Nik Zaris Uqasha Nik Sen atau lebih dikenali sebagai Uqasha Senrose (lahir 6 Julai 1992)[2] merupakan seorang pelakon wanita Malaysia. Beliau merupakan kakak kepada Nelydia Senrose dan kakak kepada bekas juara Dewi Remaja 2015 iaitu Raysha Rizrose.[3] Beliau mula terkenal menerusi watak lakonannya sebagai Melati dalam filem sulungnya, Paku Pontianak (2013) dan kemudiannya sebagai Nurin Areesa dalam drama adaptasi novel, iaitu Tundukkan Playboy Itu bersama Hafidz Roshdi.
Kehidupan awal
Uqasha Senrose dilahirkan pada Isnin, 6 Julai 1992 Masihi bersamaan 5 Muharram 1413 Hijrah di Kota Bahru, Kelantan. Beliau merupakan anak kedua daripada 7 adik-beradik. Salah seorang daripada adik beliau juga seorang pelakon iaitu Nelydia Senrose dan bekas juara Dewi Remaja 2014/2015 iaitu Raysha Rizrose. Sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, beliau pernah bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia selama setahun setengah.
Kerjaya
Uqasha memulakan kerjaya lakonannya pada 2010 menerusi filem bebas karya Anshari Rahizan Lukisan Hati yang dibintangi oleh Faralyna Idris, diadaptasi dari komik dalam talian dengan judul sama, ketika itu beliau dikreditkan menerusi nama sebenar Zaris Uqasha.[4]
Bekerja di bawah arahan pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, Uqasha bersama Zul Ariffin menjayakan peranan utama bersama Datuk Awie dalam filem Hantu Kak Limah;[10] beliau memegang watak Puteri Bunian bernama Eton yang bercinta dengan Husin.[11]
Kehidupan peribadi Uqasha banyak diperkatakan oleh media kerana sebelum ini beliau pernah dikaitkan dengan lelaki, malah terdapat segelintir pihak beranggapan beliau sering bertukar-tukar teman lelaki.[16][17] Uqasha sebelum ini dilaporkan menjalinkan hubungan dengan pengacara dan pelakon, Hefny Sahad.[18] Beliau sebelum ini pernah bercinta dengan pelakon Pekin Ibrahim, namun hubungan mereka berakhir di pertengahan jalan.[19] Pada 8 Disember 2017, Uqasha diancam oleh seorang pengikut Instagram beliau, yang ingin meminta gambar bogelnya.[20][21]
Pada 8 Mei 2018, Uqasha telah ditahan oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung penemuan 53 pil Eramin 5 di dalam beg tangan Chanel miliknya. Beliau turut mengesahkan keputusan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya disahkan negatif dan dibebaskan dengan ikat jamin.[22] Uqasha turut mendakwa beliau disabotaj.[23][24][25]Pada awal 12 Ogos 2018, Uqasha mendedahkan dakwaan kes dadah ke atasnya telah selesai dan beliau tidak lagi di bawah pemerhatian polis.[26][27]
^Beliau dilahirkan sama ada 6 Julai 1992 atau 1 Ogos 1992; berdasarkan sumber berbeza. Namun, Uqasha memilih 6 Julai 1992 sebagai tarikh lahir rasmi berdasarkan dari nombor kad pengenalan dan dokumen kelahirannya.