Koordinat: 6°18′05″N 100°24′55″E / 6.30144°N 100.41525°E / 6.30144; 100.41525
Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu (singkatan: MRSMKP) merupakan sebuah institusi MRSM yang dikelolakan oleh MARA. Ianya terletak di utara semenanjung Malaysia, dalam bandar Jitra, Kedah. MRSMKP ini ditubuhkan dalam kawasan yang tenang dan sesuai untuk iklim pembelajaran kerana terletak berhampiran dengan institusi-intitusi pengajian tinggi seperti Universiti Utara Malaysia, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), Institut Latihan dan Perindustrian (ILP) dan beberapa institut pengajian tinggi yang lain di sekitar Jitra, Kedah. Ini sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat kepada pelajar untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya berjaya melangkah ke puncak menara gading.
MRSMKP ditubuhkan hasil daripada rancangan pembangunan Malaysia RMK8 dengan kos sebanyak RM38 juta di atas tanah dengan berkeluasan 44.312 ekar di Jalan Kampung Gelong, Jitra, Kedah. Majlis Perletakan Batu Asas MRSM Kubang Pasu telah disempurnakan oleh Y.B Dato' Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 25 Jun 2005.
MRSM Kubang Pasu mula beroperasi pada 18 Disember 2006 dan pentadbiran awal diterajui oleh Pengetua, Penolong Pengetua Hal Ehwal Akademik, Penolong Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Penolong Pegawai Tadbir Kanan dan 20 orang guru. Sehingga kini MRSM Kubang Pasu mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 75 orang yang terdiri daripada 45 orang guru dan 32 orang kakitangan sokongan.
MRSM Kubang Pasu mula membuka pintu pendaftaran sulung pada 18 Mac 2007 dan seramai 119 orang pelajar tingkatan 1 dan 247 orang pelajar tingkatan 4 telah mendaftarkan diri dan seterusnya mendukung moto "Keunggulan Peribadi Kecemerlangan Prestasi" yang telah diilhamkan oleh pengetua MRSM Kubang Pasu yang pertama iaitu En. Ahmad Sanusi b. Hashim.
Wahai putera puteri bangsaku Ayuh segera menuju Mengikut gerak langkah maju Bersatu mencari ilmu
Di zaman sains dan teknologi Negara perlukan jasamu Janganlah rasa malas lagi Bersama memegang teraju
Di Maktab Rendah Sains MARA Tuntut ilmu jangan jemu Ikrar taat setia pada guru Berdisiplin selalu
Hari ini hari mulanya Hari esok berjaya Lengkapkan segala yang ada Ke kuliah kita segera
Rencana mengenai sekolah ini ialah rencana tunas. Anda boleh membantu Wikipedia dengan mengembangkannya.