Sukan Olimpik Musim Panas 1996 (bahasa Inggeris: 1996 Summer Olympics) atau secara rasminya Sukan Olimpiad XXVI (bahasa Inggeris: Games of the XXVI Olympiad) dan juga dikenali sebagai Centennial Olympics atau Atlanta 1996, merupakan satu acara pelbagai sukan antarabangsa yang telah dilangsungkan dari 19 Julai hingga 4 Ogos 1996 di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.[2][3][4] Temasya ini merupakan kali keempat Amerika Syarikat menganjurkan Sukan Olimpik dan turut merupakan ulang tahun keseratus Sukan Olimpik sejak Sukan Olimpik yang pertama. Edisi Sukan Olimpik ini turut merupakan kali pertama Sukan Olimpik Musim Panas dianjurkan pada tahun yang berbeza dengan Sukan Olimpik Musim Sejuk ekoran daripada keputusan baharu IOC yang dibuat pada 1994.
Sukan Olimpik 1996 juga merupakan Sukan Olimpik yang pertama bagi 24 buah negara, termasuklah 11 buah bekas negara Kesatuan Soviet.[5] Amerika Syarikat telah memperoleh tempat pertama dari segi pungutan pingat dalam edisi ini dan ini merupakan kali pertama Amerika Syarikat memperoleh keputusan tersebut sejak Sukan Olimpik 1984.
Atlanta telah dipilih daripada Athens, Belgrade, Manchester, Melbourne dan Toronto sebagai tuan rumah pada 18 September 1990 semasa Sesi IOC ke-96 yang dianjurkan di Tokyo, Jepun.[6] Pada asalnya, ramai orang menggangap Athens, tempat asal Sukan Olimpik, sebagai pilihan tuan rumah Sukan Olimpik 1996 yang terbaik.[7] Namun, rancangan pembidaannya dikatakan terlalu "sombong dan kurang bersedia" oleh ramai pihak dan mempunyai banyak masalah seperti ketidakstabilan politik, masalah keselamatan, pencemaran udara, kesesakan jalan raya dan lain-lain menyebabkan pembidaan tersebut gagal.[8][9] Athens akan menganjurkan Sukan Olimpik pada 2004.
Jadual Pingat Sukan Olimpik Musim Panas 1996
Atlanta 1996 dikritik oleh ramai pihak disebabkan oleh masalah penyediaan makanan dan pengangkutannya.[12] Pada masa yang sama, ramai pihak berpandangan bahawa temasya ini telah diperdagangkan sehingga ke tahap yang terlampau oleh penaja-penaja Atlanta 1996 seperti Coca-Cola dan Nike yang menggunakan cara pengiklanan yang agresif dan teknik "pemasaran serang hendap" (Ambush marketing).[13][14][15]
Selain itu, serangan bom yang berlaku pada 27 Julai di Taman Olimpik Centennial telah menyebabkan dua orang mati dan 111 orang cedera. Bom tersebut ditemui oleh pegawai keselamatan, Richard Jewell. sebelum bom tersebut meletup dan beliau telah menghubungi pasukan keselamatan dan membantu memindahkan orang ramai ke kawasan yang selamat.[16] Namun, bom tersebut telah meletup sebelum semua orang berjaya melarikan diri.[17] Eric Rudolph telah dikenal pasti sebagai perancang serangan bom ini dan telah ditangkap pada 31 Mei 2003.[18] Rudolph telah mengakui bahawa dia yang merancang serangan tersebut atas sebab politik dan beliau telah diberi hukuman pemenjaraan seumur hidup.[19]