Dara Abdul Jalil atau dikenali dengan nama pentas Rohana Jalil (18 Februari 1955 – 20 Jun 2023) merupakan seorang penyanyi wanita Malaysia.
Kerjaya
Beliau juga merupakan pemenang bagi pertandingan Bintang RTM pada 13 Januari 1981 yang telah diadakan di Auditorium Besar, Angkasapuri.[1]
Beliau pernah menghiburkan orang ramai di majlis perkahwinan dan keramaian sebelum menyertai pertandingan tersebut. Selain itu, dia juga pernah bekerja di kelab untuk menyara keluarga. Beliau juga pernah menyertai pertandingan itu di Johor Bahru sebanyak dua kali, namun kedua-duanya gagal. Pada tahun 1979, beliau telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sekali lagi. Beliau juga tidak menyangka untuk memenangi pertandingan tersebut kerana percubaannya sebelum ini menemui kegagalan.[2] Pada ketika itu, peserta solo terdiri daripada lapan orang manakala peserta berkumpulan terdiri daripada empat buah kumpulan. Beliau telah menerima piala pusingan beserta wang tunai sebanyak $2000 daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat. Beliau juga telah menyatakan hasratnya kepada para pemberita untuk menjadi penyanyi yang terkenal berstatus antarabangsa.[3]
Kematian
Beliau meninggal dunia pada 11:33 malam pada 20 Jun 2023 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia akibat kebocoran usus dan jangkitan kuman. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22.