Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4 Kota Damansara atau nama ringkasnya SMK Seksyen 4 Kota Damansara ialah sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Camar 4/1, Seksyen 4, Kota Damansara, salah satu perbandaran di Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.[1] Kod sekolah bagi sekolah ini ialah BEA8655. Berdasarkan data sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2021, sekolah ini berstatus bandar dan memiliki jumlah murid seramai 1021 orang yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan. Ia memiliki 93 guru yang bertugas di sekolah ini.[2]
Sejarah
Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4 Kota Damansara telah dibuka pada tahun 2003. Ia dibuka oleh Penolong Kanan dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) iaitu Puan Noriyati bt. Ismail dan Encik Muhamad Siraj Munir pada 9 Jun 2003. Pada tarikh pembukaan sekolah, majlis suai kenal ringkas telah diadakan bagi pendaftaran murid-murid Tingkatan 1-2. Seramai 62 orang murid menyertai majlis suai kenal yang juga merupakan murid yang sebelumnya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara (SMK Seksyen 10 Kota Damansara), Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan (SMK Taman Medan) dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato' Harun (SMK Taman Dato' Harun).[3]
Dari segi akademik, pencapaian di peringkat menengah rendah masih lagi sederhana manakala diperingkat menengah atas, keputusan 85.5% dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2006 bagi kohort yang pertama adalah membanggakan. Peningkatan terus dicapai dengan keputusan 91.2% bagi kohort kedua dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007. Pencapaian sekolah ini dalam bidang kokurikulum seperti kejayaan pasukan ragbi, bola sepak dan taekwondo dalam banyak pertandingan, telah mengharumkan nama sekolah.
Lokasi
Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4 Kota Damansara terletak di Jalan Camar 4/1 di Seksyen 4 Kota Damansara, salah satu perbandaran di Petaling Jaya. Secara geografi, ialah terletak di koordinat 3°09′06″N101°34′54″E / 3.151698°N 101.581739°E / 3.151698; 101.581739 manakala dari segi pentadbiran ialah terletak di bawah Mukim Sungai Buloh, Daerah Petaling. Terletak berhampiran dengan Klinik Kesihatan Kota Damansara, Stesen MRT Kota Damansara, Hospital Thomson Kota Damansara dan Pangsapuri Semarak.[1] Sekolah ini terletak di bawah naugan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama. SMK Seksyen 4 Kota Damansara dapat dicapai dengan mengunakan perkhidmatan Bas Perkhidmatan MRT dari Stesen MRT Kota Damansara di pintu B stesen, laluan T805 (Stesen Kota Damansara–Masjid Kota Damansara) dengan mengambil perhentian bernama "SMK Sek. 4 K.D.".[4][5]