Canon EOS (singkatan bagi Electro-Optical System) adalah sistem kamera SLR daripada Canon yang menggunakan autofokus. Ia diperkenalkan dengan EOS 650, kamera SLR filem 35 mm pada tahun 1987. Sistem ini juga masih digunakan kamera SLR digital kini dan juga EOS M. EOS dipilih daripada nama salah satu dewa dari mitologi Yunani yang bernama Eos, dewi fajar.
Pada tahun 1985, syarikat Minolta (kini Konica Minolta Holdings) telah memperkenalkan sistem autofokus kamera SLR, "α-System" yang telah memberi kejutan kepada dunia kamera SLR. Pada waktu itu, Canon memperkenalkan kamera T80 yang mempunyai autofokus dengan 3 kanta cagak FD. Walaubagaimanapun, sistem autofokus Canon pada masa itu bersifat eksperimen dan hasilnya amat tidak memuaskan menyebabkan jualan kameranya itu tidak memberangsangkan. Berikutan itu, Canon mula serius dalam kamera autofokus dan memperkenalkan siri EOS pada tahun 1987.
Dengan mengambil pendekatan berbeza dari syarikat lain, Canon meninggalkan cagak FD dan membangunkan sistem baru dengan menggunakan cagak EF. Sistem pergerakan autofokus dan dedahan automatik dilakukan sepenuhnya oleh komputer dan motor di dalam kanta, manakala hubungan antara kanta dan badan kamera dalam bentuk isyarat elektronik. Ini amat berbeza dengan cagak FD yang memerlukan badan kamera untuk melakukan semua itu. Cagak EF ini kemudian berkembang dengan Canon memperkenalkan USM (Motor Ultrasonik), manual fokus sepanjang masa (full time manual focus), dan juga IS (penstabilan imej).
Sistem denyar EOS telah melalui banyak perubahan sejak pengenalannya. Sistem denyar EOS yang asal sebenarnya dibangunkan bukan untuk kamera EOS yang pertama, sebaliknya untuk kamera yang menggunakan cagak FD, T90 yang dilancarkan pada tahun 1986. Kamera ini merupakan kamera Canon yang pertama menggunakan teknik pemeteran denyar melalui kanta (through-the-lens, TTL), walaupun kamera dari jenama lain telah menggunakan teknik yang sama. Sistem A-TTL (TTL Lanjutan) untuk dedahan denyar yang lebih baik semasa menggunakan mod program, menggunakan pra-denyar inframerah untuk mengukur jarak subjek.
Sistem ini kemudiannya digantikan dengan E-TTL (TTL berpenilaian). Ini menggunakan pra-denyar untuk pemeteran awal dan menggunakan sistem autofokus untuk menilai kedudukan subjek untuk dedahan yang lebih tepat. E-TTL II, merupakan penambahbaikan di dalam perisian kamera, menggantikan E-TTL sejak tahun 2004.
Denyar berjenama Speedlite dari Canon ini berubah selaras dengan kameranya. Denyar-denyar ini berkebolehan untuk penyediaan multi-denyar secara berwayar mahupun tanpa-wayar. Penggunaan tanpa-wayar menggunakan dedenyut cahaya tampak mahupun inframerah untuk disamakan. Canon juga mengeluarkan pelbagai aksesori Speedlite untuk pelbagai kegunaan.
Kamera EOS
Kamera pertama yang menggunakan sistem ini, Canon EOS 650 diperkenalkan pada tahun 1987 dan berjaya menduduki tempat pertama di Jepun, Amerika dan juga Eropah. Sehingga tahun 2007, Canon telah mengeluarkan lebih 40 model kamera EOS. Kamera EOS memasuki era digital dengan Canon EOS D30 diperkenalkan pada tahun 2000 dan kamera filem ditinggalkan pada tahun 2007.
Pemfokusan kawalan mata
Pemfokusan kawalan mata atau eye-controlled focusing (ECF) adalah satu kaedah pemfokusan dengan menjejak pergerakan bola mata. Titik autofokus akan dipilih berdasarkan ke mana pengguna melihat di dalam pemidang tilik. ECF biasanya digunakan dalam fotografi sukan di mana subjek sentiasa bergerak yang menyukarkan pemfokusan terutama dalam pemilihan titik fokus.
ECF dilengkapkan ke dalam beberapa kamera sahaja, iaitu EOS 5, EOS 50e, EOS IXe, EOS-3, EOS 30 dan EOS 30V. Selepas EOS 30V, tiada kamera EOS lain dilengkapi ECF.
Kamera filem
Berikut adalah senarai model kamera EOS filem 35 mm dan APS dalam susunan tarikh pengeluaran:
Canon menghasilkan kamera digital pertamanya pada tahun 1995 dengan kerjasama Kodak. Kamera-kamera ini menggunakan belakang kamera digital. Sensor imej dan elektronik direka oleh Kodak bersama dengan EOS-1N yang telah diubah suai. Disebabkan badan kameranya menggunakan sistem EOS, ia boleh menerima kanta EF seperti kamera Canon EOS yang lain.
Model
Tarikh Keluaran
EOS DCS3
Julai 1995
EOS DCS1
Disember 1995
EOS D2000
Mac 1998
EOS D6000
Disember 1998
Keluaran sendiri
Selepas tamatnya perjanjian kerjasama dengan Kodak, Canon mengeluarkan EOS D30 yang disasarkan kepada kumpulan pengguna pertengahan. Mulai EOS D30, Canon mengeluarkan kamera direka, dibangun dan dibuatnya sendiri.
Semua kamera SLR digital Canon dilengkapi dengan sensor CMOS. Hanya EOS-1D sahaja yang menggunakan sensor CCD yang dibangunkan oleh Panasonic.
Melihat kepada trend pengguna yang menggunakan kamera SLR digital dalam bidang perfileman (terutamanya EOS 5D Mark II), Canon telah memperkenalkan satu barisan kamera wayang berdasarkan sistem EOS ini. Sistem ini diberi nama Cinema EOS. Sama seperti kamera EOS yang lain, kamera di bawah sistem ini juga menggunakan cagak EF dengan beberapa model ditawarkan untuk cagak PL, cagak yang menjadi satu piawai dalam industri perfileman.
Kamera Cinema EOS yang pertama ialah C300, dijual pada tahun 2011.