Mahakali - Anth Hi Aarambh Hai ( Bahasa Melayu: Mahakali - Sebuah Pengakhiran Menandakan Sebuah Permulaan ) adalah siri televisyen mitologi India yang ditayangkan pada 22 Julai 2017 di saluran Colors TV . [1] Rancangan ini memperlihatkan kisah epik transformasi penjelmaan Dewi Parvati kepada Dewi Mahakali . [2] Diterbitkan oleh Siddharth Kumar Tewary dari Syarikat Swastik Productions, dibintangi oleh Pooja Sharma yang memainkan peranan penting sebagai Dewi Mahakali . [3]
Rancangan ini berkisarkan mengenai kisah Dewi Parvati, isteri Dewa Shiva, adik kepada Dewa Vishnu dan mempunyai sisi garangnya, iaitu sebagai Mahakali .
Adi Parashakti, Dewi Alam Semesta yang tertinggi (menurut kepercayaan Shakta ) menciptakan Dewa Brahma - pencipta segala manusia, Vishnu - pelindung dan Shiva - pemusnah, serta isteri mereka masing-masing. Menurut janji yang dibuat oleh Mahakali kepada Dewa Shiva yang telah menyatakan rasa cinta kepadanya, dia telah melalui banyak kelahiran di bumi supaya dapat memujuk dan mengahwini Dewa Shiva di bumi. Dewa Shiva diberi tugas untuk mengubah penjelmaan Dewi yang mencipta dunia menjadi Mahakali tetapi gagal sebanyak 107 kali (di mana kelahiran ke-107 adalah Dewi Sati ). Oleh itu, Adi Parashakti akhirnya menjelma sebagai puteri Himalaya dan terkenal sebagai Dewi Parvati.
Dengan kehendak dan ketaatan yang kuat, Parvati akhirnya berjaya menjadi isteri kepada Dewa Shiva. Namun, perkahwinan mereka terancam ketika raja iblis, Shumbha (bersama adiknya Nishumbha) yang telah tertawan akan kecantikan Dewi Parvati menyatakan hasratnya untuk mengahwininya lalu mengisytiharkan perang melawan Dewa Shiva. Dalam usaha melindungi semua dewa dewi yang telah berlindung di kediamannya di Gunung Kailash, Dewi Parvati yang telah hilang kesabarannya setelah melihat Shumbha melakukan perbuatan yang mengancam maruah para dewi, bergegas memasuki perang setelah berjaya menjelma dan bertukar menjadi Dewi Mahakali. Kemarahannya memberi inspirasi kepada dewi-dewi lain seperti Lakshmi, Saraswati dan Indrani untuk menerbitkan sifat pejuang dalaman mereka dan bertempur bersama Kali mengalahkan tentera iblis.
Mahakali dapat menjatuhkan tindakan zalim Shumbha terhadap para dewa dewi dan membunuh semua pahlawan tenteranya (termasuk iblis terkenal seperti Mahishasura, Bhandasura, Tarakasura, Nishumbha, Raktabija dan Chanda-Munda ).
Bertahun-tahun setelah kemenangannya, Dewa Shiva dan Dewi Parvati telah membuatkan keluarga mereka bertambah ahlinya setelah kelahiran Dewa Kartikeya dan Dewa Ganesha . Kisah-kisah selanjutnya menumpukan mengenai kejayaan usaha wanita melawan pemerintahan yang kejam oleh pemerintah iblis seperti Bandasura, Narakasura, Arunasura, Durgamasura, Andak dan lainnya - semuanya adalah iblis hebat yang terkenal tetapi dibunuh oleh Dewi dalam pelbagai jenis penjelmaan. Rancangan ini juga menekankan bahawa pentingnya sesebuah keluarga itu untuk saling berpegang teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran sosial dan menghapuskan banyak pemikiran kolot yang merendahkan seseorang yang lain.