Spaniel padang[a] ialah satu bakaanjing bersaiz sederhana daripada jenis spaniel. Ia pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing pertunjukan sepenuhnya hitam pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 dan tidak popular untuk kerja sebagai anjing pemburu. Walau bagaimanapun, semasa pertengahan abad ke-20, ia dikembangkan semula sebagai anjing bertungkai lebih panjang yang lebih sesuai untuk digunakan untuk kerja padang. Ia kini dianggap sebagai baka jarang dan berdaftar sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club.
Bulunya lebih gelap daripada spaniel lain dan tidak mempunyai lapis bulu bawah seperti kebanyakan spaniel jenis padang lain.
Sejarah
Spaniel padang pada asalnya dikembangkan untuk gelanggang pertunjukan[1] oleh petanding yang mencuba untuk mengembangkan spaniel hitam menyeluruh.[2] Sesetengah kaedah pembiakbakaan pengembang awal tersebut dikritik; salah seorang pembiak baka pertama bagi spaniel padang, Thomas Jacobs, berkata tentang asal usulnya; "Banyak yang telah ditulis dan diperkatakan tentang ketulenan baka ini; menolak cara yang telah saya gunakan untuk menghasilkannya seperti yang diperkirakan untuk mengubah jenis anggapan, dan misil kerap telah dihalakan ke arah saya dan anjing-anjing saya dari belakang pagar. Tetapi di manakah spaniel hitam baka tulen yang banyak kita dengarkan? Bukti kewujudan yang daripada baka tulen (jika pernah ada!) belum muncul. Seperti kebanyakan anjing sukan, ia merupakan hasil silangan berlainan."[3]
Ia tidak popular sesama ahli sukan kerana warna gelap baka ini tidak kelihatan dalam keadaan perburuan dan rupa bentuk memanjang dan pendek baka awal ini tidak begitu praktikal untuk bergerak semudahnya melalui semak.[2] Keragaman rendah bagi spaniel padang dikembangkan oleh Phineas Bullock daripada anjing yang sebelumnya dimiliki oleh Sir Francis Burdett,[3][4] setiausaha Pertunjukan Anjing Birmingham. Burdett dikatakan memiliki suatu keragaman kokerspaniel hitam. Bullock menyilangkan spaniel padang dengan spaniel Sussex dan spaniel air Inggeris. Pada tahun 1870-an, Burdett sangat berjaya dalam gelanggang pertunjukan dengan keragaman spaniel padang beliau; walau bagaimanapun, ini menghasilkan anjing yang hampir sama dengan spaniel Sussex dengan pengecualian kepala sendiri.[5]
Anjing yang dianggap sebagai leluhur bersama bagi kokerspaniel Inggeris moden ialah Ch. Obo, yang lahir pada tahun 1879 kepada seekor bapa spaniel Sussex dan seekor ibu spaniel padang. Anak jantan kepada Obo, Ch. Obo II, dianggap sebagai bapa kepada kokerspaniel Amerika moden yang diperihalkan hanya setinggi 10 inci (25 cm) dengan tubuh agak panjang.[6]
Menjelang tahun 1909, purata berat spaniel padang ialah 35–45 paun (16–20 kg).[7] Pengacukan lanjut baka ini berlaku dengan unsur-unsur anjing pemburu baset yang diperkenalkan. Pelbagai isu kesihatan genetik timbul dan tindakan diambil untuk membetulkan masalah dalam baka ini. Springerspaniel Inggeris digunakan untuk memperkenalkan unsur-unsur lebih sihat ke dalam baka ini dan menghasilkan spaniel bertungkai lebih panjang yang dikenali kini. Kebanyakan anjing baka moden dapat dijejak kembali kepada empat ekor anjing dari tahun 1950-an; Colombina of Teffont, Elmbury Morwena of Rhiwlas, Gormac Teal, dan Ronayne Regal.[8][sumber terbitan sendiri?]
Spaniel padang kekal sebagai baka jarang, walaupun di United Kingdom. Pada tahun 2009, sejumlah 51 ekor anjing didaftarkan dengan The Kennel Club dan, sejak itu, ia telah menurun dengan mantap sejak tahun 2000. Daripada semua baka spaniel yang berdaftar dengan The Kennel Club, spaniel padang mempunyai angka paling rendah yang didaftarkan dari tahun ke tahun, dengan hanya spaniel Sussex yang menduduki tempat kedua dengan 60 pendaftaran pada tahun 2009. Ini mungkin dibandingkan dengan springerspaniel Inggeris dengan 12,700 pendaftaran dan kokerspaniel Inggeris dengan 22,211 pendaftaran pada tahun 2009 sahaja.[9] Untuk mempromosikan baka ini, ia telah didaftarkan sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club.[10]
Perihal
Penampilan
Saiz piawai untuk spaniel padang ialah hampir-hampir 46 sentimeter (18 in) pada paras kelasa dengan berat dalam julat 18–25 kilogram (40–55 lb).[11] Ini menempatkannya kira-kira antara kokerspaniel Inggeris dengan springerspaniel Inggeris dari segi saiz.[12]Lapis bulunya terdapat dengan warna padu hitam dan hati, atau dengan warna kemerah-merahan. Titik-titik sawo matang, tanda-tanda putih pada tekak, dan dada dapat berbintik atau sewarna dengan selebih tubuh.[13][2]
Ia mempunyai lapis bulu tunggal sederhana panjang tanpa lapis bulu bawah. Jumbai bulu muncul pada dada, perut, telinga, dan pada belakang tungkai. Lapis bulunya tidak seberat yang pada kokerspaniel tetapi memerlukan penjagaan untuk mengelakkan kusutan daripada muncul pada bulu.[4]Pemotongan ekor telah dilarang di beberapa buah negara, termasuk United Kingdom; walau bagaimanapun, pengecualian dibuat untuk haiwan pekerja.[14]
Perangai
Spaniel padang ialah baka aktif dan ingin tahu dan merupakan pendamping baik. Walau bagaimanapun, jika dibiarkan bersendirian dan tidak sibuk untuk jangka masa lama, ia mungkin menjadi bosan dan bersikap pemusnah.[perlu rujukan] Ia sesuai untuk senaman ketangkasan anjing dan perburuan. Ia sabar dengan kanak-kanak dan suka berada dekat dengan keluarganya.[perlu rujukan] Apabila tersosialisasi, ia baik dengan anjing lain.[4] Ia pada umumnya jinak dan berdikari dan tidak mudah teruja seperti kokerspaniel.[12]The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren menyenaraikan baka ini sebagai baka di atas purata dalam kecerdasan kerja.[12]
Kesihatan
Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.1 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[15]
Terdapat beberapa keadaan mata yang untuknya spaniel padang mempunyai predisposisi. Ini termasuk katarak, atrofi retina, dan displasia retina.[16]Displasia pinggul telah muncul pada susur galur British bagi spaniel padang.[12] The Kennel Club dan British Veterinary Association sangat mengesyorkan agar pengujian mata dan penskoran pinggul dijalankan oleh pembiak baka spaniel padang.[17][18] Dalam tinjauan kesihatan yang dijalankan oleh The Kennel Club (United Kingdom), punca utama kematian pada spaniel padang ialah kanser dengan punca kedua paling kerap yang merupakan usia lanjut.[19]
Catatan
^Jawi: سڤانيئل ڤادڠcode: ms is deprecated ; bahasa Inggeris: field spanielcode: en is deprecated
Rujukan
^Drury, William D. (1903). British Dogs: Their Points, Selection, and Show Preparation [Anjing British: Kelebihan, Pemilihan, dan Penyiapan Pertunjukannya] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-3). London, United Kingdom: L. Upcott Gill. m/s. 315. OCLC16734268.
^ abcSmith, Steve, penyunting (2002). The Encyclopedia of North American Sporting Dogs: Written by Sportsmen for Sportsmen [Ensiklopedia Anjing Sukan Amerika Utara: Dikarang oleh Ahli Sukan untuk Ahli Sukan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Minocqua, Wisconsin, Amerika Syarikat: Willow Creek Press. m/s. 136–137. ISBN9781572235014. OCLC49277228.
^ abMercer, F. H. F. (14 September 2009). The Spaniel and Its Training [Spaniel dan Pelatihannya] (dalam bahasa Inggeris). Read Books. m/s. 25–26. ISBN9781444647990.
^ abcPalika, Liz (2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties [Buku Howell tentang Anjing: Rujukan Muktamad kepada 300 Baka dan Keragaman] (dalam bahasa Inggeris). La Vergne, Tennessee, Amerika Syarikat: Turner Publishing Company. m/s. 236–237. ISBN9780470175859. OCLC1349278488.
^Walsh, John Henry (14 September 2009). The Dogs of the British Islands: Being a Series of Articles on the Points of Their Various Breeds, and the Treatment of the Diseases to Which They Are Subject [Anjing Kepulauan British: Sebagai Siri Rencana tentang Kelebihan Pelbagai Bakanya, dan Rawatan Penyakit yang Kepadanya Ia Tertakluk] (dalam bahasa Inggeris). Read Books. m/s. 93–94. ISBN9781444653601.
^Palika, Liz (20 Januari 2009). Cocker Spaniel: Your Happy Healthy Pet [Kokerspaniel: Haiwan Peliharaan Sihat Bahagia Anda] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 20–21. ISBN9780470390603. OCLC236325931.
^Smith, Arthur Croxton (1909). Everyman's Book of the Dog [Buku Anjing Setiap Orang] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Hodder & Stoughton. m/s. 101. OCLC5871691.
^"Breed History" [Sejarah Baka]. Field Spaniel Society of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
^"Spaniel (Field) Standard" [Piawaian Spaniel (Padang)]. The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 April 2024.
^ abcdBurke, Don (1 November 2005). The Complete Burke's Backyard: The Ultimate Book of Fact Sheets [Laman Belakang Burke Lengkap: Buku Muktamad Lembaran Fakta] (dalam bahasa Inggeris). Sydney, New South Wales, Australia: Murdoch Books. m/s. 791–792. ISBN9781740457392. OCLC224435827.
^Gough, Alex; Thomas, Alison (19 Julai 2010). Breed Predispositions to Disease in Dogs & Cats [Predisposisi Baka terhadap Penyakit pada Anjing dan Kucing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Chichester, West Sussex, United Kingdom: Wiley-Blackwell. m/s. 85. ISBN9781405180788. OCLC467711662.
^"Health Information - Spaniel (Field)" [Maklumat Kesihatan - Spaniel (Padang)]. The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Disember 2017. Dicapai pada 9 Mac 2024.
Grayson, Peggy (1984). The History and Management of the Field Spaniel [Sejarah dan Pengurusan Spaniel Padang] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Scan Books. ISBN9780906360101. OCLC60016397.