Pada 9 April 2006, ketika berumur 16 tahun,[3] Jovetić membuat penampilan senior pertamanya untuk FK Partizan dibawah ketua jurulatih Jürgen Röber dalam perlawanan liga menentang FK Voždovac.[4]
Dia menjaringkan tiga gol semasa perlawanan kelayakan Piala UEFA menentang Zrinjski pada 2 Ogos 2007, dimana Partizan menang 5-0, merekodkan hatrik pertamanya ketika baru berumur 17 tahun.[5] Pada bulan Oktober 2007, dia dikatikan dengan kelab berprofil tinggi seperti Manchester United dan Real Madrid.[6][7] Dia menjadi kapten kelab Partizan ketika berumur 17 tahun, 10 bulan dan 21 hari pada bulan Januari 2008 selepas bekas kapten Antonio Rukavina dijual ke kelab Bundesliga, Borussia Dortmund. Ini menjadikannya kapten termuda Partizan dalam sejarah mengatasi rekod Albert Nađ yang menjadi kapten ketika berumur 19 tahun.[8] Jovetić memegang rekod itu sehingga 31 Oktober 2012 apabila rekod itu diatasi Nikola Ninković.[9]
Fiorentina
Pada 10 Mei 2008, kelab Serie A, Fiorentina menandatanganinya dengan yuran dilaporkan sebanyak £8 juta.[10] Dia menjaringkan gol pertamanya untuk La Viola dalam perlawanan liga menentang Atalanta pada 5 April 2009.[11]
Dia memulakan musim 2009–10 dengan menjaringkan gol menentang Sporting Clube de Portugal dimana mereka seri 1–1 di Stadio Artemio Franchi yang melayakkan Fiorentina ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.[12] Gol penting lain termasuk ketika menentang Palermo, Sampdoria dan Livorno. Pada 29 September 2009, dia menjaringkan kedua-dua gol ketika menang 2–0 ke atas Liverpool dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.[13] Pada 9 Mac 2010, Jovetić menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3–2 ke atas Bayern Munich. Walau bagaimanapun, kelab itu kalah menerusi gol tempat lawan dan dia sekali lagi menjaringkan gol ketika menentang Napoli pada 13 Mac. Dia menjaringkan gol ketika kemenangan 4–1 ke atas Udinese pada 28 Mac.
Semasa latihan pra-musim 2010–11, dia mengalami kecederaan ligamen cruciate di lutut kanannya menyebabkan dia terlepas keseluruhan musim.[14]
Jovetić kembali daripada kecederaan pada musim 2011–12, menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3–0 ke atas Parma.[15] Pada 15 Oktober 2011, Jovetić menandatangani kontrak yang akan mengekalkannya di Florence sehingga tahun 2016.[16] Jovetić menjaringkan gol untuk Fiorentina ketika menang 3–0 ke atas Novara pada 8 Januari 2012.[17] Sebulan kemudian, pada 5 Februari, Jovetić membantu pasukannya menang 3–2 ke atas Udinese dengan menjaringkan dua gol penalti.[18] Dia gagal menjaringkan gol selepas perlawanan itu untuk dua bulan sebelum berjaya menjaringkan gol ketika menang ke atas Milan 2–1 pada 7 April.[19] Jovetić menjaringkan 14 gol dalam 27 perlawanan liga Fiorentina dan pasukan itu menduduki tempat ke-13 dalam Serie A.[20]
Pada 17 Februari 2013, kedua-dua Jovetić dan Adem Ljajić menjaringkan dua gol untuk Fiorentina ketika menang ke atas Inter 4–1 di Stadio Artemio Franchi.[21]
Manchester City
Pada 19 Julai 2013, dia menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan perjanjian bernilai £22 juta.[22] Jovetić memilih untuk memakai jersi bernombor 35, yang dipakainya ketika bermain untuk Partizan. Dia menyertai bekas rakan sepasukannya di Fiorentina Matija Nastasić di kelab itu.[23] Dia membuat penampilan sulung untuk Manchester City pada 14 September ketika seri 0–0 dengan Stoke City.[24] Dia menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu pada 24 September ketika kemenangan 5–0 ke atas Wigan Athletic dalam Piala Liga.[25]
Pada 29 Januari 2014, Jovetić menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris ketika kemenangan 5–1 ke atas Tottenham Hotspur di White Hart Lane. Pada 15 Februari, dia menjaringkan gol pertamanya dalam Piala FA ketika kemenangan 2–0 ke atas Chelsea dalam pusingan kelima. Pada 5 April, dia menjaringkan gol keduanya dalam Liga Perdana Inggeris ketika menang 4–1 ke atas Southampton. Pada 7 Mei 2014, dia menjaringkan gol pertama liganya di Stadium Bandaraya Manchester ketika Manchester City menang 4–0 ke atas Aston Villa.
Jovetić merupakan ahli pengasas pasukan kebangsaan Montenegro yang bermain perlawanan pertama mereka menentang Hungary pada bulan Mac 2007,[28] dan juga merupakan pemain tetap untuk pasukan Montenegro B-21.[29] Jovetić menjaringkan dua gol antarabangsa pertamanya ketika seri 3–3 dengan Hungary pada 20 Ogos 2008 di Puskás Ferenc Stadion di Budapest. Dia menjaringkan dua gol pada 29 Februari 2012 dalam perlawanan pertamanya sebagai kapten ketika kemenangan 2–1 ke atas Iceland.
Pada 15 Oktober 2013 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, Jovetić menjaringkan dua gol di Stadium Bandar Podgorica ketika tewas 2–5 kepada Moldova.[30]