Madrasah Aljunied Al-Islamiah (Jawi: مدرسة الجنيد الإسلامية) adalah institusi pengajian Islam swasta sepenuh masa di Singapura, salah satu daripada enam madrasah (sekolah) di Singapura. Madrasah Aljunied merupakan salah satu madrasah tertua yang masih ada di Singapura. Ia telah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam rantau ini kerana mempunyai piawaian bahasa Arab dan keilmuan Islam yang tinggi. Madrasah Aljunied telah melahirkan ramai alumni yang terdiri daripada pemimpin agama Islam terkemuka di Singapura dan Asia Tenggara.
Madrasah Aljunied terletak bersebelahan Tanah Perkuburan Jalan Kubor yang bersejarah.
Madrasah Aljunied merupakan madrasah kedua tertua di Singapura selepas Madrasah Alsagoff. Ia diasaskan pada tahun 1927 oleh seorang dermawan, Syed Abdul Rahman Aljunied. Bangunan asal dua tingkat sekolah ini terletak di sebidang tanah seluas 4.4 hektar. Bangunan baru itu, bagaimanapun, terletak di tanah hanya seluas 0.52 hektar. [1]
Pengasasnya, Syed Abdul Rahman Aljunied, memerhatikan bahawa Syed Abu Bakar bin Taha Alsagoff adalah calon yang paling layak untuk jawatan Mudir (Guru Besar). Syed Abu Bakar bersetuju namun meletakkan dua syarat, iaitu: bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar; dan sistem pendidikan dan pedagoginya mestilah moden.[2]
Syarat Syed Abu Bakar diterima dengan baik, dan beliau mengurus Madrasah dengan penuh berdisiplin sebagai Mudir dari tahun 1927 hingga 1955.[3]
Selama bertahun-tahun, pencapaian Madrasah Aljunied sebagai institusi pendidikan Islam unggul di Asia Tenggara semakin kukuh.[2] Ada catatan menyatakan bahawa Syed Abu Bakar membenarkan sebahagian rumahnya di Jalan Jawa dijadikan tempat penginapan percuma untuk para pelajar.
Kurikulum sekolah ini menjurus ke arah mata pelajaran agama Islam, sementara kira-kira sepertiga diperuntukkan untuk mata pelajaran bukan agama.[4]
Mata pelajaran bukan berkaitan agama banyak diajar sebagai sebahagian daripada kurikulum tempatan dan memperoleh kelayakan dan pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Singapura . Para pelajar terdiri daripada aliran "ekspres" empat tahun dan mengikuti O-Level di Tahun 4; atau aliran "normal" (akademik) lima tahun dan mengikuti O-Level juga.[5]