Lumba kanu di Sukan Olimpik Musim Panas 2020 telah diadakan pada 25 hingga 30 Julai 2021 di Taman Kasai Rinkai bagi kanu slalom, dan pada 2 hingga 7 Ogos 2021 di Sea Forest Waterway bagi kanu pecut. Sebanyak 16 acara dipertandingkan melibatkan dua disiplin iaitu empat acara dalam kanu slalom dan 12 acara dalam kanu pecut.
Perlawanan ini pada mulanya dijadualkan berlangsung pada tahun 2020, namun ditangguhkan ke tahun 2021 akibat Pandemik COVID-19.[1]
Jerman menjadi negara yang paling banyak meraih pingat pada musim ini dengan kutipan tujuh pingat iaitu dua emas, satu perak dan empat gangsa. Hungary dan New Zealand pula menjadi negara yang paling banyak meraih pingat emas iaitu sebanyak tiga emas.
Lumba kanu dibahagikan kepada beberapa disiplin dan dua daripadanya dipertandingkan dalam Sukan Olimpik iaitu kanu pecut dan kanu slalom. Kanu pecut diadakan di laluan air yang rata dan dipertandingkan menggunakan dua jenis bot, kanu dan kayak. Di dalam kanu, pendayung bersaing dalam posisi melangkah menggunakan dayung berbilah tunggal, berbeza dengan dayung berbilah dua yang digunakan dalam posisi duduk di dalam kayak. Di peringkat antarabangsa, disiplin ini dipertandingkan dalam empat jarak yang berbeza dari 200 meter hingga 5000 meter, secara individu, beregu atau berkumpulan terdiri daripada empat orang. Setiap acara dikategorikan mengikut jenis bot, bilangan pemain per bot, jantina dan jarak perlumbaan, sebagai contoh acara C-2M 500m bermaksud acara kanu beregu lelaki 500 meter.[2]
Kanu slalom pula ialah satu acara bermasa di mana pesaing menavigasi laluan berarus dengan melalui gabungan pintu di hulu dan hilir. Setiap laluan berbeza tetapi boleh mencapai panjang maksimum 300 meter dan mengandungi maksimum 25 pintu, dengan minimum enam pintu di hulu. Jenis pintu pagar ditentukan mengikut warna, merah untuk pintu di hulu dan hijau untuk pintu di hilir. Acara ini direka bentuk supaya atlet terkemuka dapat melengkapkannya dalam masa antara 90 dan 110 saat, walaupun penalti masa boleh ditanggung kerana menyentuh pintu (dua saat) dan terlepas pintu (50 saat). Kanu slalom dipertandingkan dalam dua jenis bot iaitu kanu dan kayak. Di dalam kanu, dayung berbilah tunggal digunakan oleh seorang atlet yang diikat ke dalam bot dengan kaki dibengkokkan ke lutut dan diletakkan di bawah badan mereka, berbeza dengan dayung berbilah dua yang digunakan dalam kedudukan duduk di dalam kayak. Di peringkat antarabangsa, sebanyak empat acara dipertandingkan iaitu C1M, C1W, K1M dan K1W. Kanu slalom berasal dari Switzerland pada tahun 1933 sebagai alternatif musim panas kepada ski slalom, dan pada mulanya dipertandingkan di laluan air yang rata.[3]
Lumba kanu mula dipertandingkan di Sukan Olimpik pada tahun 1936 dengan hanya menampilkan satu disiplin iaitu kanu pecut. Kanu slalom mula dipertandingkan di Sukan Olimpik pada tahun 1972. Secara keseluruhan, Jerman menjadi negara yang paling berjaya dalam sukan lumba kanu setelah meraih jumlah pingat emas dan keseluruhan pingat terbanyak iaitu 88 pingat (38 emas, 24 perak dan 26 gangsa).[4]
* Tuan rumah (Jepun)