Situ Gintung (bahasa Sunda untuk Tasik Gintung) ialah sebuah tasik buatan berhampiran kecamatan Ciputat di Tangerang, Jawa, Indonesia. Ia dibentuk dengan mendirikan satu empangan setinggi 16 meter (52 ka) yang dibina oleh penjajah Belanda pada 1933. Empangan ini pecah pada 27 Mac 2009, menyebabkan banjir yang mengorbankan sekurang-kurangnya 99 orang.
Kawasan ini mengalami hujan lebat selama beberapa jam pada malam 26 – 27 Mac 2009 yang menyebabkan aras air empangan meningkat, kemungkinannya kerana pintu air ke alur limpah terlalu kecil.[1] Air kemudian melimpahi empangan, menghakis permukaan empangan dan menyebabkan rekahan selebar 70 meter (230 ka) sekitar jam 2 pagi 27 Mac waktu tempatan (7 pm 26 Mac GMT).[2][3][4] Rekahan dilaporkan mula kelihatan di tambak empangan tersebut sejak tengah malam.[5] Pengendali empangan dikatakan membunyikan siren amaran sejurus sebelum empangan tersebut gagal. Agak terlambat, gelombang air setinggi beberapa meter melanda pekan Cirendeu, menghanyutkan kereta, rumah dan sebatang jambatan bata.[2][5] Banjir ini melanda ketika kebanyakan penduduk sedang tidur dan menyebabkan kawasan tersebut ditenggelami air setinggi 2.5 meter (8.2 ka).[2] Sekurang-kurangnya 99 orang diketahui terbunuh manakala 151 lagi disenaraikan hilang.[6] Selain 400 rumah,[4][7] banjir ini turut menenggelami lima terminal kuasa, memotong bekalan air minum ke kecamatan Lebak Bulus yang berhampiran.[7]