Anjing penuding berbulu kasar Jerman[a] ialah satu baka anjing penuding bersaiz sederhana yang dikembangkan di Jerman.
Pada awal abad ke-19, terdapat beberapa keragaman anjing penuding berbulu kasar yang terdapat di serata Jerman, dengan beberapa percubaan untuk menyeragamkan keragaman-keragaman ini sebagai baka.[1] Pada satu ketika dalam perkembangan anjing penuding berbulu kasar Jerman, darah anjing gembala lama Jerman diperkenalkan; perkataan stichelhaariger dalam nama asli baka ini diterjemahkan kepada "berbulu kasar", yang mencerminkan darah ini.[1][2] Setelah hampir pupus menjelang pertengahan abad, anjing penuding berbulu kasar ini diselamatkan melalui usaha seorang pembiak baka tunggal dan, pada separuh kedua abad tersebut, percubaan serius dilakukan untuk menyeragamkan jenis. Menjelang penghujung abad, ia diterima sebagai baka tersendiri.[1][3]
Anjing penuding berbulu kasar Jerman tidak pernah sepopular baka anjing penuding Jerman lain dan jarang sekali terlihat di luar Jerman.[3]
Anjing penuding berbulu kasar Jerman ialah baka bersaiz sederhana; penampilannya hampir serupa dengan anjing penuding berbulu dawai Jerman yang lebih banyak dan grifon penuding berbulu dawai. Penampilan keseluruhannya adalah tegap tanpa menjadi terlalu berat.[1][2][3] Piawaian baka menyatakan bahawa ia berdiri setinggi 58–70 sentimeter (23–28 in) dengan jantan yang berdiri setinggi 60–70 sentimeter (24–28 in) dan betina yang setinggi 58–68 sentimeter (23–27 in).[2][4][5]
Perbezaan utama antara baka ini dengan anjing penuding berbulu dawai Jerman ialah kepalanya. Kepalanya lebih berat dan lebih lebar, iaitu trait yang diwarisi daripada leluhur anjing gembalanya; ia mempunyai telinga tergantung dan kening yang amat panjang yang memberikan penampilan hampir mengancam.[1][2] Lapis bulu baka ini yang kaku, kasar, dan kejur biasanya berukuran sepanjang 37 milimeter (1.5 in); lapis bulunya dapat berwarna perang padu, perang kemerah-merahan, kemerah-merahan cerah. Sesetengah anjing mempunyai tompok putih pada dada manakala sesetengah contoh kemerah-merahan juga mempunyai tompok perang pada lapis bulu.[2]
Baka ini diketahui amat agresif terhadap haiwan pemangsa dan berwaspada terhadap orang asing.[2]