Pika (Tulisan Jawi: ڤيکا)ialah sejenis haiwan kecil yang berkaki pendek, bertelinga kebulatan, dan berekor pendek. Nama "pika" dipercayai berasal daripada piika dalam bahasa Tungus, ataupun pikat ("berdecit") dalam bahasa Rusia, dan digunakan untuk memaksudkan mana-mana spesies yang menganggotai familiOchotonidae dalam orderLagomorpha yang juga merangkumi Leporidae (arnab). Pika juga menerima timangan "arnab bersiul" kerana bunyi geranya yang nyaring ketika menerjun ke dalam lubang sarangnya.
Habitat
Pika merupakan haiwan asli di kawasan beriklim sejuk, terutamanya di Asia, Amerika Utara dan sesebahagian Eropah Timur. Kebanyakan spesies pika tinggal di kawasan tepi gunung yang berbatu-batan, di mana terdapat banyak rekahan untuk dijadikan tempat berlindung, tetapi ada juga yang membuat sarang bawah tanah. Sebilangan kecil spesies bersarang bawah tanah berasal dari tanah steppe yang terbuka. Di pergunungan Eurasia, pika juga berkongsi sarang bawah tanah dengan burung cakar salji yang membuat sarang di situ.[1]
Pika ialah sejenis haiwan kecil yang berkaki pendek, bertelinga kebulatan dan berekor pendek. Panjang tubuhnya sekitar 6-9 inci, dengan ekornya yang hanya lebih kurang 2 cm panjangnya, dan beratnya antara 120 dan 350 gram, bergantung pada spesies. Sama dengan arnab, selepas makan, pika membuang tahi hijau yang lembut untuk dimakan semula demi meningkatkan khasiat, sebelum membuang tahi besar.
Pika merupakan haiwan maun yang memakan pelbagai jenis bahan tumbuhan, terutamanya rumput, rusiga, ranting pokok renek, lumut, dan liken. Seperti haiwan Lagomorpha yang lain, pika mempunyai gigi acip untuk menggerogot dan tiada gigi taring, tetapi kurang bilangan gigi gerahamnya berbanding arnab, oleh itu formula pergigiannya adalah:
Pika yang tinggal di batu-batuan melahirkan sebanyak lima ekor anak sahaja, manakala spesies yang bersarang tanah pula lebih banyak beranak dan lebih kerap membiak, gara-gara kekayaan sumber di habitat asalnya. Anak pika dilahirkan selepas tempoh hamil selama 25 hingga 30 hari[1].
Keaktifan
Pika merupakan haiwan yang diurnal (berjaga siang) atau krepuskul (berjaga senja), terutamanya spesies tanah tinggi yang lebih aktif pada waktu siang. Keaktifan pika memuncak sebelum tibanya musim sejuk. Pika tidak berhibernasi, oleh itu ia bergantung pada rumput kering yang dikumpul sebagai bekalan makanan dan juga kepanasan. Pika mengumpul rumput segar lalu meletakannya secara berlonggok untuk dibiarkan kering. Selepas rumput itu kering, pika mengambilnya kembali ke dalam sarang untuk disimpan. Pika tidak jarang mencuri rumput kering sesama sendiri, dan perbalahan sesama pika yang terjadi daripada itu membuka ruang kepada pemangsa seperti feret dan burung besar untuk mengambil kesempatan.
Pika Eurasia biasanya tinggal secara kelompok berkeluarga dan berkongsi tugas mengumpul makanan dan berjaga-jaga. Ada juga sebilangan kecil spesies pika yang bersifat kewilayahan. Pika Amerika Utara (O. princeps dan O. collaris) pula hidup secara bersendirian ketika bukan musim membiak.
^ abKawamichi, Takeo (1984). Macdonald, D. (penyunting). The Encyclopedia of Mammals. New York: Facts on File. m/s. 726–727. ISBN0-87196-871-1.
^Grayson, Donald K. (2005). "A brief history of Great Basin pikas". Journal of Biogeography. 32 (12): 2103–2111. doi:10.1111/j.1365-2699.2005.01341.x. |access-date= requires |url= (bantuan)
[1]Diarkibkan 2007-10-31 di Wayback Machine "A radio feature on how Pikas in the Rockies are coping with climate change. " 31 July 2007
Rencana ini menggabungkan dan menterjemah teks dari penerbitan sekarang di domain awam: Chisholm, Hugh, penyunting (1911). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-11). Cambridge University Press. Missing or empty |title= (bantuan)