Setem magenta satu sen British Guiana dianggap oleh banyak filatelis setem langka paling terkenal di dunia.[3][4] Setem ini dikeluarkan dalam jumlah tehad di Guyana British (sekarang Guyana) pada 1856, dan hanya satu spesimen yang diketahui wujud. Ini adalah satu-satunya setem pos utama dikeluarkan yang tidak diwakili dalam Koleksi Filateli Diraja Britain.[5]
Setem ini bersifat tidak bertebuk, dicetak dalam tulisan hitam pada kertas magenta, dan mempunyai gambar kapal layar bersama-sama dengan moto Latin "Damus Petimus Que Vicissim" (kami memberi dan mengharapkan balasan) di tengah-tengah. Empat garisan nipis membingkai kapal. Negara keluaran dan nilai setem dalam huruf kecil hitam pula mengelilingi bingkai. Dengan harga jualan AS$9,480,000 pada 17 Jun 2014[1][2] kepada pereka fesyen Amerika, Stuart Weitzman; setem ini memecahkan rekod dunia bagi nilai harga lelong setem tertinggi.[6] Setem itu dilelong semula pada 8 Jun 2021 dengan harga $8,307,000.
Setem ini ialah sebahagian daripada siri tiga setem definitif yang dikeluarkan pada 1856 dan bertujuan untuk digunakan di surat khabar tempatan. Dua setem lain, versi magenta dan biru empat sen, digunakan bagi hantaran pos. Keluaran setem ini timbul melalui nasib malang. Penghantaran setem yang dijangkakan melalui kapal tidak tiba sehingga pengepos tempatan, E.T.E. Dalton, pencetak sah Joseph Baum dan William Dallas selaku para penerbit surat kabar Official Gazette di Georgetown, untuk mencetak tiga setem sebagai terbitan kecemasan. Dalton memberikan beberapa spesifikasi mengenai reka bentuknya, tetapi pencetak memilih untuk menambahkan gambar kapal rekaan mereka sendiri terhadap setem. Dalton tidak berpuas hati dengan hasil akhirnya, dan sebagai langkah perlindungan terhadap pemalsuan, beliau memerintahkan agar semua surat yang mengandungi cap itu ditandatangani oleh kerani pejabat pos. Setem khas ini ditandangani dengan E.D.W. oleh kerani Edmond D. Wight. [7]
Hanya satu salinan setem satu sen yang diketahui wujud. Setem ini wujud dalam keadaan terpakai dan telah dipotong dalam bentuk segi lapan. Tanda tangan, sesuai dengan dasar Dalton, dapat dilihat di sebelah kiri, bersama dengan tanda pos yang ketara.
Setem ini ditemui pada tahun 1873 oleh seorang pelajar sekolah Scotland berumur 12 tahun, Louis Vernon Vaughan, di daerah Demerara, Guyana (seperti pada cap pos), di antara surat-surat bapa saudaranya. Memandangkan tidak ada catatan dalam katalog capnya, beliau menjualnya beberapa minggu kemudian sebanyak enam shilling[3] kepada pengumpul tempatan, Neil Ross McKinnon. Pada 1878 .koleksi McKinnon dijual kepada pengedar setem Liverpool, Thomas Ridpath, dengan harga £120. [8] Tidak lama kemudian, pada tahun yang sama, Thomas Ridpath menjual setem itu kepada Philipp von Ferrary dengan harga sekitar £50.[8] Koleksi setemnya yang besar diwasiatikan terhadap sebuah muzium di Berlin tetapi setelah kematian Ferrary pada 1917, keseluruhan koleksi diambil oleh Perancis sebagai pampasan perang setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama.[9]
Arthur Hind pula membeli setem itu dalam siri empat belas lelongan pada 1922 dengan harga lebih dari $36,000 (dilaporkan mengalahkan tiga orang raja, termasuk George V); pada 6 April 1922, dalam penjualan ketiga, lot 295, setem dijual dengan harga 300,000 franc + 17½% cukai (menganggap 48 frs. bersamaan £1, nilai setem ialah £7,343).[8] Pada 30 Oktober 1935, setem ini ditawarkan untuk dijual di lelongan Harmer Rooke & Co bernombor 2704, lot 26, di mana tawaran sebanyak £7,500 diterima dari Percival Loines Pemberton. Walau bagaimanapun, lot ditarik balik dan dikembalikan kepada Mrs. Scala (dahulunya Mrs. Hind).[8] Pada 1940, dia menawarkan setem itu bagi penjualan peribadi melalui bahagian filateli di kedai serbaneka Macy's di New York City. Kemudian, setem itu dibeli dengan harga $40,000 oleh Fred "Poss" Small, seorang jurutera kelahiran Australia dari Florida, yang ingin memiliki setem itu sejak dia pertama kali mendengarnya ketika masih kecil.[10] Semasa memperolehnya, Small berjaya melengkapkan koleksi setemnya dari Guiana British. Pada 1970, Small melelong seluruh koleksi setemnya (dianggarkan bernilai $750,000), dan setem satu sen diperoleh oleh sindiket para pelabur Pennsylvania, yang diketuai oleh Irwin Weinberg, yang membayar $280,000 bagi setem itu dan menghabiskan sebahagian besar dekad itu untuk membuat pameran dalam jelajah dunia. John E. du Pont membeli setem dengan harga $935,000 pada 1980,[3][6] menetapkan rekod dunia bagi harga setem sekali lagi.[6] Selepas itu, setem itu dipercayai dikurung di dalam peti besi bank ketika pemiliknya berada di penjara.[11] Du Pont meninggal dunia ketika masih dipenjarakan pada 9 Disember 2010; 80% daripada hasil lelongan tersebut diserahkan kepada Valentin Yordanov, seorang ahli gusti Bulgaria yang telah bersara, yang mana Du Pont telah meninggalkan sebahagian besar harta tanahnya.[12]
Setem itu dijual dari ladang DuPont pada 17 Jun 2014 di acara lelongan Sotheby's di New York, dengan nombor penjualan N09154, dengan harga $9,480,000 termasuk premium.[1][2] Hanya tempoh dua minit diambil untuk menjual kepada penawar awanama, dan merupakan kali keempat cap tersebut memecahkan rekod dunia bagi tawaran setem tunggal; kali ini, penjualan itu memecahkan rekod 1996 bagi setem Treskilling Yellow bernilai $2.3 juta, sehelai setem 1855 dari Sweden.[6] Sejak itu, pembeli telah mendedahkan dirinya sebagai pereka kasut dan ahli perniagaan Stuart Weitzman, yang mengumpulkan setem ketika zaman kanak-kanaknya. [13] Setem itu dilelong semula pada 8 Jun 2021 dengan harga $8,307,000.[14][15]
Pada satu ketika, dicadangkan bahawa cap satu sen hanyalah salinan "doktor" dari setem empat sen dari siri yang sama, sebuah setem yang sangat serupa dengan setem asal daripada aspek rupa. Walau bagaimanapun, tuntutan ini telah dibantah.[16]
Pada 1920-an, timbul desas-desus bahawa salinan setem kedua telah dijumpai oleh pemilik ketika itu, Arthur Hind, yang secara senyap-senyap membeli salinan kedua yang dengan niat untuk memusnahkannya. Khabar angin itu belum dibuktikan.[17]
Pada 1999, setem satu sen yang kedua didakwa telah ditemui di Bremen, Jerman. Setem itu dimiliki oleh Peter Winter yang terkenal dengan pembuatan banyak barang-barang filateli klasik palsu,[18] dan dicetak pada kertas moden. Setem itu diperiksa dua kali dan didapati palsu oleh Persatuan Filateli Diraja dari London. Pada pendapat mereka, spesimen ini ialah setem versi empat sen yang diolah.[17][19]