Majlis Ulama Kanan (Arab: مجلس هيئة كبار العلماء, rumi: Majlis Hay'at Kibar al-‘Ulama) merupakan badan agama tertinggi di Arab Saudi yang berperanan menasihati Raja bagi perkara-perkara agama.[1][2][3] Majlis ini dilantik oleh raja dan dibiayai oleh pihak kerajaan. Sehingga tahun 2009, Majlis ini dianggotai oleh seramai 21 orang anggota.[2] Raja Fahd ibn Abdulaziz Al Saud menyambung ketetapan sebelum ini bagi mengadakan pertemuan mingguan dengan anggota Majlis yang diadakan di ibu negara, Riyadh.[4] Pada tahun 2010, Raja Abdullah ibn Abdulaziz Al Saud telah menitahkan hanya beberapa orang ahli Majlis dan beberapa orang ulama lain sahaja yang dibenarkan mengeluarkan fatwa di Arab Saudi..[2]
Sebelum tahun 1971, Majlis seumpama ini telah mengadakan pertemuan secara tidak rasmi, diketuai oleh Mufti Besar Arab Saudi.[1]
Pada 29 Ogos 1972, Raja Faisal ibn Abdulaziz Al Saud telah mengeluarkan pemasyhuran diraja mengenai penubuhan Majlis ini.[5]
Sehingga tahun 2009, Majlis ini dihadkan kepada ulama dari aliran mazhab fiqah Hanbali sahaja. Pada 14 Februari tahun yang sama, Raja Abdullah telah meluaskan keanggotaan Majlis ini dengan melibatkan ulama dari tiga mazhab fiqah Islam yang lain iaitu Syafii, Maliki dan Hanafi.[2]
Pada tahun 2020, Mufti Besar, Syeikh Abdulaziz bin Abdullah Al al-Syeikh, kekal sebagai ketua Majlis[6].
Majlis Ulama Kanan membantu menilai permohonan fatwa yang disediakan oleh empat atau lima orang anggota Presidensi Umum Penyelidikan Islam dan Kefatwaan yang turut menjadi anggota Majlis ini. Setiap anggota Majlis ini dilantik untuk tempoh 4 tahun bagi satu sesi perkhidmatan.[7]
Pada tahun 2010, Raja Abdullah menitahkan bahawa hanya ulama yang disahkan sahaja yang dibenarkan mengeluarkan fatwa di Arab Saudi.[2] Akibatnya, sebuah portal mengenai fatwa Islam, Islam-QA, yang dikendalikan oleh ulama Saudi, Muhammad Al-Munajid telah diharamkan bersiaran di Arab Saudi.[2][8]
Bagi mengawasi penggunaan hadis Nabi Muhammad SAW agar tidak digunakan untuk keganasan dan pengganas, Raja Salman ibn Abdulaziz Al Saud menubuhkan sebuah agensi yang diketuai oleh anggota Majlis, Syeikh Muhammad bin Hassan Al al-Syeikh[9]. Agensi berkenaan akan menghapuskan hadis palsu dan ekstrim yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk yang ‘menghalalkan’ perlakuan jenayah, pembunuhan dan keganasan.
Pada 18 Oktober 2020[10], Raja Salman telah mengeluarkan pemasyhuran diraja bagi senarai anggota Majlis bagi sesi baharu. Seramai 21 anggota telah dilantik dan Syeikh Abdullah bin Abdulaziz Al al-Syeikh kekal dilantik sebagai Pengerusi.
|dead-url=