Sukan Olimpik Musim Panas 2000 (bahasa Inggeris: 2000 Summer Olympics) atau secara rasminya Sukan Olimpik XXVII (bahasa Inggeris: Games of the XXVII Olympiad) dan juga dikenali sebagai Sukan Olimpik Milenium, Sukan Olimpik Milenium Baharu atau Sydney 2000 merupakan satu acara pelbagai sukan antarabangsa yang telah dilangsungkan antara 13 September dan 1 Oktober 2000 di Sydney, New South Wales, Australia.[1] Temasya ini merupakan kali kedua Sukan Olimpik dianjurkan di Australia dan di Hemisfera Selatan selepas Sukan Olimpik Musim Panas 1956 di Melbourne, Victoria.
Sydney dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2000 pada tahun 1993. Edisi Sukan Olimpik ini juga merupakan edisi pertama yang mempunyai lebih daripada 300 buah acara dalam program sukan rasminya. Disebabkan oleh iklim Australia, temasya ini diadakan pada musim bunga dan bukan pada bulan Julai atau Ogos seperti kebanyakan Sukan Olimpik yang lain.
Sukan Olimpik 2000 telah mendapat pujian daripada pelbagai pihak dari seluruh dunia, terutamanya organisasinya, kemesraan sukarelawan dan orang Australia serta sikap sukan pada atletnya.[2] Kejayaan Sydney 2000 juga dijadikan sebagai rujukan oleh pihak penganjur London 2012.[3]
Sydney diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2000 pada 24 September 1993 semasa Sesi IOC ke-101 yang dianjurkan di Monte Carlo, Monaco. Sydney telah mengalahkan Beijing, Berlin, Istanbul dan Manchester dalam empat peringkat pengundingan. Kekalahan Beijing dikatakan sebagai "tamparan yang besar" kepada "keutamaan politik yang penting" bagi Parti Komunis China dan rakyat negara China sehinggalah hampir berlakunya tunjuk perasaan oleh pelajar universiti di Beijing.[4]
Logo rasmi, dikenali sebagai "Orang Milenium"[6], direka bentuk oleh FHA Image Design yang terletak di Melbourne.[7] Logo tersebut menampilkan seorang pelari obor yang terbentuk daripada dua bumerang yang berwarna kuning bagi tangannya dan sebuah bumerang berwarna merah pada kakinya. Obor Olimpik diwakili dengan kepulan asap berwarna biru yang serupa dengan bentuk ikonik Panggung Opera Sydney.
Maskot rasmi bagi Sukan Olimpik Musim Panas 2000 ialah Syd (platypus), Millie (echidna), and Olly (burung kokabura).[8]
Berikut merupakan 10 negara teratas dalam senarai kutipan pingat Sukan Olimpik ini. (Negara tuan rumah diwarnakan)[9]