Anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang atau coonhound hitam dan sawo matang[a] ialah satu bakaanjing pemburu. Dengan perkembangan di Amerika Syarikat daripada silangan antara anjing pemburu darah dengan anjing pemburu rubah hitam dan sawo matang Virginia, anjing pemburu bau ini memburu buruannya sepenuhnya melalui bau dan digunakan terutamanya untuk pemburuan rakun.
Perihal
Menurut piawaian baka FCI, anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang jantan patut berukuran setinggi 25–27 inci (64–69 cm) manakala betinanya pula lebih kecil setinggi 23–25 inci (58–64 cm), namun julat berat tidak tersebut.[1] Walau bagaimanapun, United Kennel Club menyertakan garis panduan untuk berat jantan, iaitu 50–75 paun (23–34 kg) manakala betinanya seberat 40–65 paun (18–29 kg).[2] Perkadaran ketinggian yang dipetik oleh UKC berbeza daripada FCI dan mengizinkan jantannya untuk berukuran setinggi 23–27 inci (58–69 cm) dan betinanya pula setinggi 21–26 inci (53–66 cm).[2] Lapis bulunya pendek, padat, dan berkilat.
Matanya antara hazel dengan perang, telinganya panjang, lebar, tipis, dan terletak rendah dan jauh di belakang di kepala anjing, dan tergantung jauh ke bawah paras leher. Tanda-tanda hitam dan sawo matang adalah serupa dengan yang pada anjing Dobermann dan yang pada anjing Rottweil. Salakan anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang adalah lantang dan berpanjangan seperti lolongan; salakannya telah diperihalkan sebagai lolongan dalam. Piawaian baka menyertakan tungkai berotot yang panjang secara perkadaran dengan panjang tubuh. Ekornya terletak sedikit ke bawah garis belakang semula jadi. Jika anjingnya berwaspada atau teruja, ia mengangkat ekornya pada sudut tegak.
Perangai
Anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang merupakan anjing peliharaan sesuai: ia lunak, ramah, tenang, dan tidak menghalang di ruang dalaman; di ruang luaran pula, naluri perburuan kuatnya mengambil alih dan bakal ada kesukaran untuk mengalih anjing daripada menjejak jika penjejakan sudah bermula. Sebagai anjing yang sesuai dengan warisannya, ia kuat, berdikari, dan degil. Anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang adalah lembut dan bertolak ansur terhadap kanak-kanak, namun ia mungkin terlalu berdikari untuk memuaskan kanak-kanak yang suka bermain. Ia berat hati terhadap orang asing dan mungkin melolong dalam kehadiran orang asing. Anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang mampu berlari berbatu-batu jauh walaupun ia biasanya cukup puas dengan joging sederhana atau sesi berjalan panjang, kadang-kadang dengan riadah ke padang. Ia dapat merayau-rayau jika menangkap bau. Oleh itu, kawasan selamat adalah wajib.[3][4]
Kegunaan
Keberanian anjing pemburu rakun juga menjadikannya cekap dalam pemburuan rusa, beruang, serigala, kugar, dan buruan besar lain walaupun banyak negeri di Amerika Syarikat telah membatasi pemburuan haiwan bertanduk dengan anjing. Walau bagaimanapun, tujuan utama anjing pemburu rakun adalah sebagai anjing yang memburu rakun.[5] Penampilan umumnya ialah penampilan kuasa, ketangkasan, kewaspadaan, serta kebolehan untuk meliputi kawasan dengan pantas dengan gaya langkah berentak yang berkuasa. Setiap anjing mempunyai suara tersendirinya yang kerap dapat dikenal pasti oleh pemiliknya dari jarak jauh.
Penjagaan umum
Lapis bulunya hanya memerlukan pemberusan kadang-kadang. Kebanyakan anjing pemburu rakun berliur hingga takat tertentu dan mukanya mungkin memerlukan pengelapan kerap. Telinganya patut juga diperiksa dengan kerap untuk mengelakkan jangkitan telinga.[4]
Kesihatan
Anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang pada umumnya sihat, walaupun ada sedikit risiko displasia pinggul, kanser telinga, dan jangkitan telinga lain, dan masalah mata. Saiz perinduk pada umumnya ialah lapan ekor anak anjing. Kelanjutan usia jangkaan ialah 10–12 tahun.
Sejarah
Coonhound hitam dan sawo matang diturunkan daripada Talbot hound yang ditemukan di England Zaman Pertengahan selepas abad ke-11. Keleluhurannya kemudian dijejak kembali melalui bloodhound dan foxhound hingga foxhound hitam dan sawo matang Virginia.[6][7]
^Jawi: انجيڠ ڤمبورو راکون هيتم دان ساوو ماتڠ; کونهاءون هيتم دان ساوو ماتڠcode: ms is deprecated ; bahasa Inggeris: black and tan coonhoundcode: en is deprecated
^ ab"Black and Tan Coonhound" [Anjing Pemburu Rakun Hitam dan Sawo Matang] (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Februari 2015. Dicapai pada 29 Disember 2023.
^Gilbert, Edward M. Jr.; Gilbert, Patricia H. (10 Disember 2013). Encyclopedia of K-9 Terminology [Ensiklopedia Peristilahan K-9] (dalam bahasa Inggeris). Wenatchee, Washington, Amerika Syarikat: Dogwise Publishing. ISBN9781617811357.
^Clark, Ross D.; Stainer, Joan R., penyunting (1994). Medical & Genetic Aspects of Purebred Dogs [Aspek-aspek Perubatan dan Genetik Anjing Baka Tulen] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Fairway, Kansas, Amerika Syarikat: Forum Publications. ISBN9780964160903. OCLC874877295.