Alamat Protokol Internet (bahasa Inggeris: Internet Protocol addresscode: en is deprecated ) adalah suatu nombor unik yang digunakan oleh peranti sebagai pengenalan dan untuk berkomunikasi antara satu sama lain di dalam satu rangkaian komputer yang menggunakan piawaian Protokol Internet (IP). Kesemua peranti berkaitan — seperti penghala, komputer, pelayan-masa, pencetak, mesin faks internet, dan sesetengah telefon — boleh mempunyai alamat IP sejagat unik.
Oleh kerana alamat IP tidak mudah diingati, Sistem Nama Domain menyediakan keupayaan untuk mengaliaskan nama domain (cth. www.wikipedia.org) kepada alamat IP (207.142.131.248).
Keunikan IP
IP adalah satu protokol lapisan rangkaian di dalam set protokol Internet dan adalah protokol lapisan atasan yang menyediakan alamat sejagat yang unik (contoh. alamat MAC untuk ethernet) tetapi kedua alamat ini tidak semestinya dapat berkomunikasi antara satu sama lain. IP menambah satu servis di atas protokol lapisan pautan data — melalui penggunaan alamat IP — yang menyediakan keupayaan untuk pengenalan secara unik dan berkomunikasi dengan peranti lain di dalam rangkaian.
Dengan kata lain, alamat IP adalah seperti alamat penuh untuk mel pos sementara alamat MAC sekadar nombor rumah. Contohnya terdapat banyak alamat dengan nombor rumah 123 tetapi hanya ada satu alamat untuk 123, Jalan Utama, Cyberjaya, Malaysia. Hanya sekadar pos kepada "123" tidak akan sampai ke mana tetapi "123, Jalan Utama, Cyberjaya, Malaysia" adalah alamat sejagat yang unik. Contoh kedua adalah seperti nombor telefon, alamat MAC cuma sekadar nombor telefon biasa (contoh 12345678), manakala alamat IP ialah nombor telefon yang lengkap dengan kod negara dan kod kawasan (contoh +603 12345678). Namun satu perbezaan ketara dengan dua contoh di atas ialah alamat IP seseorang itu bukan maklumat awam.
Sifat unik alamat IP membolehkan dalam banyak situasi untuk menjejak komputer mana — dan berkemungkinan, pengguna mana — yang menghantar mesej atau berkecimpung dalam suatu aktiviti di Internet. Maklumat ini digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengenali penjenayah yang disyaki; walau bagaimanapun perkongsian alamat IP atau penggunaan alamat IP dinamik (seperti di Malaysia), menyukarkan proses ini.
Alamat IP boleh kelihatan dikongsi oleh beberapa peranti kerana mereka sama ada berkongsi persekitaran pelayan web hos atau pelayan proksi (contohnya ISP atau perkhidmatan ketanpanamaan) yang bertindak sebagai perantara bagi pihak pelanggannya. Dalam kes ini alamat IP sebenar pengguna tidak dapat dikesan oleh pelayan. Analogi kepada sistem telefon ialah kegunaan nombor dail keluar (proksi) dan nombor sambungan (kongsi).
IPv4 menggunakan alamat 32-bit (4 bait), yang menghadkan ruang alamat kepada 4,294,967,296 (232) alamat unik. Piawaian IPv4 boleh dikelaskan kepada lima iaitu: A, B, C, D dan E. Hanya kelas A, B dan C sahaja yang biasanya digunakan. Manakala yang lain disimpan untuk tujuan khas. Walau bagaimanapun telah muncul kaedah untuk menulis IP dengan tidak terikat dengan kelas dipanggil CIDR (Class-less Inter Domain Routing).
Disebabkan alamat IPv4 dikhuatiri habis tidak lama lagi, piawaian IPv6 sedang giat dijalankan. Alamat IPv6 adalah sepanjang 128 bit (16 bait), yang akan memberikan 2128, atau kira-kira 3.403 × 1038 alamat unik. Ini difikirkan cukup untuk tempoh yang lama.