Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Inggeris: Stormwater Management and Road Tunnel; kependekannya: SMART; kod: Terowong SMART) merupakan suatu struktur jalan dan perparitan yang terletak di Kuala Lumpur, Malaysia dan merupakan satu projek kebangsaan di negara tersebut. Panjang terowong tersebut adalah 9.7 kilometer tetapi laluan untuk kenderaan hanyalah 3.3 kilometer. Ia merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.[1]
Objektif utama terowong ini adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu semasa waktu sesak. Secara asasnya, terowong ini mempunyai dua dek laluan sehala bagi kenderaan manakala ruang paling bawah adalah untuk laluan air.[3]
Terowong SMART direkabentuk bagi kegunaan kenderaan ringan dengan ketinggian maksimum 2 meter serta had laju yang ditetapkan adalah 60 km/j. Motosikal serta kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dibenarkan melalui terowong tersebut. Terowong ini telah dibuka kepada lalu lintas pada 7 April 2007 dan kadar tol yang dikenakan adalah sebanyak RM 3.00.[2]