif Prasarana, tetapi Tajuddin menyatakan hasrat untuk kekal dengan jawatan itu.[13][17] Bekas Presiden UMNO Najib Razak pula berkata bahawa Tajuddin mengakui kesilapannya dalam sidang media itu, dan berkata bahawa Tajuddin bakal meletak jawatannya pada tarikh yang akan ditentukan oleh pihak UMNO.[18] Menjelang hujung hari itu, Tajuddin disahkan dipecat daripada jawatan itu oleh badan kerajaan pengawal Prasarana (Kementerian Kewangan) susulan isu ini.[19]
Selain itu, kecaman turut dituju kepada jumlah pampasan terhadap mangsa terlibat yang disifatkan terlalu sedikit dan "menghinakan".[13]
Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi pada jam 6 pagi keesokan harinya dengan menggunakan satu landasan serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara di kawasan yang terjejas.
Bahagian landasan dari stesen LRT Damai ke stesen LRT Pasar Seni ditutup (arah selatan dari stesen LRT Gombak). Lima unit bas dua tingkat terdiri daripada Alexander Dennis Enviro500 dan Volvo B8L milik RapidKL dikendalikan dari stesen LRT Pasar Seni ke stesen LRT Ampang Park secara percuma pada waktu puncak. Bas-bas percuma ini beroperasi setiap 15 hingga 20 minit dan akan membawa penumpang dari stesen LRT Pasar Seni dan stesen Ampang Park ke mana-mana stesen. LRT disasarkan kembali beroperasi seperti biasa sepenuhnya tiga hari selepas kemalangan.[20]
Ekoran daripada pengurangan kekerapan tren, perkhidmatan LRT menjadi lebih sesak. Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati dan kebimbangan dalam kalangan netizen mengenai amalan penjarakan sosial ketika negara terus melihat peningkatan kes COVID-19.[21]