Jeslina Hashim ialah seorang penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan di Malaysia. Beliau mula sebagai penyanyi sekitar tahun 1998, dan mula berlakon filem pertama pada 2001 melalui filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman.[1] Jeslina aktif dalam bidang fesyen dan mempunyai perniagaan aksesori dengan jenama Bhatoo by Jeslina Hashim.[2]
Jeslina pernah mendirikan rumah tangga bersama Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun pasangan ini telah bercerai pada 5 Mac 2013. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 2 orang anak.
Pada 10 Ogos 2024, Jeslina telah melangsungkan perkahwinan kedua bersama kerabat diraja Negeri Sembilan iaitu Tunku Nasruan Adil bin Tunku Mudzaffar.[3] Tunku Nasruan Adil atau dikenali sebagai Tunku Eddy ialah cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar dan Almarhumah Tunku Ampuan Najihah.[4] Bapa mentuanya ialah Tunku Mudzaffar bin Tunku Mustapha manakala ibu mentuanya ialah Tunku Naquiah binti Tuanku Ja'afar. Jeslina ialah biras pelakon dan pengacara Malaysia, Sarimah Ibrahim.
Jeslina pernah ditahan dalam serbuan JAWI di Zouk Club tahun 2005 sebuah kelab malam bersama kira-kira 100 orang muslim yang lain pada pukul satu pagi pada 13 Januari 2005.
Berikutan dari itu, beliau dikatakan membuat sindiran kepada pihak JAWI dalam rancangan Melodi
Antara lain beliau amat kecewa dengan tindakan pihak JAWI yang menangkap mereka ketika itu. Kononnya itu adalah hak mereka sebagai seorang remaja di sebuah negara demokrasi. "Sedangkan ibu bapa kami tidak menghalang kami untuk berhibur, kenapa pula orang lain seperti JAWI sibuk-sibuk untuk menjaga kami?.
Kebanyakan ibu bapa kami tahu di mana kami berada dan mereka tahu bila kami akan balik. Akibat tindakan JAWI menangkap dan tidak membenarkan kami berhubung dengan ibu bapa kami ia bukan sahaja menyusahkan kami malahan juga para ibu bapa kami !!!" gertak Jes dengan nada keras ketika diinterviu oleh pengacara Melodi, Wahid Senario.
Sebelum temu bual itu berakhir, artis tersebut memperli Jawi ketika bersalam dengan pengacara dengan berkata "nanti ditangkap kerana bersalam antara lelaki dan wanita.
Pada 15 Feb 2005 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengeluarkan surat pembatalan saman terhadap penyanyi Jeslina Hashim, 27, berhubung penahanannya di sebuah pusat hiburan pada 13 Januari lalu.
Pembatalan saman terhadap penyanyi itu dimaklumkan menerusi surat yang dikeluarkan Jawi kira-kira pukul 3 petang. Surat itu memaklumkan pembatalan saman kes jenayah di bawah Akta 29 Kelakuan Tidak Sopan. Jeslina dijadualkan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 5 April depan.
Pada 17 Februari 2005, Pegawai JAWI tersebut mengeluarkan kenyataan dalam Malay Mail bahawa pihak Kabinet telah mengarahkan mereka membatalkan saman tersebut pada hari Selasa iaitu sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu (hari ini), tanpa apa-apa perbicaraan di mahkamah.
Sehubung daripada kejadian tersebut, tersiar beberapa gambar Jeslina memakai pakaian yang mencolok mata (menampakkan separuh dada), dengan dakwaan bahawa itu adalah gambarnya di kelab The Zouk.
Dalam satu kenyataan akhbar Ahad 27 Feb 2004, Jeslina menyatakan bahawa gambar yang tersiar di Internet itu adalah gambar lamanya dan bukannya gambar ketika beliau ditangkap di kelab The Zouk. Jeslina juga mengumumkan bahawa beliau akan berkahwin tidak lama lagi.