Datuk Ar. Wan Mohammad Khair-il Anuar bin Wan Ahmad (16 Januari 1960 – 5 Mei 2016) ialah ahli politik Malaysia berketurunan Melayu. Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar (2013-2016) dan mantan ADUN Bukit Chandan selama sepenggal (2008-2013).
Wan Khair-il Anuar telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar dari tahun 1967 hingga 1972. Semasa pendidikan menengah, beliau telah menuntut di tiga buah sekolah yang berbeza antaranya, Sekolah Menengah Clifford, Sekolah Menengah Anderson di Perak dan Sekolah Menengah Sains Kedah di Kedah.[1]
Dengan pencapaian cemerlang semasa pendidikan menengah, Wan Khair-il Anuar telah ditawarkan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di luar negara. beliau telah diterima masuk ke Universiti Kingston di mana beliau telah menamatkan pengajian dan dianugerahkan Sarjana Muda (BA) dalam Seni Bina (Kepujian) dan Sarjana (Master) dalam Seni Bina.[2]
Wan Khair-il Anuar terkorban dalam nahas helikopter AS 350 dekat Sebuyau, Sarawak. Beliau sedang dalam perjalanan bersama beberapa pegawai kerajaan dari Betong ke Kuching pada 5 Mei 2016 apabila helikopter hilang hubungan. Serpihan telah dijumpai dekat Sungai Batang Lupar hari berikutnya. Tragedi tersebut juga mengorbankan Tan Sri Dato' Hajah Noriah Kasnon, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan ahli parlimen Sungai Besar, Selangor. Jenazah Wan Mohammad Khair-il Anuar telah diterbangkan balik ke Perak dan dikebumikan di Makam DiRaja Al-Ghufran dekat Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.