Hubungan Malaysia–Oman merujuk kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Oman. Malaysia mempunyai kedutaan di Masqat,[1] dan Oman mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur.[2]
Hubungan diplomatik rasmi telah diwujudkan pada 1983, [3] diikuti dengan penubuhan kedutaan Malaysia di Masqat pada tahun yang sama.[4] Oman menubuhkan kedutaannya di Kuala Lumpur pada 2011.[5]
Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat daripada $28.1 juta pada 1995 kepada $1.06 bilion pada 2006 dengan eksport Malaysia ke Oman meningkat daripada $26.4 juta kepada $108 juta dan import berkembang daripada $1.7 juta kepada $956 juta. Pada 2009, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Malaysia dan Oman untuk meningkatkan penyelarasan perdagangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).[6] Aktiviti perdagangan dinilai berjumlah hampir RM500 juta sepanjang Januari–Oktober 2010, dengan eksport utama Malaysia ke Oman termasuk minyak makan, jentera, perkakas dan alat ganti, produk kayu, produk elektrik dan elektronik. Oman dan Malaysia menandatangani perjanjian agar Oman mengimport ayam sejuk beku dari Malaysia dengan kos RM120 juta. Oman mengimport kebanyakan makanannya, sehingga 80%.[7] Kedua-dua negara sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan mereka.[8][9] Pada 2011, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli dengan National Gas Co SAOG Oman untuk melepaskan perniagaan gas petroleum cecair (LPG) di Malaysia Barat pada jumlah yang tidak didedahkan.[10] Perjanjian dalam kerjasama keselamatan siber juga telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada 2015.[11]
Pada 2011, terdapat kira-kira 1,300 pelajar Oman di Malaysia dengan 30,000 pelancong dari Oman telah melawat Malaysia, manakala 1,000 rakyat Malaysia bekerja di Oman terutamanya dalam bidang minyak dan gas, perubatan, pembinaan dan sebagai ahli akademik.[12]