Legasi ialah album khas oleh penyanyi wanita Malaysia, Siti Nurhaliza, dikeluarkan pada 1 April 2021 oleh Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Malaysia. Album ini merupakan album kanak-kanak pertamanya.[1]
Idea untuk Legasi bermula apabila Siti Nurhaliza merancang untuk menerbitkan sebuah album kanak-kanak menjelang kelahiran cahaya mata keduanya. Menurut Siti, ia merupakan satu usahanya untuk melestarikan lagu kanak-kanak klasik agar ia terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang. Proses rakaman Legasi amat rumit bagi Siti kerana beliau hadir ke studio rakaman dalam keadaan sarat hamil, namun beliau berpuas hati dengan hasilnya kerana album itu mempunyai keistimewaan tersendiri. Menurut Siti, proses rakaman Legasi berbeza daripada album-album komersialnya.[2]
Untuk album ini, Siti bekerjasama dengan Pown Hasril yang pernah terbabit dalam album ManifestaSITI2020 bagi memberikan sentuhan baharu dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan. Legasi mengandungi 10 lagu termasuk interlude. Dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu khas didedikasikan buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul "Anakanda". Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu "Comel Pipi Merah" turut dimuatkan di dalam album ini.[3][4]
Legasi dikeluarkan pada 1 April 2021, bertepatan dengan sambutan Jubli Perak kerjaya muzik Siti Nurhaliza. Dua lagu dari album itu, "Medley Klasik Siti 1" dan "Anakanda" telah dijadikan muzik video. Album ini mendapat sambutan yang baik di pasaran,[5] malah ia berjaya menduduki kedudukan teratas di carta iTunes Malaysia.[6]