Tebukan lumbar (LP), juga dikenali sebagai tusukan lumbar atau punktur lumbar merupakan sejenis prosedur perubatan yang melibatkan kemasukan jarum ke dalam saluran tulang belakang, dan prosedur ini seringkali dijalankan untuk mengumpul cecair serebrospinal (CSF).[1] Prosedur perubatan ini berupaya untuk membantu diagnosis meningitis, pendarahan subaraknoid, dan gangguan radangsistem saraf pusat.[2] Antara gangguan radang yang berkaitan termasuklah sklerosis berbilang, sindrom Guillain-Barré, leukoensefalopati, dan sindrom paraneoplastik.[2] Prosedur ini juga boleh digunakan untuk merawat hipertensi intrakranium idiopatik.[2]
Antara beberapa kontraindikasi berkaitan termasuklah beberapa jenis peninggian tekanan intrakranium tertentu, jangkitan kulit di tempat tebukan, dan aras platelet rendah di bawah 50 x 109 per L.[1] Walaupun prosedur ini boleh dilakukan pada pesakit yang sedang mengambil aspirin, atau jika diperlukan clopidogrel ; ia tidak disyorkan pada mereka yang sedang mengambil ubatan anti-penggumpalan atau pada mereka yang mengambil warfarin dengan nilai INR melebihi 1.5.[3] Walaupun secara amnya prosedur ini selamat, kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuklah sakit di tapak tebukan, sakit kepala pasca tebukan dural, jangkitan dan pendarahan.[3][2] Risiko sakit kepala boleh dikurangkan dengan menggunakan jarum kecil yang tidak memotong.[4] Sangat jarang hematoma tulang belakang atau kecederaan akar saraf mungkin berlaku.[3][2]
Prosedur tebukan lumbar ini biasanya dilakukan menggunakan anestesia tempatan dan teknik pensterilan umum.[2] Midazolam atau fentanil boleh membantu mengurangkan kebimbangan pesakit sewaktu tebukan lumbar.[5] Prosedur ini dilakukan dengan pesakit terlibat duduk menegak atau baring sisi.[5] Jarum kemudiannya ditusukkan terus ke garis tengah atau hanya di luar garis tengah belakang antara vertebra L3/4 atau L4/5 ke dalam ruang subaraknoid dan CSF dapat dikumpul.[2][6] "Picagari Hickie" boleh digunakan untuk menandakan tempat itu.[7]Ultrabunyi untuk mengenal pasti tempat tebukan juga berupaya meningkatkan kejayaan prosedur tersebut.[8]
Selepas prosedur ini dijalankan, pembalut dikenakan dan orang itu sudah boleh bergerak seperti biasa.[2] Cecair yang dikumpul seringkali dihantar untuk kiraan sel, kultur mikrob, penentuan paras protein dan glukosa, analisis warna dan sitopatologi.[2] Antara ujian lain boleh dijalankan menggunakan cecair tersebut termasuk ujian PCR dan jalur oligoklon.[2] Tebukan lumbar biasanya dilakukan pada masa kini.[1] Ia pertama kali dilakukan pada tahun 1891 oleh pakar perubatan Jerman Heinrich Quincke.[2][9]