Hitam, perang gelap atau hitam kekelabu-kelabuan, dengan tanda-tanda perang kekuning-kuningan yang jelas terpisah pada kening, muncung, dada, tungkai, dan pangkal ekor
Terier pemburu Jerman[a] atau hanya terier pemburu[b] ialah sejenis terier pekerja yang berasal dari Jerman yang digunakan untuk memburu buruan di atas tanah dan di bawah tanah.
Perihal
Penampilan
Penampilan tipikal terier pemburu ialah hitam dan sawo matang, dengan sawo matang yang lebih seperti warna karat pada muncung dan bawah tubuh. Warnanya juga dapat menjadi coklat atau perang hati dengan tanda-tanda putih walaupun tanda-tanda putih dan pewarnaan coklat patut dielakkan dalam program pembiakbakaan dengan hidung perang. Tanda-tanda hitam dan sawo matang/karat patut menjadi matlamat. Piawaian baka mensyaratkan haiwan yang berdiri setinggi 33–40 sentimeter (13–16 inci) pada paras bahu, dengan betina yang seberat 7.5–8.5 kilogram (17–19 paun) dan jantan yang seberat 9–10 kilogram (20–22 paun).[1][2] Lapis bulu terier pemburu dapat menjadi sama ada berbulu, licin, atau putus-putus.[1][2] Semua keragaman mengalami salin bulu. Ekornya biasanya (tetapi tidak selalunya) terpotong pada 2/3 panjang semula jadi.
Perangai
Terier pemburu dikembangkan untuk menjadi anjing pemburu serba guna. Walaupun kerap digunakan untuk buruan yang bersarang di bawah tanah, terutamanya bejar, rubah, dan rakun, terier pemburu juga digunakan untuk mengusir babi hutan dan arnab keluar dari gumpung dan menjejak darah haiwan tercedera, seperti rusa. Oleh sebab kecerdasan dan kebolehsuaiannya, terier pemburu dapat menjadi anjing peliharaan bagus, tetapi patut ada peringatan bahawa ia terutamanya merupakan anjing pemburu dengan dorongan pemangsa kuat.
Sejarah
Pada antara dua Perang Dunia, pengurus mergastua di Jerman tertumpu untuk membasmi spesies asing atau yang diperkenalkan dan mengembalikan spesies yang kini pupus yang tertampil dalam mitologi negara. Salah seorang pelopor usaha aneh ini ialah Lutz Heck, kurator Zoo Berlin, yang selanjutnya "membiakbakakan kembali" lembu dan kuda primitif untuk "mewujudkan semula" aurochs pupus (jenis lembu liar yang terlihat dalam lukisan-lukisan gua di Lascaux, Perancis) dan tarpan (sejenis kuda padi hutan primitif). Minat Heck terhadap anjing sebahagiannya didorong oleh keghairahan beliau untuk perburuan dan sebahagiannya oleh nasionalisme yang bercampur dengan keinginan untuk menyaksikan yang dapat dilakukan dengan pembiakbakaan terpilih.
Walaupun nasionalisme dan minat dalam kejuruteraan genetik semakin meningkat di Jerman, terier juga semakin meningkat ke puncak fesyen di kebanyakan Eropah dan Amerika Syarikat. Allied Terrier Show diambil alih oleh Charles Crufts pada tahun 1886 dan merupakan pertunjukan anjing terbesar di dunia sebelum Perang Dunia Pertama, sementara terbitan anjing spesifik baka pertama di mana-mana ialah majalah yang dikhaskan untuk terier rubah. Pertunjukan Anjing Westminster dimulakan pada tahun 1907 dan pemenang pertama ialah seekor terier rubah. Seekor terier rubah menang sekali lagi pada tahun 1908, tahun 1909, tahun 1910, tahun 1911, tahun 1915, tahun 1916, dan tahun 1917.
Pesona dengan terier, nasionalisme membara, dan kecenderungan terhadap kejuruteraan genetik dijalin bersama-sama apabila Lutz Heck mempersembahkan empat ekor fell terrier hitam dan sawo matang—serupa dengan yang kini dipanggil terier Patterdale—kepada Carl Eric Gruenewald dan Walter Zangenbert. Gruenewald ialah seorang "ahli kinologi" (orang anjing gaya sendiri dengan minat dalam genetik) dan Zangenbert ialah seorang pemburu berdedikasi dengan minat terhadap terier rubah. Gruenewald dan Zangenbert menjadi tambahan kepada pasukan mereka yang diketahui oleh Forester R. Fiess dan Dr. Herbert Lackner, para lelaki dengan tanah untuk sebuah kenel dan sumber kewangan untuk menyokongnya sepanjang usaha selama sedekad.
Masalah awal ialah bahawa terier hitam dan sawo matang yang dipilih sebagai ternakan pembiakbakaan teras dan dianggap sebagai "pemburu unggul" berdasarkan warna sahaja, sebenarnya, tidak begitu hebat dalam perburuan. Seperti yang ditulis oleh Gruenewald kemudiannya:
"Kami gembira memiliki terier rubah dengan warna perburuan dan kami berharap agar dapat menggunakan keempat-empat anak anjing ini dengan berjaya dalam pembiakbakaan untuk mengasaskan baka terier rubah pemburu (Jagdfoxterrier-Stamm). Dari sudut pandangan perburuan, keempat-empat anjing ini tidak buruk, tetapi meninggalkan banyak yang diingini. Mula-mula kami mencuba pembiakbakaan dalaman, dengan memasang saudara dengan saudari. Tetapi hasilnya tidak baik. Tidak hairanlah -- lagipun, induk-induknya bukan anjing pemburu sebenar. Namun, gambaran berubah apabila kami membiakbakakan empat ekor anjing 'asli' kami dengan terier rubah pemburu tua kami yang terlatih dengan baik. Warna gelap cantik terus mendominasi. Anjing dengan banyak warna putih dan anjing bertompok dipilih dan disingkirkan daripada pembiakbakaan lanjut."
Program pembiakbakaan untuk terier pemburu adalah berskala besar dan tidak berbelah bahagi dalam kriteria pemilihannya. Pada satu ketika, para lelaki itu mempunyai 700 ekor anjing di kenel mereka dan tidak ada seekor anjing pun yang diizinkan untuk diletakkan di luar kenel. Anjing yang tidak memiliki rupanya, atau yang dianggap tidak memiliki kualiti yang diingini, ditakai (amalan lazim di seluruh dunia sehingga tahun 1960-an). Anjing awal adalah berbulu licin dan berbulu kasar, tetapi program pembiakbakaan bergerak untuk membasmi bulu licin, dan lapis bulu bagi produk akhir dapat diperihalkan dengan paling baik sebagai "lapis bulu licin"—lapis bulu pendek, keras, dan mirip dawai yang menggugurkan air dan kotoran sambil menyediakan kehangatan pada musim sejuk. Selepas hanya 10 tahun, anjing membiak lebih kurang benar-benar, dengan penampilan mirip terier Patterdale, walaupun dengan lebih banyak warna merah di bawah tubuh.
Deutscher Jagdterrier-Club ("Kelab Terier Pemburu Jerman") diasaskan pada tahun 1926 dan anjing ini diterima dengan baik sebahagiannya kerana ia sesuai dengan sentimen nasionalistik yang semakin meningkat di Jerman pada masa itu.
Pada tahun 1938, seorang Jerman bernama Max Thiel Sr. membeli terier pemburu pertama beliau. Thiel berburu dengan anjing ini selama hanya beberapa tahun sebelum permulaan Perang Dunia Kedua. Semasa peperangan, Thiel kehilangan anjing-anjing beliau, tetapi, selepas peperangan, beliau menetap di Bavaria dan membeli dua ekor anjing betina, Asta dan Naja.
Pada tahun 1951, Thiel berpindah ke Amerika Syarikat, membawa Naja bersama dengan beliau. Beliau tidak lama kemudian mengirimkan Asta, yang dibiakbakakan dan dikapalkan dalam keadaan hamil. Pada tahun 1954, Armin Schwarz Sr. mengimport seekor jantan "juara" bernama Axel dan beberapa perinduk lagi diumumkan. Pada Mac 1956, sembilan orang pemilik terier pemburu bertemu di St. Louis, Missouri, dan membentuk Jagdterrier Club of America dengan matlamat ternyata untuk mendapatkan pengiktirafan anjing ini oleh American Kennel Club. Malah, kelab itu tidak maju dan akhirnya berkubur.
Terier pemburu tidak menjadi popular di Amerika Syarikat atas beberapa sebab, salah satu ialah bahawa di Amerika Syarikat sangat sedikit orang memburu rubah ke tanah. Pada tahun-tahun terkini, dengan kebangkitan minat terhadap kerja terier di Amerika Syarikat, susur galur baharu terier pemburu telah diimport ke Amerika Syarikat, tetapi kebanyakannya digunakan untuk kerja atas tanah atau bangsal kerana saiznya. Untuk terier pemburu bekerja dengan baik di bawah tanah di Amerika Syarikat, ia perlu berada di hujung paling kecil bagi piawaian baka atau malah bersaiz kurang.
Kebanyakan import lebih baharu/terkini ke Amerika Syarikat memenuhi piawaian baka sebenar FCI (saiz betul) dan sedang digunakan dengan berjaya di atas dan di bawah tanah, dengan banyak laporan tentang anak-anak yang menjadi anjing pemburu, penggarah, dan pengutip luar biasa di darat dan di dalam air. Kini, terdapat ramai pemburu di seluruh Amerika Syarikat yang menggunakan baka berani dan cerdas ini sebagai rakan perburuan kerana keserbagunaannya dalam pelbagai disiplin perburuan dan sikap bertujuan untuk menyenangkan hati.
^Jawi: تيريئر ڤمبورو جرمنcode: ms is deprecated ; Jerman: deutscher Jagdterriercode: de is deprecated ; bahasa Inggeris: German hunting terrier; German jagdterriercode: en is deprecated
Burns, Patrick (16 Februari 2006). American Working Terriers [Terier Pekerja Amerika] (dalam bahasa Inggeris). Raleigh, Carolina Utara, Amerika Syarikat: Lulu Enterprises Incorporated. ISBN9781411660823. OCLC1431193697.