Sejarah Republik Rom

Asal dan sejarah awal Rom tidak dapat dipastikan. Sedangkan terdapat keterangan-keterangan yang khusus tentang asal dan sejarah Rom, pemerian-pemerian itu cenderung bersifat mitologi, dan tidak dapat merupakan sejarah objektif ketika diperlakukan dengan analisis moden.

Terdapat juga temuan arkeologi di kota Rom yang wujud sebelum tarikh pengasasan yang ditentukan oleh mitologi. Sebaliknya, kesan-kesan penempatan yang benar tidaklah sehingga tarikh itu. Bagaimanapun, mitos asal Rom mungkin mengandungi beberapa aspek kebenaran dan bertanggungjawab untuk membentukkan pandangan diri orang Rom.


Pengasasan kota

Tradisi membekalkan beberapa tarikh yang berbeza tentang pengasasan Rom. Yang paling terkenal ialah tarikh yang diberikan oleh ahli sejarah dan pentertib tarikh Rom, M. Terentius Varro: 753 SM, tetapi ini bergantung kepada kronologi tradisi raja-raja Rom yang terlalu meragukan. Terdapat beberapa penemuan arkeologi yang lebih lama daripada tarikh Varro; tetapi kesan-kesan terawal penempatan berterusan biasa ditarikhkan pada awal abad ke-6 SM.

Pemerintahan beraja (abad ke-6 SM)

Pada permulaan, Rom mempunyai raja-raja. Tradisi lebih menggambarkan raja-raja ini sebagai pahlawan budaya berbanding tokoh sejarah, dengan setiap baginda dikatakan mereka sesuatu aspek budaya Rom; umpamanya, Numa Pompilius mencipta agama Rom, dan Ancus Martius mencipta seni-seni perang. Tradisi juga memberikan kebanyakan pemerintahan jangka masa sebanyak lebih kurang empat puluh tahun. Ini mungkin disebabkan oleh numerologi berbanding sejarah. Perincian lain dilihatkan sebagai cerita-cerita mengenai asal bagi pelbagai keluarga bangsawan Rom.

Bagaimanapun, terdapat persetujuan umum bahawa Rom mempunyai satu siri raja-raja (sebilangan daripada baginda itu berasal daripada Etruria; pengaruh orang Etruria masih dapat dilihat dalam seni dan seni bina Rom awal) dan raja-raja ini kemudian digantikan oleh golongan bangsawan Rom pada sekitar 500-450 SM.

Penubuhan Republik

Tarikh tradisional untuk revolusi terhadap raja-raja ialah 509 SM (untuk ceritanya, sila lihat Penggulingan raja-raja). Tarikh ini juga diragui; penyusunan fasti konsul yang menyokong tarikh ini menyelitkan enam orang konsul dalam tahun pertama Republik, dan mempunyai tempoh-tempoh panjang yang langsung tidak mempunyai sebarang konsul. Adalah mungkin sebagai kebanggaan negara bahawa ahli-ahli Rom mengubahkan kronologi republik awal untuk menyebabkan Rom kelihatan membebaskan diri sebelum Cleisthenes membawa kebebasan kepada Athens. Juga dicurigai bahawa keluarga-keluarga yang berpengaruh "menyisipkan" nenek moyang konsul ke dalam senarai itu untuk menyokong kedudukan politik keluarga mereka, dan oleh itu mengawalkan tarikh pengasasan republik.

Konsul-konsul awal mengambil alih peranan-peranan raja kecuali peranan sami besar yang menyembah Optimus Maximus Jupiter di kuil suci yang terletak di Bukit Capitoline. Untuk tanggungjawab itu, orang-orang Rom memilih seorang Rex sacrorum — "raja untuk perkara-perkara suci". Adalah menarik untuk memperhatikan bahawa Rex Sacrorum Rom dilarang daripada menjadi ahli Senat; seseorang tidak boleh menjadi Senator dan Rex Sacrorum pada waktu yang sama. Rom Republik menjauhi "raja" sekelumit ini daripada sebarang kemungkinan mencapai kuasa. Sehingga akhir Republik, tuduhan bahawa seseorang yang berkuasa berhasrat untuk membuatkan diri sebagai "Rex" (raja) merupakan satu tuduhan yang amat menjejaskan kerjaya orang itu (pembunuh Julius Caesar mendakwa bahawa mereka sedang memeliharakan Rom daripada penubuhan semula pemerintahan beraja).

Pertikaian antara Kelas Masyarakat

Hubungan antara golongan marhaen dengan golongan ningrat kekadang menjadi tegang sehingga orang-orang marhaen berpisah daripada kota, dan membawa keluarga serta harta boleh alih mereka untuk menubuhkan kem di atas bukit di luar dinding kota. Keengganan mereka untuk bekerjasama lagi dengan golongan ningrat menyebabkan perubahan-perubahan sosial. Hanya lebih kurang 15 tahun selepas penubuhan Republik pada 494 SM, golongan marhaen berpisah dan memilih dua orang ketua yang diberikan gelaran Tribun.

Golongan marhaen mengangkat sumpah bahawa mereka tidak boleh 'mempersoalkan' ('menyentuh') Tribun semasa tempoh jawatan mereka, dan mereka akan bersatu untuk membunuh sesiapa yang mengapa-apakan tribun mereka. Pemisahan kedua pada tahun 471 SM menyebabkan takrif undangan-undang yang lebih lanjut terhadap hak dan tanggungjawab tribun, dan menambah bilangan tribun menjadi 10 orang. Pemisahan terakhir bertamat pada tahun 287 SM, dan Lex Hortensia yang diluluskan memberikan undi Concilium Plebis atau "Majlis Marhaen" kuat kuasa undang-undang. Adalah penting untuk memerhatikan bahawa kuat kuasa undang-undang ini mengikat kedua-dua golongan ningrat dan marhaen, dan sebenarnya menjadikan Majlis Marhaen sebagai badan yang utama untuk meluluskan undang-undang Rom.

Pengembangan Rom ke Itali (340 - 268 SM)

Sepanjang abad ke-4 SM, orang-orang Rom bertempur satu siri perang dengan jiran-jirannya, terutamanya dengan puak Sabine dan puak Samnium yang merupakan pesaing-pesaing utama mereka di tanah besar Itali. Akhirnya, Rom menguasai Liga Latin, sebuah kerajaan campuran yang terdiri daripada negara-negara kota di kawasan Latium, selepas Perang Latin. Liga itu dibubarkan dan wilayahnya diletakkan di bawah kawalan hegemoni.

Semasa era ini, Rom dan negara-negara lain dalam Liga Latin, juga bertempur dengan kuasa-kuasa asing, tetapi tidak selalu berjaya. Pada tahun 390 SM, orang Gaul dari Gallia Cisalpina (Lembah Po moden) di bawah pimpinan Brennus menewaskan legion-legion Rom serta menjarah Rom. Mereka memerlukan wang tebusan yang amat besar untuk memberhentikan pemusnahan seluruh kota. (Seorang senator Rom membantah bahawa pemberat yang digunakan untuk mengukur emas wang tebusan tidak tepat. Sebagai gerak balas, Brennus mencampakkan pedangnya ke arah pemberat dan mengunggapkan kata-kata yang termasyhur: "Vae Victis" — "Malang kepada pihak yang kalah").

Pada tahun 283 SM Pyrrhus dari Epirus tiba untuk membantu Tarentum, sebuah tanah jajahan Yunani, terhadap orang-orang Rom. Pyrrhus dianggap secara meluas sebagai pemimpin tentera yang terutama selepas Alexander Agung, tetapi walaupun selepas memenangi tiga pertempuran, beliau tidak dapat menewaskan Republik Rom dan mengalami kerugian yang amat besar. Pyrrhus dikatakan mengungkapkan frasa: "Lagi satu kemenangan sebegini dan aku akan kalah" dan dengan itu, menciptakan istilah "kemenangan Pyrrhus". Pyrrhus berundur untuk bertempur di Sicily dan Yunani dan oleh itu, memberikan orang-orang Rom martabat tentera antarabangsa yang menarik perhatian kuasa-kuasa terbesar Yunani di Timur.

Melalui tanah-tanah jajahan dan negara-negara kota bersekutu, Rom mempunyai banyak tenaga manusia yang dipergunakan sebagai bekalan perekrutan untuk legion-legionnya. Ini membolehkan Rom untuk menubuhkan legion dengan mudah untuk meneruskan pertempuran dalam keadaan-keadaan yang negara-negara lain akan menyerah. Rom juga menunjukkan keengganan untuk menerima penewasan. Keazaman ini ditunjukkan dalam pertempuran-pertempuran kemudian seperti Perang Phoenecia Pertama di mana tentera Rom, ketika mengalami kerugian armada sebanyak 70% disebabkan ribut, membina semula seluruh armada mereka dalam masa hanya dua bulan.

Lagi satu ciri Republik yang unik ialah caranya untuk memperlakukan orang taklukan. Mereka yang ditaklukkan oleh Rom diberikan "perlindungan" dan sejenis bentuk kewarganegaraan, serta hak-hak yang khusus di bawah undang-undang Rom. Mereka juga dipertanggungjawabkan untuk kewajiban yang tertentu, terutamanya keperluan untuk membekalkan askar-askar legion. Ini menghasilkan kesan dua kali ganda. Pertama, Rom diberikan bekalan tenaga manusia untuk legion-legionnya daripada seluruh Liga Latin. Ini membenarkannya untuk menurunkan angkatan tentera, satu demi satu, dan menolak sebarang penewasan. Kedua, dengan mempunyai banyak tahap kewarganegaraan dan hak-hak di bawah undang-undang Rom, perhatian orang-orang taklukannya ditumpukan pada pembaikan hak-hak mereka dalam undang-undang Rom, serta pada pesaingan dengan negara-negara jajahan yang lain untuk kedudukan dalam lingkungan pengaruh Rom, berbanding mencuba melepaskan diri daripada penguasaan. Dasar "pecah dan perintah" menyebabkan orang-orang taklukan menyerah secara sukarela kepada undang-undang Rom.

Menjelang 268 SM, orang-orang Rom telah menguasai kebanyakan Itali melalui rangkaian yang terdiri daripada sekutu, negara kota tertakluk, tanah jajahan, serta garison yang strategik. Pada masa itu, Rom bermula melihat pulau-pulau dan perdagangan kaya Laut Mediterranean di sebalik sana Itali.

Penaklukan Barat: Perang-perang Punic

Pada tahun 264 SM, Carthage adalah sebuah tanah jajahan Phoenicia yang terletak di pantai Tunisia moden, dan merupakan negara kota yang sangat kuat, dengan empayar perdagangan yang kedua terbesar di Mediterranean barat selepas Rom. Sedangkan angkatan lautnya tiada tandingan, negara kota itu tidak mempunyai seangkatan tentera darat yang tetap. Sebaliknya, Carthage bergantung kepada askar-askar upahan yang digajikan untuk bertempur dengan kekayaannya.

Sebaik sahaja Rom mengukuhkan kawalannya di Itali, Rom bertempur dengan Carthage kerana mencuba memperluas pengaruhnya di Mediterranean. Rom dan Carthage bertempur sebuah siri yang terdiri daripada tiga perang Punic ('Punic' ialah bahasa Latin untuk 'Phoenicia') antara 264 dan 146 SM. Kemenangan Rom terhadap Carthage dalam perang-perang ini menyebabkan Rom menjadi negara yang paling kukuh di Eropah dan Mediterranean, satu status yang Rom dapat mengekalkan sehingga pembahagian Empayar Rom oleh Diocletian pada tahun 286 Masihi menjadi Empayar Rom Barat dan Empayar Rom Timur.

Perang Punic Pertama (264 - 241 SM)

Perang Punic Pertama antara Rom dan Carthage bermula sebagai sebuah pertempuran tempatan di Sicily antara Hiero II dari Syracuse, dan Mamertine dari Messina. Mamertine membuat pertimbangan yang buruk ketika mereka memperoleh bantuan daripada angkatan tentera laut Carthage dan kemudian mengkhianati mereka dengan rayuannya kepada Senat Rom untuk menentangi Carthage. Angkatan Rom menghantar sepasukan garison untuk menaklukkan Messina, dan Carthage yang amat marah memberikan bantuan kepada Syracuse. Dengan kedua-dua kuasa tempatan kini terlibat dalam pertempuran, ketegangan semakin bertambah buruk sehingga menjadi sebuah perang penuh untuk penguasaan Sicily antara Carthage dan Rom.

Perang Punic Pertama pada dasarnya merupakan sebuah perang laut. Selepas kekalahan perang darat yang begitu teruk di Perang Agrigentum, pimpinan Carthage memutuskan untuk mengelakkan sebarang pertempuran darat yang langsung dengan legion-legion Rom, dan memilih untuk menumpukan pertempuran mereka pada laut.

Mula-mulanya, angkatan tentera Carthage yang lebih berpengalaman dapat mengatasi Angkatan Tentera Laut Rom yang tidak mahir (sila lihat Perang Kepulauan Lipari). Rom bergerak balas dengan mengembangkan angkatan tentera lautnya dengan pesat (terdapat pertikaian tentang adakah mereka dapat berbuat demikian dengan meniru kapal-kapal Carthage yang ranap atau ditangkap): dalam tempoh dua bulan, angkatan Rom telah mempunyai satu armada yang terdiri daripada melebihi 100 buah kapal perang. Oleh sebab mereka mengetahui bahawa kapal-kapal mereka tidak mempunyai keupayaan yang setanding dengan kapal-kapal Carthage, angkatan Rom menambah kepada kapal-kapal mereka sebuah "jambatan serangan" yang dikenali sebagai corvus - "Raven". Jambatan ini akan mencangkukkan kapal-kapal musuh dan menyebabkannya tidak dapat bergerak. Dengan ini, askar-askar legion Rom akan naik kapal-kapal Carthage dan merampasnya dengan mudah. Taktik ini menyebabkan kelebihan angkatan tentera laut Carthage (keunggulan pertempuran kapal satu ke satu) tidak berkesan dan membenarkan infantri Rom yang unggul untuk menyertai pertempuran-pertempuran laut. Bagaimanapun, corvus juga bersifat besar, sukar digunakan, dan berbahaya, dan kemudiannya dihentikan secara berperingkat-peringkat ketika angkatan tentera Rom semakin menjadi lebih berpengalaman dan lebih cekap dari segi taktik.

Selain daripada kekalahan yang membawa kecelakaan di Perang Tunis di Afrika, serta pertempuran-pertempuran laut di Kepulauan Lipari dan Drepana, Perang Punic Pertama merupakan satu siri kemenangan yang hampir tidak terputus-putus. Pada tahun 241 SM, Carthage memeterai perjanjian keamanan yang memberikan Rom penguasaan yang penuh terhadap seluruh Siciliy.

Pada tahun 238 SM, askar-askar upahan Carthage memberontak (sila lihat Perang Askar Upahan) dan Rom mengambil kesempatan ini untuk merampas Pulau Corsica dan Sardinia daripada Carthage. Sejak ketika itu, orang-orang Rom menggunakan istilah "Mare Nostrum" – "laut kami" dan menguasai kawasan Mediterranean dengan berkesan. Angkatan-angkatan tentera Rom dapat menghalang serangan amfibia terhadap Itali, dan menguasai laluan-laluan perdagangan laut yang kaya dan penting, serta menyerang pesisir-pesisir yang lain.

Perang Punic Kedua (218 - 202 SM)

Laluan serangan Hannibal semasa Perang Punic Kedua.
Penyeberangan Banjaran Alp yang menakjubkan ini dengan gajah-gajah perang telah menjadi legenda Eropah: satu perincian fresco, k.k. 1510, Muzium Capitoline, Rom.
Fail:Scipio.jpg
Publius Cornelius Scipio Africanus.

Carthage menghabiskan tahun-tahun yang berikut untuk memperbaik keadaan kewangannya, dan memperluas empayar jajahannya di Hispania (Sepanyol moden) di bawah keluarga Barcid, sedangkan perhatian Rom ditumpukan terutamanya kepada Perang-perang Illyria. Bagaimanapun, keluarga Barcid tidak terlupa kekalahan-kekalahan mereka dalam Perang Punic Pertama, dan Hannibal Barca, ahli keluarga Barcid yang paling masyhur, mengangkat sumpah bahawa beliau tidak akan berbaik-baik dengan Rom. Pada tahun 221 SM, Hannibal menyerang Saguntum di Sepanyol, sebuah kota yang bersekutu dengan Rom, dan mencetuskan Perang Punic Kedua.

Hannibal adalah seorang ahli strategi yang unggul dan mengetahui bahawa pasukan askar berkuda Rom tidak kuat dan mudah diserang. Oleh itu, beliau mengambil pasukan askar berkuda Numidia yang ringan, bersama-sama dengan pasukan askar berkuda Gaul dan Hispania yang berat, untuk berkhidmat dalam tenteranya, dengan kesan yang amat dahsyat kepada legion-legion Rom.

Terdapat tiga kancah utama dalam perang ini:

  • Itali, di mana Hannibal menewaskan legion-legion Rom berulang kali;
  • Sepanyol, di mana Hasdrubal Barca, adik Hannibal, mempertahankan kota-kota jajahan Carthage dengan pelbagai peringkat kejayaan sehingga akhirnya dipaksa berundur ke Itali; dan
  • Sicily di mana angkatan Rom mempunyai keunggulan ketenteraan.

Selepas menyerang Saguntum, Hannibal mengejutkan angkatan Rom dengan serangan langsung terhadap Itali melalui penyeberangan Banjaran Alp oleh sepasukan askar upahan yang besar yang terdiri, terutamanya daripada askar Gaul, Hispania, Numdia, dan sedozen gajah perang yang termasyhur. Angkatan Hannibal menewaskan legion-legion Rom dalam banyak pertempuran yang utama, termasuk Perang Cannae yang terkenal, akan tetapi strategi jangka panjangnya tergagal.

Menghadapi kekurangan keupayaan untuk membuat pengepungan dan perampasan terhadap kota Rom, Hannibal merancang untuk mempengaruhi sekutu-sekutu Itali untuk menentang Rom dan membiarkan kota itu mati kelaparan. Bagaimanapun, dengan kekecualian beberapa negara kota selatan, kebanyakan sekutu Rom mengekalkan kesetiaan dan meneruskan pertempuran bersama Rom, walaupun angkatan Hannibal yang hampir tidak dapat dikalahkan, meneruskan pemusnahan kawasan luar bandar Itali. Lebih penting, Hannibal tidak dapat sebarang tenaga bantuan yang besar daripada Carthage, walaupun beliau membuat banyak rayuan. Ketiadaan tenaga bantuan itu menghalang beliau untuk menamatkan pertempuran dengan muktamad melalui penaklukan Rom.

Sebaliknya, Rom tidak berupaya menamatkan pertempuran di kancah Itali dengan muktamad kerana mereka bukan sahaja bertempur dengan Hannibal di Itali, dan adiknya di Sepanyol, tetapi juga terlibat dalam lagi sebuah perang asing, dan sedang bertempur dalam perang pertama dalam siri Perang Macedonia pada waktu yang sama.

Dengan Hannibal tidak diberikan tenaga bantuan oleh Carthage, dan dengan tentera Rom tersebar dalam tiga kancah pertempuran yang berasingan, perang Itali Hannibal berlangsung tanpa sebarang keputusan selama enam belas tahun.

Di Sepanyol, Publius Cornelius Scipio, seorang komander Rom yang muda (kemudian dianugerahkan dengan cognomen Africanus, ganjaran untuk pencapaiannya dalam perang ini), akhirnya menewaskan angkatan Carthage di bawah pimpinan Hasdrubal. Meninggalkan Sepanyol, Hasdrubal mencuba membawa angkatan askar upahannya masuk ke Itali untuk memperkukuh Hannibal, tetapi ditewaskan dan dibunuh dalam Perang Metaurus yang muktamad sebelum beliau dapat berbuat demikian. Scipio kemudian menawan kota-kota tempatan Carthage, dan membuat beberapa perikatan dengan pemerintah-pemerintah tempatan. Selepas itu, beliau menyerang Afrika.

Dengan Carthage kini diancam secara langsung, Hannibal kembali ke Afrika untuk menghadapi Scipio, tetapi dalam Perang Zama yang terakhir pada tahun 202 SM, angkatan Rom akhirnya menewaskan Hannibal. Carthage merayu untuk keamanan, dan Rom bersetuju, dengan syarat-syarat berikut:

  • pengambilan alih semua tanah-tanah jajahan Carthage;
  • pembayaran ganti rugi yang besar kepada Rom; dan
  • larangan untuk mempunyai angkatan tentera darat sama sekali, dan angkatan tentera laut yang besar.

Hannibal memainkan peranan kepimpinan yang utama dalam pembinaan semula Carthage, dan mencapai kejayaan yang amat baik sehingga pesaing-pesaingnya serta Rom berasa iri hati dan memaksanya melarikan diri ke Asia Minor pada tahun 195 SM. Di sana, beliau berkhidmat sebagai penasihat tentera untuk beberapa raja tempatan sehingga beliau membunuh diri pada tahun 183 SM untuk mengelakkan penangkapan oleh ejen-ejen Rom.

Perang Punic Ketiga (149 - 146 SM)

Rom kini menumpukan perhatiannya kepada Perang-perang Macedonia, dan untuk mengamankan wilayah Hispania yang baru diperoleh.

Bagaimanapun, Carthage kini dikecilkan menjadi satu negara kota tunggal yang tidak mempunyai angkatan tentera serta mempunyai hutang yang amat besar, dan bergantung kepada Rom untuk perlindungan ketenteraan dan penimbangtaraan tentang perkara-perkara antarabangsa. Tanpa angkatan tentera, Carthage mengalami serangan daripada Numidia, jirannya, dan di bawah syarat-syarat perjanjian dengan Rom, pertikaian-pertikaian itu akan ditimbang tara oleh Senat Rom. Oleh sebab Numida merupakan "negara bernaung" yang disukai oleh Rom, keputusan-keputusan Rom amat dicondongkan supaya memihak kepada Numidia.

Selepas lebih kurang lima puluh tahun dalam keadaan ini, Carthage dapat menjelaskan ganti rugi perangnya, dan menganggap diri tidak lagi diikat oleh sekatan-sekatan perjanjian, walaupun Rom tidak menganggap sebegini. Carthage mengumpulkan seangkatan tentera untuk menangkis angkatan-angkatan tentera Numidia, tetapi dikalahkan dengan segara dan menyebabkan mereka menanggung hutang lagi, kali ini kepada Numidia.

Faham ketenteraan Punic yang baru ini mengejutkan banyak orang Rom, termasuk Cato Lebih Tua yang selepas pelayarannya ke Carthage, mengakhirkan semua ucapannya dengan: "Ceterum censeo Carthaginem esse delendam." - "Aku juga berpendapat bahawa Carthage harus dimusnahkan".

Pada tahun 149 SM, dalam satu percubaan untuk mengamankan Carthage, Rom membuat satu siri tuntutan yang semakin bersifat menindas dan yang bertamat dengan tuntutan yang hampir tidak mungkin bahawa kota Carthage dirobohkan dan dibina semula jauh dari pantai di dalam Afrika. Carthage menolak tuntutan terakhir ini dan Rom mengisytiharkan Perang Punic Ketiga. Scipio Aemilianus mengepung kota itu selama tiga tahun sebelum beliau berjaya memecahkan tembok bandar tersebut, dan menjarah serta membakar Carthage. Mengikut legenda, angkatan tentera Rom pernah mencuba menyemaikan garam supaya tiada apa-apa yang dapat bertumbuh di sana. Bagaimanapun, ini tidak mungkin disebabkan harga garam yang amat tinggi ketika itu dan oleh itu, hanya merupakan sebuah legenda. Orang-orang Carthage yang masih hidup dijual sebagai hamba abdi, dan Carthage tidak lagi wujud sehingga Octavian membina semula kota itu sebagai sebuah koloni untuk para bekas perajurit Rom satu abad kemudian.

Penaklukan Timur: Perang-perang Macedonia dan Seleucid

Perang-perang Macedonia dan Seleucid merupakan satu siri pertempuran yang ditempur oleh Rom semasa dan selepas Perang Punic Kedua di Mediterranean timur, Adriatik, dan Aegea. Bersama-sama dengan perang-perang Punic, perang-perang ini menghasilkan penguasaan atau pengaruh Rom di seluruh lembangan Mediterranean.

Perang Macedonia Pertama (215 - 202 SM)

Semasa Perang Punic Kedua, Philip V dari Macedon bersekutu dengan Hannibal. Menakuti penghantaran tenaga bantuan untuk Hannibal dari Macedon, Rom menurunkan angkatan-angkatannya melintasi Laut Adriatik. Legion-legion Rom (dibantu oleh sekutu-sekutunya dari Liga Aetolia dan Pergamon selepas tahun 211 SM) tidak membuat apa-apa kecuali pertempuran kecil dengan angkatan-angkatan Macedonia serta perampasan wilayah-wilayah kecil di sepanjang garis pinggir laut Adriatik untuk "menempur kegiatan melanun". Minat Rom bukan untuk penaklukan, tetapi untuk memastikan bahawa Macedon, negara-negara kota Yunani, dan liga-liga politik pecah dan tidak terancam. Perang itu bertamat dengan tidak muktamad pada tahun 202 SM dengan Perjanjian Phoenice. Walaupun pertempuran ini kecil sahaja, Perang Macedonia Pertama membuka peluang untuk campur tangan ketenteraan Rom di Yunani.

Perang Macedonia Kedua (200 - 196 SM)

Pada tahun 201 SM, duta-duta dari Pergamon dan Rhodes mengemukakan bukti kepada Senat Rom bahawa Philip V dari Macedon dan Antiochus III dari Empayar Seleucid telah memeterai satu pakatan nyah serangan. Walaupun sesetengah cendekiawan melihatkan "perjanjian rahsia" ini sebagai satu rekaan antara Pergamon dan Rhodes, ini menyebabkan Rom melancarkan perang Macedon kedua, dengan bantuan sekutu-sekutu Yunaninya. Pertempuran ini tidak muktamad sehingga kemenangan Rom dalam Perang Cynoscephalae pada tahun 197 SM. Selepas Rom mengenakan Perjanjian Tempea, Philip V dilarang bercampur tangan dalam hal ehwal di luar sempadannya, satu syarat yang beliau mematuhi sepanjang hayatnya. Pada 194 SM, Rom mengisytiharkan "pembebasan" Yunani, dan berundur sama sekali dari Balka. Kelihatannya, Rom tidak lagi minat akan wilayah itu.

Perang Seleucid (192 - 188 SM)

Selepas Perang Macedonia Kedua, Liga Aetolia tidak puas hati tentang jumlah wilayah yang diserahkan kepadanya oleh Rom sebagai "ganjaran" untuk bantuan mereka. Sebagai gerak balas, mereka "menjemput" Antiochus III dari Syria Seleucid untuk membantu mereka membebaskan Yunani daripada "penindasan Rom". Antiochus menghantar seangkatan tentera kecil masuk ke Yunani pada tahun 192 SM, dan Rom bertindak balas dengan menghantar legion-legionnya ke Yunani untuk mengundurkan angkatan-angkatan Seleucid.

Mungkin sebahagian disebabkan Antiochus telah memberikan perlindungan kepada Hannibal melalui pelantikannya sebagai penasihat tentera (Hannibal telah mendesak rajanya supaya tidak masuk Yunani tanpa bilangan askar yang mencukupi, tetapi tidak diendahkan), Rom menghantar seangkatan tentera yang terdiri daripada 30,000 askar di bawah Scipio Africanus masuk ke Asia Minor. Kemenangan-kemenangan Rom di Thermopylae (191 SM) dan Perang Magnesia (190 SM) memaksakan Antiochus memeterai Perjanjian Apamea (188 SM) yang menyerahkan wilayah Seleucid kepada Rom dan Pergamon, serta memerahkan ganti rugi perang sebanyak 15,000 talen perak.

Perang Macedonia Ketiga (172 - 168 SM)

Ketika kematian Philip di Macedon pada tahun 179 SM, anaknya Perseus dari Macedon mencuba memulihkan pengaruh antarabangsa Macedon dan menyerang jiran-jirannya dengan agresif. Apabila Perseus didapati terbabit dalam komplot pembunuhan terhadap sekutu Rom, Senat Rom mengisytiharkan Perang Macedonia Ketiga. Mula-mulanya, Rom tidak begitu berjaya terhadap angkatan-angkatan Macedonia tetapi pada tahun 168 SM, legion-legion Rom menghancurkan barisan pertahanan Macedonia di Perang Pydna. Perseus kemudian ditangkap dan kemaharajaan Macedon dibahagikan menjadi empat buah republik boneka.

Perang Macedonia Keempat (150 - 148 SM)

Selama beberapa tahun, Yunani mempunyai ketenteraman sehingga sebuah pemberontakan popular tercetus di bawah Andriscus yang menuntut diri sebagai anak Perseus. Rom sekali lagi menurunkan legion-legionnya masuk ke Yunani untuk mematahkan pemberontakan. Pada kali ini, Rom tidak berundur dari kawasan ini, dan membentuk wilayah-wilayah Achaea, Epirus, dan Macedonia, serta mengasaskan tapak Rom yang kekal di semenanjung Yunani. Sebagai tindak balas, kuasa-kuasa Yunani Liga Achaea yang masih bebas memberontak terhadap kehadiran Rom di Yunani. Bagaimanapun, Liga itu ditewaskan dengan pantas dan sebagai pengajaran, Rom memusnahkan kota kuno Corinth sama sekali pada tahun 146 SM yang merupakan tahun pemusnahan Carthage.

Perang-perang Macedonia akhirnya bertamat, bersama-sama dengan kemerdekaan Yunani.

Pemerolehan Asia

Pertumbuhan kuasa politik Rom di Asia Minor

Pada tahun 133 SM, Raja Attalus III dari Pergamon yang hampir mati mewasiatkan seluruh kemaharajaannya kepada Republik Rom untuk mengelakkan sebarang pertikaian antara waris-warisnya, serta untuk mengelakkan kemungkinan Rom mengambil kesempatan untuk menawan Pergamon. Peristiwa-peristiwa kemudian dirumitkan oleh pemberontakan Aristonicus, salah seorang saudara Attalus III yang mengisytiharkan diri sebagai raja Pergamon dengan gelaran Eumenes III. Selepas empat tahun berperang (133129 SM), Eumenes III ditewaskan dan ditangkap oleh Rom. Pergamon disusun semula untuk dijadikan asas wilayah Asia, dan menjadi salah satu wilayah terkaya yang Rom pernah menguasai. Disebabkan kekayaan Asia, wilayah ini tertarik banyak senator yang korup dan tamak, dan gabenor-gabenornya adalah terkenal untuk sikap yang amat dahsyat selama hampir satu abad selepas perolehan wilayah ini.

Durian runtuh yang tiba-tiba ini menjejaskan politik Rom serta gerakan pembaharuan politik dengan cara yang tidak diramalkan, dan mungkin bersifat malang.

Permulaan keakhiran

Persengketaan ekonomi dan politik di Rom

Kejayaan-kejayaan tentera dan diplomatik Rom di sekitar Mediterranean mengakibatkan tekanan-tekanan ekonomi dan politik terhadap negaranya yang tidak diramalkan. Sedangkan persengketaan puak sentiasa merupakan sebahagian kehidupan politik Rom, kepentingan-kepentingan kini adalah jauh lebih tinggi; seorang gabenor wilayah yang korup boleh memperoleh kekayaan yang luar biasa; seorang komander yang berjaya hanya memerlukan sokongan daripada legion-legionnya untuk memerintah wilayah-wilayah yang besar.

Mulai dari Perang-perang Punic, ekonomi Rom mula bertukar, dengan kekayaan ditumpukan dalam tangan hanya beberapa puak yang berkuasa, dan menyebabkan ketegangan politik di dalam Rom.

Kebanyakan daripada wilayah-wilayah yang baru ditaklukkan telah dirampas oleh keluarga-keluarga yang kaya dan berkuasa. Selain itu, oleh sebab hanya lelaki-lelaki yang mampu mempersenjatai diri berlayak untuk berkhidmat dalam legion-legion, kebanyakan askar Rom datangnya daripada pemilik-pemilik tanah kelas menengah yang secara teori akan mempertahankan tanah-tanah sendiri.

Dengan kempen-kempen tentera kini berlangsung selama bertahun-tahun, bukannya hanya beberapa bulan, askar-askarnya tidak dapat kembali ke ladang masing-masing. Dengan ladang-ladang mereka ditinggalkan sebagai tanah-tanah rang, keluarga-keluarga mereka dengan cepatnya mula berhutang, dan tanah-tanah mereka diambil oleh pemberi hutang yang biasanya merupakan pemilik-pemilik tanah kaya yang menggabungkan harta-harta ini untuk dijadikan latifundia yang besar. Bekas askar-askar kelas menengah akan pulang daripada kempen-kempen bertahun-tahun untuk mendapati diri telah merupakan seorang tanpa tanah dan oleh itu, tidak dapat menyarakan keluarga mereka. Secara ironi, mereka tidak boleh mendapat pekerjaan kerana kejayaan-kejayaan legion telah menyebabkan hamba-hamba abdi menjadi satu sumber buruh yang jauh lebih murah.

Menjelang 133 SM, ketakseimbangan ekonomi Rom telah menjadi terlalu serius untuk dibiarkan, tetapi ningrat-ningrat yang kaya serta keluarga-keluarga lama dalam Senat mempunyai kepentingan diri untuk memeliharakan status quo. Pembaharuan tanah melalui saluran-saluran tradisional kelihatan tidak merupakan satu prospek yang mungkin.

Pembaharuan Gracchus (133 - 121 SM)

Pada tahun 133 SM, Tiberius Sempronius Gracchus, seorang tribun, mencuba untuk memperkenalkan pembaharuan tanah melalui pengagihan semula "tanah-tanah milik awam" kepada askar-askar yang kembali tanpa tanah. Beliau mencadangkan penguatkuasaan satu undang-undang Rom yang mengehadkan penggunaan tanah-tanah awam, tetapi biasanya tidak diendahkan. Sedangkan berdasarkan alasan-alasan teknik, "tanah-tanah" ini dimiliki oleh negara, tanah-tanah ini sering digunakan oleh pemilik-pemilik yang kaya, kebanyakan mereka merupakan senator-senator. Di bawah penguatkuasaan undang-undang ini, kebanyakan mereka akan menghilangkan "harta" mereka.

Oleh sebab Senat kelihatan tidak mungkin akan bersetuju dengan penguatkuasaan undang-undang ini, Tiberius melangkau Senat, dan mencuba untuk meluluskan pembaharuannya melalui Dewan Undangan Marhaen sebagai satu ketentuansuara, dengan menggunakaan prinsip undang-undang Lex Hortensia. Walaupun ini merupakan sesuatu yang sah di sisi undang-undang, perbuatan ini merupakan satu pencabulan adat resam politik, dan menimbulkan kemarahan banyak ningrat. Senat Rom cuba menyekat Tiberius dengan memberikan rasuah kepada tribun yang lain untuk memveto rang undang-undang ini. Tiberius kemudian meluluskan satu rang undang-undang untuk menggulingkan rakan sekerjanya dan dengan itu, mencabul prinsip kekolejan. Dengan veto ditarik balik, pembaharuan tanah diluluskan. Senat yang naik berang enggan membiayai suruhanjaya tanah yang telah ditubuhkan. Tiberius menggunakan Dewan Undangan Marhaen untuk memindahkan wang daripada pendapatan Pergamon untuk membiayai suruhanjaya itu, dan mencabarkan kuasa Senat terhadap kewangan negara dan dasar luar negara. Ketika kebenaran menjadi jelas bahawa Tiberius tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menghabiskan pembaharuan-pembaharuan tanahnya, walaupun dengan sokongan politik dan ekonomi yang mencukupi, beliau mengumumkan keinginannya untuk melanjutkan tempoh jawatan dan dengan itu, mencabulkan prinsip ketahunan. Ningrat-ningrat habis sabar dan disebabkan ketakutan bahawa Tiberius akan menjadikan diri sebagai penzalim, bertindak balas dengan membunuh beliau bersama-sama dengan 300 orang pengikutnya di jalan raya Rom.

Hampir sepuluh tahun kemudian, adik lelaki Tiberius, Gaius Sempronius Gracchus, mencuba untuk meneruskan pembaharuan-pembaharuan politik dengan menggunakan taktik-taktik yang serupa. Beliau kelihatan lebih merupakan seorang demagog yang mencuba meluluskan banyak undang-undang yang popular untuk memperoleh sokongan popular berbanding menjadi seorang reformis politik dengan agenda yang khusus seperti abangnya. Beliau tidak berjaya atau menjadi popular seperti abangnya tetapi sebaliknya, membuat banyak musuh politik. Ketegangan-ketegangan politik yang semakin bertambah akhirnya meletus sekali lagi dengan keganasan di Bukit Capitoline di mana Gaius Gracchus dan 3,000 orang pengikutnya dibunuh.

Apa-apa sahaja tujuan-tujuan mereka, kerjaya-kerjaya politik adik beradik Gracchus telah menyimpang daripada tradisi-tradisi politik Rom, dan memperkenalkan keganasan gerombolan sebagai satu alat kehidupan politik Rom. Ini merupakan satu perubahan yang Republik Rom tidak dapat memulihkan.

Marius dan Sulla

Gaius Marius, Pembaharu tentera (107 - 100 SM)

"Marius di tengah-tengah Puing-puing Carthage" oleh John Vanderlyn

Menyusul skandal Gracchus, politik Rom menjadi satu campuran yang terdiri daripada bentuk-bentuk tradisional, kedemagogan, dan pengganasan gerombolan. Selain itu, Rom mendapati bahawa tanggungan tentera untuk tanah-tanah pemegangannya terlalu berat.

Perang Jugurthine (112 - 105 SM) yang tidak popular dan yang telah dilaksanakan dengan buruk berlarutan di Numidia. Perang ini kemudian melancarkan kerjaya Gaius Marius dan membawa perubahan-perubahan yang asas kepada Republik.

Marius ialah seorang "novus homo" dari Arpinum yang mempunyai kekayaan dan sedikit pengaruh politik, tetapi bukan seorang ahli bangsawan Rom. Selepas berkhidmat sebagai pegawai yang tidak penting dalam Perang Jugurthine, Marius kembali ke Rom, dan menawarkan diri untuk pemilihan sebagai Konsul pada tahun 107 SM, berdasarkan janjinya untuk menamatkan Perang Jugurthine dalam tempoh setahun. Tanpa dijangka, Marius dipilih.

Ketika memperoleh kekonsulan, Marius memulakan pembaharuan-pembaharuan Maurius pada tahun 107 SM, walaupun Senat amat membantah perubahan-perubahannya. Pembaharuan-pembaharuan ini menyusun semula struktur taktik legion Rom, dan membenarkan perekrutan warganegara-warganegara yang miskin dan tidak mempunyai tanah ke dalam legion-legion dengan belanja negara. Askar-askar dimasukkan ke dalam angkatan tentera selama 20 tahun, dan diberikan ganjaran geran tanah pada akhir tempoh perkhidmatan. Ini menyebabkan perubahan sifat legion-legion, kerana askar-askar legion dari saat itu merupakan askar profesional yang bukan sahaja bertempur untuk "pencen" serta jeneral sendiri, tetapi juga untuk "negara". Dengan angkatan-angkatan tentera yang baru ini, Marius kembali ke Numidia sebagai komander Konsul.

Walaupun Marius tidak menamatkan perang itu dalam tempoh setahun, beliau dipilih sebagai Konsul untuk tempoh kedua tanpa kehadirannya (kedua-dua ini merupakan kekecualian yang amat luar biasa) untuk menghabiskan perang. Pada tahun 105 SM, Marius menewaskan Jugurtha yang ditangkap oleh Raja Bocchus I dari Mauretania dan diserahkan kepada Lucius Cornelius Sulla, salah satu daripada kuestor-kuestor Marius.

Berpulang ke Rom sebagai pahlawan tentera pada tahun 105 SM, Marius tiba untuk menangani akibat bencana Perang Arausio, serta keadaan wilayah Rom yang kini mudah diserang oleh penghijrah-penghijrah puak Cimbri dan Teuton. Dengan sungguh mengagumkan, Marius dipilih sebagai Konsul selama tiga tahun lagi (104 - 102 SM) untuk bertempur dalam Perang Cimbri. Marius membentuk legion-legion baru daripada sukarelawan-sukarelawan marhaen, memberikan mereka latihan, dan menewaskan puak Teuton dalam Perang Aquae Sextae pada tahun 102 SM. Beliau kemudian membantu Quintus Lutatius Catulus untuk menewaskan puak Cimbri dalam Perang Vercellae pada tahun 101 SM.

Setelah menyelamatkan Rom, Marius dipilih sebagai Konsul untuk kali keenam pada tahun 100 SM, suatu kejadian yang tidak pernah berlaku dahulu. Bagaimanapun, Marius terbukti merupakan seorang Jeneral, dan bukannya seorang ahli politik. Selepas satu skandal politik yang malu mengenai Lucius Appuleius Saturninus, Marius menarik diri sama sekali daripada hidup politik awam.

Perang Sosial (91 - 88 SM)

Dengan persaraan Marius, laluan dibuka untuk kerjaya politik Lucius Cornelius Sulla. Sulla adalah seorang ningrat, serta ahli konservatif politik tradisional yang pernah berkhidmat di bawah Marius sebagai seorang pegawai yang cekap di Numidia dan Jerman. Bagaimanapun, terdapat permusuhan politik antara kedua-dua mereka, kerana Marius telah "menghina" Sulla dengan kegagalannya untuk memberikan penghargaan kepada Sulla untuk penangkapan Jugurtha.

Pada 91 SM, sebagai tribun dan pejuang untuk hak-hak sekutu Latin, Livius Drusus cuba meluluskan satu undang-undang untuk memberikan kewarganegaraan Rom yang penuh kepada semua sekutu Itali, khususnya mereka daripada Samnit. Peristiwa itu meletuskan pemberontakan Perang Sosial (Socii ialah bahasa Latin untuk "sekutu").

Yang ironiknya, dalam percubaan untuk menamatkan perang, Rom menawarkan kewarganegaraan penuh kepada mana-mana satu sekutu yang menghentikan pertempuran mereka. Kebanyakan sekutu berhenti bertempur, tetapi banyak lagi meneruskan pemberontakan mereka. Sebagai gerak balas, Gaius Marius kembali daripada persaraannya untuk mengetuai angkatan-angkatan Rom di Itali utara, sedangkan Lucius Cornelius Sulla mengetuai legion-legion Rom di Itali selatan, dan mereka menamatkan perang itu pada tahun 88 SM. Menyusul kemenangan bersama itu, Sulla menawarkan diri untuk pemilihan Konsul, dan dipilih.

Perang Mithridates pertama, dan perang-perang saudara Rom (88 - 83 SM)

Ketika Mithridates VI dari Pontus menakluki Bithynia selepas Perang Sosial bertamat dan membunuh berpuluh-puluh ribu warganegara Rom dalam peristiwa Vesper Asia, Senat memberikan kuasa pemerintahan Konsul kepada Sulla untuk menghantar sepasukan ekspedisi untuk menghadapi Mithridates bagi membalas dendam.

Gaius Marius tidak ingin kembali ke hidup tanpa dikenali ramai dan memberi rasuah untuk pelulusan sebuah rang undang-undang melalui Dewan Undangan Marhaen yang memberikannya kuasa pemerintahan untuk mengetuai angkatan-angkatan Sulla. Ketika Sulla terdengar ini semasa membentuk legion-legionnya di Itali selatan, beliau berpatah balik untuk menyerang Rom. Legion-legionnya menawan kota itu selepas sebuah pertempuran yang berpanjangan dan berdarah di jalanraya-jalanraya Rom, dan Marius terpaksa melarikan diri ke Afrika. Sulla kemudian bertolak untuk menghadapi Mithridates dan sekutunya.

Marius kemudian kembali ke Rom dengan Lucius Cornelius Cinna dan menawan kota itu dengan legion-legionya. Beliau melantikkan diri sebagai Konsul buat kali ketujuh, dan membunuh penyokong-penyokong Sulla dengan kejam. Bagaimanapun, hanya beberapa minggu kemudian, Marius meninggal dunia disebabkan perdarahan otak besar-besaran. Cinna mengekalkan kuasanya, dan dengan takdir yang hampir lucu, memutuskan untuk tidak mengendahkan kewujudan Sulla sama sekali, malahan beliau menurunkan angkatan tentera kedua ke Pontus. Akhirnya, Sulla mengambil alih angkatan itu dan menggabungkannya dengan angkatan sendiri. Perang itu tamat dengan Perjanjian Dardanos pada tahun 85 SM.

Sulla kemudian kembali ke Rom dengan Legion-legionnya pada tahun 83 SM.

Kediktatoran Sulla (82 - 80 SM)

Lucius Cornelius Sulla Felix – potret denarius (duit syiling Rom) yang dikeluarkan oleh cucu lelakinya

Cinna dibunuh oleh askar-askar sendiri ketika beliau mencuba berbaris mereka untuk menghadapi legion-legion Sulla yang kembali dan oleh itu, meninggalkan Gnaeus Papirius Carbo dan penyokong-penyokong Maurius yang lain untuk menentang kepulangan Sulla. Pada tahun 83 SM, Sulla mendarat di Itali selatan, dan perang saudara Rom tercetus di kawasan luar bandar Itali. Perang ini berterusan selama satu tahun setengah, tetapi legion-legion Sulla (dibantu oleh Metellus Pius, Marcus Licinius Crassus dan seorang pemuda, Gnaeus Pompeius Magnus) akhirnya menang, dan menawan kota Rom dalam Perang Pintu Dinding Colline.

Sulla kemudian memulakan satu siri penyingkiran yang berdarah, dan mengenakan proskripsi (proses untuk menonjolkan nama-nama orang yang dihukum mati dalam forum Rom) terhadap musuh-musuhnya. Perbuatan ini membenarkan Sulla mengekalkan ketakutan di kalangan mereka yang kini di bawah kuasanya dan mencegahkan sesiapa yang ingin berkomplot terhadapnya disebabkan oleh ketakutan bahawa namanya akan termuncul pada bila-bila masa dalam senarai-senarai yang terdahsyat. Orang-orang yang telah disenaraikan dilucuti daripada semua hak dan perlindungan undang-undang mereka, dengan harta-harta mereka (termasuk harta-harta keluarga) diimpaun, dan ganjaran diberikan untuk nyawa mereka. Beribu-ribu orang Rom yang menentang Sulla, termasuk juga orang yang mempunyai kekayaan yang didambakan oleh Sulla dan pengikut-pengikutnya, telah dibunuh dengan kecam dalam tempoh dua tahun.

Sulla dilantik sebagai diktator – rei publicae constituendae causa – dan memulakan penyusunan semula negara untuk mengembalikan kuasa kepada Senat Rom. Antara pembaharuan-pembaharuan perlembagaan yang lain, Sulla:

  • menyekatkan kuasa Dewan Perundangan Marhaen secara pesat;
  • menggandakan saiz Senat Rom;
  • memberikan kuasa veto kepada Senat terhadap dekri-dekri yang diluluskan oleh Dewan Perundangan Marhaen;
  • melucutkan kebanyakan kuasa Tribun;
  • menyusun semula sistem undang-undang;
  • menyekat tindakan gabenor-gabernor provinsi; dan
  • mengembangkan Pomerium.

Selepas pembaharuan-pembaharuannya telah siap dilaksanakan, Sulla kemudian meletakkan jawatan kediktatorannya pada tahun 80 SM, dan dipilih sebagai konsul bersama-sama dengan Metellus Pius. Pada tahun 79 SM, beliau menarik diri secara langsung daripada kehidupan awam, dan bersara di ladang-ladang desanya di mana beliau menulis kisah kenangannya (kini hilang) sebelum meninggal dunia pada tahun 78 SM.

Lihat juga

Pautan luar


Sejarah Rom Kuno sunting
Pengasasan | Kerajaan Rom | Republik Rom | Empayar Rom | Kemerosotan

Strategi Solo vs Squad di Free Fire: Cara Menang Mudah!