Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya ialah salah satu daripada 13 fakulti Universiti Malaya (UM).[3] Ia ditubuhkan pada 21 April 1972 selepas penubuhan kampus universiti di Kuala Lumpur dan merupakan sekolah undang-undang pertama yang ditubuhkan di Malaysia.[4]
Fakulti ini telah berkembang daripada hanya pengambilan 50 pelajar pada tahun pertama kepada 160 pelajar sarjana muda setahun (pelajar dalaman), 450 pelajar pascasiswazah, di mana 110 daripadanya telah melanjutkan pengajian PhD (dalaman dan jauh) dan lebih daripada 300 pelajar luar negara.[4] Kini ia telah berkembang daripada sebuah institusi pengajian kepada persekitaran profesional yang matlamatnya untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan profesion undang-undang.[4]
Gambaran keseluruhan
Datuk G. Rajasooria ialah individu yang bertanggungjawab di belakang tabir dan melihat pengiktirafan berkanun Fakulti Undang-Undang, UM. Dekan pertama, Allahyarham Tan Sri Profesor Dr. Ahmad Ibrahim, telah dilantik pada Ogos 1972, sebelum pintu fakulti dibuka pada September 1972 kepada 50 ‘peguam' baru, kumpulan pertama fakulti. Mereka telah menamatkan pengajian pada tahun 1976.[4]
Bermula dari ijazah sarjana muda yang dianugerahkan pada tahun 1976, graduan Sarjana pertama dengan bangganya menerima skrol mereka pada tahun 1978, dan dua tahun kemudian, diikuti dengan penganugerahan PhD. Kumpulan perintis Fakulti Undang-undang ini ialah 'peguam' pertama yang menerima skrol mereka daripada Canselor ketika itu, Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.[4]
Fakulti Undang-Undang juga memperkenalkan program Rancangan Pendidikan Undang-Undang Lanjutan pada 1993 dalam usaha membantu menyebarkan pengetahuan mengenai pelbagai aspek undang-undang kepada masyarakat luar kampus.[5]
Alumni terkenal
Alumni-alumni Fakulti Undang-undang Universiti Malaya terdiri daripada individu-individu daripada pelbagai latar belakang yang telah memberi sumbangan masing-masing ke arah pembangunan negara dalam sektor perkhidmatan, kehakiman, perundangan, kerajaan, korporat, akademi dan di Parlimen.[6]
Profesor Dr. Jason Chuah C.T., Dekan Fakulti Undang-undang UM & Mantan Ketua Jabatan Undang-undang, City Law School UK & Penerima Cambridge Commonwealth Trust Award di Universiti Cambridge.
Profesor Datuk Dr. Khaw Lake Tee, Mantan Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya & Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya & Mantan Naib Pengerusi SUHAKAM
Profesor Madya Dato Dr. Johan Shamsuddin Sabarudin, Mantan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya & Pesuruhjaya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC)