Kes COVID-19 di Sukan Olimpik Musim Panas 2020 yang diadakan di Tokyo, Jepun, ialah sebahagian dari kluster penularan SARS-CoV-2 dalam pandemik COVID-19 di Jepun yang bermula di Kampung Olimpik Tokyo 2020 pada Julai 2021 sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 pada 23 Julai 2021. Sukan Olimpik telah tamat pada 8 Ogos 2021 sebelum pembukaan Sukan Paralimpik 2020 pada 24 Ogos 2021. Sukan Paralimpik pula tamat pada 5 September 2021.
Terdapat 788 kes yang dikesan dan dilaporkan oleh Jawatankuasa Pengelola Tokyo 2020 antara 1 Julai dan 8 September 2021, dengan 66 kes tambahan dikesan dalam kalangan kakitangan temasya sebelum tarikh tersebut (tarikh permulaan pencacatan tidak diketahui).[1] Bilangan kes yang tinggi telah menimbul kekhuatiran sebelum temasya tersebut bermula.[2][3] Gelembung biosekuriti yang mengelilingi Kampung Olimpik telah dikatakan "pecah" selepas kes pertama berlaku dalamnya pada tengah Julai.[4]
Kes pertama telah dilaporkan pada 2 Julai apabila Jawatankuasa Pengelola Tokyo melaporkan bahawa dua warganegara Jepun yang bekerja dalam Kampung Olimpik telah diuji positif. Kes positif pertama dalam kalangan atlet dilaporkan pada 15 Julai.[5] Tiga pemain bola sepak Afrika Selatan telah diuji positif beberapa hari sebelum upacara pembukaan berlangsung.[6][3] Ryu Seung-min, seorang bekas atlet Olimpik dan ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dari Korea Selatan telah diuji positif semasa tiba di Tokyo pada 18 Julai.[7] Seorang atlet gimnastik Amerika dan seorang pemain bola tampar berbangsa Czech diuji positif pada 20 Julai.[8]