Ebit Irawan bin Ibrahim Lew (lahir Lew Yun Pau; 21 Disember 1984) lebih dikenali sebagai Ebit Lew (Jawi: ايبيت ليوcode: ms is deprecated ), merupakan seorang usahawan dan pendakwahIslam Malaysia berbangsa Cina. Beliau terkenal dengan penampilan berjanggut, berkopiah dan berkurta serta pendekatannya menyantuni masyarakat fakir miskin, golongan terpinggir dan remaja.
Kehidupan awal dan pendidikan
Ebit Lew dilahirkan di Muadzam Shah, Pahang pada 21 Disember 1984 dengan nama Lew Yun Pau. Beliau merupakan anak ketiga daripada 11 orang adik beradik. Beliau memeluk agama Islam pada usia 12 tahun selepas mengikut rapat mengenai agama itu.[2][3]
Ebit Lew juga dikenali dengan beberapa produk perniagaan. Beliau mempunyai syarikat latihan dan motivasi bernama Transform Training & Consultancy[2] dengan produk yang terkenal iaitu seminar motivasi kekeluargaan Keluarga Sunnah. Selain itu, beliau juga mempunyai jaringan pasar raya Elewsmart yang mula beroperasi pada 18 Julai dengan pembukaan cawangan pertama di Bandar Baru Bangi.[4] Beliau juga mengusahakan produk pakaian di bawah jenama Elew's Design. Selain itu, beliau juga mengusahakan rangkaian kafe restoran di bawah jenama Paramount Coffee House yang beroperasi di tiga cawangan,[5]Bandar Baru Bangi, Putrajaya dan Shah Alam.[perlu rujukan]
Kebajikan
Ebit Lew terkenal kerana kadangkala menjalani aktiviti-aktiviti sumbangan dan kebajikan berskala besar. Ketika gelombang baharu pandemik COVID-19 di Malaysia pada akhir Oktober 2020, Ebit Lew telah menyumbang peralatan perubatan penting bagi kegunaan para pegawai perubatan di Sabah yang terjejas teruk oleh gelombang tersebut pada masa itu yang dihantar dengan sebuah kapal terbang Raya Airlines yang ditempah.[6] Seminggu kemudian, Ebit Lew juga menghantar bekalan makanan sebanyak kira-kira 10 tan daripada kedainya, Elewsmart bagi penduduk Sabah.[7]
Pada 15 November, Ebit Lew menghantar sumbangan kira-kira 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayuran terhadap pihak Zoo Negara yang terjejas dengan masalah kewangan yang menjadi ketara akibat pandemik COVID-19.[8] Tindakan ini juga membangkitkan semula isu kewangan Zoo Negara yang berlanjutan sejak sekian lama dalam kalangan rakyat negara.[9]
Kontroversi
Misi kemanusiaan ke Gaza
Pada Mei 2021, Lew berangkat ke Palestin dalam sebuah usaha bantuan kemanusiaan berikutan peristiwa krisis Israel-Palestin 2021 yang menyaksikan konflik serangan udara antara pihak Palestin dan Israel. Bantuan ini dilakukan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Mesir serta pihak Wisma Putra dengan pemberian termasuk keperluan asas dan perubatan.[10][11] Sungguhpun begitu, misi kemanusiaannya dicemari dakwaan-dakwaan pengurusan misi yang buruk oleh dua orang figura yang mendapat perhatian negara.
Penyanyi rap Caprice yang turut melancarkan misi kemanusiaannya ke Palestin selepasnya mendakwa bahawa beliau mempergunakan gambar kanak-kanak miskin di sana untuk menguar-uarkan misi kemanusiaanya berdasarkan dakwaan penduduk Palestin.[12] Selain itu, beliau berkata bahawa rancangannya untuk memasuki Gaza bersama-samanya juga terhalang akibat "campur tangan luar."[13] Walau bagaimanapun, Caprice memohon maaf akibat isu itu, dengan menyatakan bahawa beliau "terlalu beremosi" terhadap situasi di Palestin, dan berkeputusan untuk meneruskan misi secara bersendirian.[14][15]
Pada 21 Julai, aktivis kemanusiaan pro-Palestin di Gaza, Nadir Al-Nuri menuduh Ebit Lew menggunakan suatu pintu belakang untuk memasuki Palestin, yakni dengan menggunakan bantuan sebuah syarikat alternatif yang menjamin kemasukan lebih mudah, tetapi dengan bayaran yang lebih tinggi daripada cara lazim. Selain itu, Nadir mempersoalkan etika-etika lain termasuk pembelian barang bantuan di Mesir berbanding di Gaza, tempoh misi yang dikatakan terlalu pendek (tiga hari) serta dakwaan layanan kurang mesra oleh kumpulan Ebit Lew.[16]
Dalam membidas dakwaan-dakwaan tersebut, Ebit melakukan siaran di media sosial pada 22 Julai untuk membantah apa yang didakwanya sebagai fitnah serta maklumat salah.[17] Di samping itu, sebuah laporan polis turut dibuat olehnya sebagai balasan terhadap dakwaan-dakwaan sedemikian.[18] Isu ini mendapat perhatian seluruh negara termasuk ahli terutama negara dengan seruan agar perdamaian segera tercapai.[19]
Tuduhan gangguan seksual
Pada Ogos 2021, Ebit Lew dipanggil dan ditahan untuk disiasat polis atas dakwaan gangguan seksual di Kuala Lumpur tatkala sebuah video lucah dengan watak mirip rupanya tular di Internet.[20] Sementara itu, beliau menafikan sebarang perkaitan dengan tuduhan jenayah itu, dan menggelar tuduhan itu sebagai "fitnah yang sangat kejam dan melampau."[21][22] Penyiasatan berkaitan terhadapnya ditamatkan lalu dilanjutkan ke pihak ibu pejabat polis pada September.[23] Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, tangkapan layar serta video berupakan bahan serta mesej ajakan lucah yang dikatakan miliknya mula ditularkan oleh seorang lagi pendakwah, Firdaus Wong. Selain itu, terdapat banyak lagi penceramah motivasi, asatizah lain serta pakar pengeditan bahan digital membahas mengenai kesahihan video tersebut. Bahan-bahan itu didakwa merupakan bukti-bukti yang dikemukakan mangsa terhadap pihak polis sebelum ini.[24]
Perbicaraan mahkamah dilakukan pada 18 Februari 2022 di Tenom, Sabah, di mana Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 tuduhan gangguan seksual yang dikenakan. Ebit dibebaskan dengan jaminan sejumlah RM11,000 oleh dua orang penjamin.[25]
Pencapaian
Ebit Lew pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2015M. Selain itu, beliau pernah menjadi Penceramah Motivasi/Perunding Latihan di Excel Training di bawah bimbingan Dato’ Dr Haji Mohd Fadzillah Kamsah dan Profesor Hanim Tahir selama 4 tahun. Beliau juga merupakan penceramah slot motivasi pagi, Slot Islam Agamaku, Islam Itu Indah, Usrah Nurani dan lain-lain di radio IKIM dan Sinar.[2]
Bibliografi
Ebit Lew banyak menulis mengenai tema hati dan kekeluargaan.
Ebit Lew (2018). 11 Amalan Memiliki Kekayaan. Transform Publication. ISBN9789671155547.