Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman (lahir 2 Mei 1925 – meninggal 20 Ogos 2008 pada umur 83 tahun) ialah seorang ahli perniagaan dan politik di Malaysia yang merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan.
Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Rawang pada 1964 hingga 1974. Beliau juga pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia pada 1966 hingga 1972. Beliau mengasaskan syarikat perniagaan Kumpulan Melewar pada 1963.[1]
Tunku Abdullah diputerakan pada 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau ialah putera kedua Tuanku Abdul Rahman bersama permaisurinya, Che Engku Maimunah. Beliau ialah putera ketiga Tuanku Abdul Rahman selepas Tuanku Munawir dan Tuanku Jaafar.
Tunku Abdullah mengahwini Tunku Zaharah Tunku Zakaria pada tahun 1946, Che Engku Ho Yuzin pada tahun 1959, Che Engku Khatijah pada tahun 1966, Che Engku Chesterina pada tahun 1973, Che Engku Maimunah pada tahun 1991 dan Che Engku Rozeeta pada tahun 1997. Perkahwinan baginda dikatakan perkahwinan muhibbah kerana mengahwini dua orang Melayu, seorang Cina, seorang Kaukasia, seorang Jepun dan seorang Eurasia. Ho Yuzin merupakan orang Cina manakala nama asal Che Khatijah ialah Kathryn Heather Barbara Martin, Chesterina Sim Zecha pula orang Eurasia dan nama Jepun Maimunah ialah Yuko Shima. Baginda mempunyai sembilan orang anak.
Tunku Abdullah menamatkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Glasgow dan mempunyai diploma dalam agrikultur dari Universiti Miyazaki di Jepun. Baginda pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 10 tahun
Selepas menang Pilihan raya umum Malaysia 1964 di Parlimen Rawang dari 1964 hingga 1974. Beliau berusaha membawa balik Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke dalam UMNO melalui UMNO Rawang pimpinannya.Jika tidak kerana Tunku Abdullah, tidak mungkin Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Pada 1969, Dr Mahathir Mohamad dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman kerana mengedarkan surat-surat yang memburuk-burukkan Tunku.
Selain menjadi pengerusi Kumpulan Perindustrian Melewar, baginda juga mempunyai jawatan yang sama dalam MAA Holdings, Georgetown Holdings dan Datuk Keramat Holdings.
Selaku ahli perniagaan terkenal dan bertaraf antarabangsa, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman telah melawat negara Israel pada bulan Jun 1994. Berita lawatan ini disiarkan dalam Utusan Malaysia dan mengejutkan ramai pihak kerana pasport Malaysia melarang rakyatnya melawat Israel. Beliau dikatakan rakyat Malaysia pertama melawat negara Israel sejak 1957.
Tunku Abdullah telah mangkat pada 20 Ogos 2008 di sebuah klinik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Baginda dikatakan baru sampai di KLIA dari London dan mengalami sesak nafas, lalu dikejarkan ke klinik tempat baginda disahkan mangkat pada kira-kira pukul 9.20 pagi.[2]
Jenazah Tunku Abdullah tiba di bandar diraja Seri Menanti pada 4.45 petang dari kediamannya di Kuala Lumpur, kemudian disembahyangkan di Istana Besar Seri Menanti .Jenazah disemadikan bersebelahan makam kekandanya, Tuanku Munawir di Makam Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah pada pukul 6.45 petang.