4 RapidKL (subsidiari Prasarana Malaysia)
Stesen Bandar Tasik Selatan ialah stesen keretapi yang terletak di Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur. Stesen ini merupakan stesen pertukaran, dimana satu bahagian menyediakan perkhidmatan KTM Komuter Laluan Seremban dan KTM ETS, bahagian lain untuk LRT Laluan Sri Petaling, dan satu bahagian lagi untuk ERL laluan KLIA Transit. Walau bagaimanapun, penumpang yang ingin menukar laluan perlu memperbaharui tiket kerana sistem tiket digunakan adalah berbeza untuk setiap laluan. Sejak 1 November 2011, stesen ini menyediakan perkhidmatan kereta api dari Kuala Lumpur ke Terminal Bersepadu Selatan.
Stesen ini dibuka pada 10 November 1995 apabila perkhidmatan KTM Komuter Kuala Lumpur-Kajang bermula. Perkhidmatan KTM Komuter di stesen ini lalu disertai oleh perkhidmatan LRT STAR apabila fasa kedua LRT STAR mula beroperasi pada 11 Julai 1998. Kedua-dua perkhidmatan ini yang mempunyai bangunan stesen sendiri disambungkan oleh laluan pejalan kaki merentasi landasan LRT STAR.
Kemudian, pada 20 Jun 2002, Express Rail Link (ERL) mula berkhidmat di stesen ini dengan pelancaran perkhidmatan KLIA Transit. Sebuah jejambat pejalan kaki juga dibina merentasi landasan KTM dan ERL untuk menghubungkan perkhidmatan ERL dengan perkhidmatan KTM dan LRT. Pada tahun 2008, ETS mula berkhidmat di stesen ini dengan pelancaran perkhidmatan ETS Ipoh-KL-Seremban. Namun begitu, perkhidmatan ETS ditamatkan di stesen ini beberapa tahun sebelum dikembalikan semula pada tahun 2015.
Sebuah laluan pejalan kaki telah dibina bagi menghubungkan stesen ini dengan Terminal Bersepadu Selatan yang baru dibuka pada 1 Januari 2011.[1]
Stesen ini terletak di utara Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur. Di utara stesen adalah Terminal Bersepadu Selatan manakala di selatan stesen adalah LP 28 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Terletak kira-kira 1km barat daya stesen adalah Persimpangan Bandar Tasik Selatan Lebuhraya Pantai Timur Lebuhraya Besraya. Juga terletak berhampiran stesen adalah Masjid Zaid bin Thabit, Menara TEKUN dan Kampung Malaysia Tambahan.
→ ETS Laluan ETS menghala ke Padang Besar (KL Sentral)
← ETS Laluan ETS menghala ke Gemas (Kajang)
Stesen ini adalah gabungan tiga stesen berbeza: Stesen KTM Bandar Tasik Selatan, Stesen LRT Bandar Tasik Selatan dan Stesen ERL Bandar Tasik Selatan. Stesen KTM Bandar Tasik Selatan dan Stesen LRT Bandar Tasik Selatan adalah stesen bertingkat dimana ruang legar stesen terletak di atas aras platform manakala Stesen ERL Bandar Tasik Selatan adalah stesen aras tanah dimana ruang legar dan platform terletak di atas tanah. Ketiga-tiga stesen ini disambungkan melalui laluan pejalan kaki yang bermula di pintu masuk stesen sehingga ke Terminal Bersepadu Selatan.[1]
Stesen LRT Bandar Tasik Selatan mempunyai kemudahan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) seperti tanjakan, blok sentuh di lantai dan lif.[2] Selain itu, terdapat sebuah bangunan parkir kereta bertingkat (MSPR) disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).[3]
Selain Terminal Bersepadu Selatan, terdapat sebuah laluan bas RapidKL berkhidmat di stesen ini iaitu T410.
Pada awal pagi Sabtu, 21 Disember 2024 — berlaku kejadian kekecohan yang mengakibatkan kereta api RapidKL menjadi sasaran "amuk gerombolan" di Stesen Bandar Tasik Selatan oleh sekumpulan individu yang disyaki penyokong pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang tidak menerima kegagalan Malaysia memasuki separuh akhir Kejohanan ASEAN 2024 bermula dari Malaysia seri 0-0 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada petang Jumaat, 20 Disember 2024.[4]
Rencana berkenaan kereta api atau tren ini ialah rencana tunas. Anda boleh membantu Wikipedia dengan mengembangkannya.