KL Gangster merupakan sebuah filem aksi jenayah Malaysia 2011 arahan Pengarah Terbaik FFM 23, Syamsul Yusof (yang turut membintanginya). Ia dibintangi oleh Aaron Aziz, Adi Putra, Soffi Jikan dan Zizan Razak, ia menceritakan tentang seorang bekas ketua gangster yang baru keluar dari penjara, ingin mengubah kehidupannya. Filem ini telah ditayangkan di pawagam pada 9 Jun 2011.[3]
KL Gangster dilaporkan sebagai filem buatan Malaysia pertama yang mencecah setakat kutipan RM 10 juta di pawagam-pawagam tempatan,[4] sekaligus mengatasi rekod keseluruhan yang dipegang oleh Ngangkung pada tahun 2010. KL Gangster mempertahankan gelaran filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman selama tiga tahun, sebelum diatasi oleh filem tempatan berbahasa Cina, The Journey, pada awal tahun 2014.[5] Prekuel filem ini, KL Gangster 2 telah ditayangkan pada 3 Oktober 2013 diikuti oleh dua terbitan turunannya Abang Long Fadil pada 29 Mei 2014[6] dan Abang Long Fadil 2 pada 24 Ogos 2017. Filem ini merupakan pengakhiran francais KL Gangster manakala KL Gangster 2 pada 2013 adalah permulaan nya.
Sinopsis
Dua adik-beradik telah terjebak di dalam dunia gangster, si abang iaitu Malek (Aaron Aziz) dan Jai (Adi Putra). Malek telah dipenjarakan selama 5 tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri semasa menolong Malek menumpaskan Tailong(Rosyam Nor) yang didalangi oleh Shark (Syamsul Yusof) anak tiri kepada King (Ridzuan Hashim), iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Bagi Malek setelah dibebaskan beliau ingin mengubah persepsi kehidupan serta menjauhkan diri dari kehidupan hitam sebagai ahli kongsi gelap.
Menjalani rutin kehidupan biasa sambil menjaga ibunya yang dah tua tapi sebagai bekas banduan yang dipandang serong oleh masyarakat adalah agak sukar dia menjalani kehidupan seperti biasa. Beliau sering diganggu oleh gangster-gangster lain yang masih berdendam dengan beliau sehingga King tampil menghulurkan bantuan untuk Malek memulakan kehidupan baru. King mengarahkan orang-orangnya supaya tidak menganggu kawasan Malek dan ini amat tidak disenangi oleh anak tirinya Shark yang ingin menjadi "Raja" di KL ini. Berlainan pula dengan kehidupan adiknya yang masih hanyut dibuai kemewahan hidup di dalam dunia gangster.
Si adik, Jai pula berfikir kemewahan hidup adalah segalanya dan ini hanya boleh dicapai dengan dunia hitam yang diceburinya sekarang. Dia sanggup melakukan apa saja demi wang dan kuasa. Jai antara orang kuat Shark dalam apa saja misi yang Shark lakukan. Jai lah orangnya yang akan tampil ke depan untuk merealisasikan apa jua yang diarahkan Shark. Sayap Shark semakin berkembang. Tapi dengan kemunculan Malek, Shark terasa semakin tergugat. Beliau terasa tercabar. Berbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan Malek tetapi sentiasa dipatahkan oleh ayah tirinya King yang sering membela Malek yang dianggap sebagai sahabat.
King kurang senang dengan karenah Shark yang sentiasa mencetuskan perbalahan yang membabitkan kumpulan-kumpulan gelap yang lain. Ini membuatkan hubungan anak beranak ini semakin dingin. Kerana tamakkan kuasa Shark mula berdendam dengan ayahnya beserta Malek. bagi Shark, Maleklah punca segalanya. Dengan itu, Shark mengarahkan Jai untuk menghapuskan abangnya. Disinilah bermula konflik diantara saudara dan kesetiaan keluarga dan kumpulan.
KL Gangster merupakan filem kelima arahan Syamsul Yusof dengan lakonlayar oleh beliau sendiri. Dengan kos berjumlah RM1.8 juta termasuk promosi, penggambaran dijalankan di lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan mengambil masa 35 hari untuk disiapkan.[7]
Rizal Ashreff yang menulis skrip dan berkhidmat sebagai pembantu pengarah mengakui 80 peratus perjalanan cerita tersebut berkaitan kisah benar kehidupan samseng di ibu kota. Dalam temuramah bersama mSTAR Online, beliau berkata: "Cerita ini bukan sahaja memberi pengajaran, malah menyampaikan tentang perkara yang mungkin orang luar tidak tahu tentang gengster. Saya mempunyai beberapa kenalan yang terlibat dengan dunia gengsterisme. Ada yang hidup senang dengan kegiatan yang dilakukan."[8]
Keluaran dan sambutan
Pecah panggung
Pada hari pertama tayangan, filem ini berjaya mengutip RM 1.5 juta.[9] Angka ini mencecah RM6.2 juta[10] selepas empat hari, sekaligus menduduki tangga teratas dalam carta kutipan pawagam Malaysia pada hujung minggu pertamanya (9 hingga 15 Jun 2011), mengatasi filem-filem Barat seperti Super 8, X-Men: First Class dan Kung Fu Panda 2.[11]
Hanya selepas hujung minggu keduanya, dikhabarkan bahawa filem KL Gangster meraih sejumlah RM10.3 juta[4], sekaligus mengatasi rekod RM8.18 juta yang dipegang oleh Ngangkung terbitan Metrowealth Movies Production pada akhir tahun 2010.[12] Sepanjang tempoh tayangannya KL Gangster meraih sebanyak RM11.74 juta keseluruhan, mempertahankan gelarannya sebagai filem Malaysia dengan kutipan tertinggi selama dua tahun setengah, hingga ia diatasi oleh filem Malaysia berbahasa Cina, The Journey, pada Februari 2014.[13][14]
Ulasan kritikal
Portal hiburan gua.com.my menerbitkan ulasan yang memberi filem KL Gangster markah 4/5 bintang, dengan memujinya sebagai filem aksi yang "realistik".[15] Menurut penulis ulasan, Azwan Annuar, "Melatari sebuah filem aksi yang cukup dikoreograf, adalah sebuah jalan cerita yang mudah. Kisah pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur, yang merebut kawasan ‘jagaan’ mereka. Ianya boleh dikatakan satu konflik realiti yang wujud dalam golongan masyarakat kota di sini."[15]
Menurut portal tupai.com.my[16] yang menyiarkan ulasannya sebelum filem ditayangkan kepada umum, lakonan yang ditonjolkan oleh setiap pendokong watak dilihat menjadi. Menurut ulasan tersebut, "Keberkesanan watak yang ditonjolkan berjaya mengesankan penonton dan membuatkan cerita ini menarik untuk ditonton. Pujian harus diberi kepada setiap pelakon filem ini terutamanya Zizan Raja Lawak yang memberikan lakonan yang membuatkan penonton tidak kering gusi. Pujian harus diberikan kepada Syamsul Yusof yang berjaya menonjolkan sisi lakonan yang baik dan berjaya menjiwai watak."[16] Mohd Rasdan Ahmad dari Utusan Malaysia menyatakan KL Gangster memerlukan penerangan dengan lebih jelas jika diterbit sebuah lagi episod awal filem ini, iaitu kisah terdahulu yang tidak dipaparkan dalam filem ini.[17]
Kontroversi
Di sebalik sambutan hangat oleh para pengunjung pawagam dan pengulas filem, namun filem KL Gangster tidak terlepas daripada bantahan segelintir pihak, iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA), yang dilaporkan mahu menyaman pengarahnya, Syamsul Yusof, kerana watak-watak dalam filem ini menggunakan perkataan seperti "abang long" dan "ayahanda" yang dikatakan ada kena mengena dengan Pekida.[18] Turut terlibat dalam hal ini ialah filem arahan Farid Kamil, Kongsi, sebuah filem yang serupa temanya dengan KL Gangster dan ditayangkan sebulan sebelumnya, atas sebab-sebab yang seumpamanya. PEKIDA meluahkan rasa kecewa dengan Lembaga Penapisan Filem kerana meluluskan filem-filem terbabit, namun pihak LPF telah meminta maaf kepada PEKIDA dan menjemput wakil-wakil PEKIDA untuk menyertai panel lembaga tersebut.[19][20][21]
Muzik
Lagu tema filem ini ialah "Takhta" nyanyian Fadali Mohd Darif atau Filsuf, bekas penyanyi kumpulan Ahli Fiqir duet bersama Erna, dikeluarkan pada 29 Mei 2011 oleh Nova Music.[22]
KL Gangster merangkul enam anugerah Festival Filem Malaysia(FFM) ke-24[23] dan empat Anugerah Blockbuster.[24] Selain itu,filem ini turut dipertandingkan di Thailand, apabila dijemput untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Hua Hin[25] Filem ini turut bertanding bersama beberapa filem "pecah panggung" dari seluruh dunia.[26]
Filem prekuel telah diumumkan pada November 2011, menjalani penggambaran pada 1 Disember 2011 di beberapa lokasi menarik seperti sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Batu Gajah, Perak. Syamsul Yusof, Soffi Jikan, Aaron Aziz dan Ady Putra kembali menjayakan peranan mereka masing-masing. Secara tambahannya, Rosyam Nor telah dipilih memegang watak Tailong, selepas Syamsul gagal mendapatkannya untuk filem pertama.[28] Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim membuat penampilan istimewa dalam filem ini. Grand Brilliance kembali bekerjasama dengan Skop Productions untuk filem ini. KL Gangster 2 telah ditayangkan pada 3 Oktober 2013.[29][30]
Sebuah siri TV terbitan turunan telah diumumkan pada Disember 2017, telah diterbitkan untuk siaran di rangkaian perkhdmatan video atas permintaan, iflix dan bakal diarahkan oleh Syafiq Yusof.[33] Drama bersiri enam episod ini turut diarahkan bersama oleh Faisal Ishak dan dijangka akan bersiaran pada pertengahan 2018.[34][35]