Undang-undang Dasar Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong Republik Rakyat China, atau lebih dikenali sebagai Undang-undang Dasar Hong Kong ialah undang-undang negara China yang bertindak sebagai perlembagaan pada hakikatnya bagi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong.[1] Terdiri daripada sembilan bab, 160 perkara dan tiga tambahan, undang-undang dasar tersebut digubal di bawah Perlembagaan China bagi melaksanakan Pengisytiharan Bersama China-British.[2]:91
Undang-undang Dasar Hong Kong diterima pakai oleh Kongres Rakyat Kebangsaan pada 4 April 1990 dan berkuat kuasa pada 1 Julai 1997 di Hong Kong apabila pentadbiran Hong Kong diserahkan kepada China oleh United Kingdom. Ia menggantikan perlembagaan penjajah Hong Kong bagi Surat Paten dan Arahan Diraja.[3]
Pengisytiharan Bersama China-British ditandatangani di antara pemerintah China dan kerajaan British pada 19 Disember 1984 yang menghendaki supaya undang-undang dasar dibuat. Digubal pada asas pengisytiharan, Undang-undang Dasar tersebut menetapkan dasar-dasar asas China terhadap Hong Kong, termasuklah prinsip "satu negara, dua sistem" di mana sistem-sistem tadbir urus dan iktisad yang diamalkan di tanah besar China tidak diperluas ke Hong Kong. Sebaliknya, Hong Kong akan terus mengguna pakai sistem dan cara hidup kapitalis sehingga tahun 2047.[4] Undang-undang Dasar itu turut menetapkan sumber-sumber undang-undang, hubungan di antara Hong Kong dan pemerintah pusat China, hak-hak dan kewajipan-kewajipan asas penduduk Hong Kong dan cabang-cabang pemerintah tempatan.