Rima Rashidi (lahir 18 Februari 1972) ialah seorang pelakon dan penyanyi wanita Malaysia. Beliau meraih kemasyhuran pada 1990-an menerusi lagu "Kasih Berbunga Lalang". Selain itu, beliau juga bergiat aktif sebagai pelakon dalam filem, televisyen dan teater.[1][2][3]
Kehidupan awal
Rima dilahirkan pada 18 Februari 1972 di Ipoh, Perak. Beliau berdarah kacukan Melayu, Cina dan Sri Lanka. Rima mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Mary's Kuala Lumpur dan memiliki Diploma Pelancongan, Riadah dan Hospitaliti.[4]
Kerjaya
Rima memulakan kerjaya lakonan pada 1987 menerusi filem Mr. Os yang melayakkan beliau menerima pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7. Kerjaya filem Rima diteruskan dengan filem kedua lakonannya, Tuah (1988). Menerusi filem ini, beliau terpilih untuk mewakili Malaysia ke Minggu Filem Malaysia Pertama yang diadakan di Tashkent, Uzbekistan dan dicalonkan sebagai Pelakon Harapan Terbaik - Kategori Artis Malaysia di Festival Filem Asia Pasifik ke-35 yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Kerjaya muzik Rima bermula apabila beliau melancarkan album pertama, Pabila Kurenung Potretmu di bawah Titra Records pada 1986. Kejayaannya hadir ketika Pengurus Besar Sony Music Malaysia pada waktu itu, Rick Loh menandatanganinya pada tahun 1992 dan mengeluarkan album solo keduanya berjudul Engkau Yang Pertama yang memuatkan lagu hits seperti "Kasih Berbunga Lalang" dan "Maafkan Aku Insan". Album ketiganya Kasih Ku dikeluarkan pada tahun 1993.
Rima memulakan kerjaya teater dengan menjayakan dua pementasan teater, iaitu Raja Lawak dan Teman yang kedua-duanya arahan Zakaria Ariffin. Beliau kemudian memegang watak sebagai pelacur dalam drama pentas Melayu pertama yang diklasifikasi 18SX, Lorong. Ia turut dibintangi oleh Roslan Salleh, Harun Salim Bachik, Noorkhiriah dan Shahriza Mahmud.[5] Pada tahun 2000, beliau memperlahankan kerjayanya sebaik sahaja berkahwin.
Kehidupan peribadi
Beliau telah berkahwin dengan ahli perniagaan, Adnan Mohd Noah pada 17 September 2000.[6][7] Hasil perkongsian hidup pasangan ini, mereka dikurniakan dua anak, Adrenna Rose Noah dan Addrel Rashdy Noah.[1][8]
Di waktu lapangnya, Rima juga mengisi masa dengan membaca.[9]