Perang Burma-Inggeris Kedua (Burma: ဒုတိယ အင်္ဂလိပ် မြန်မာ စစ်, IPA: [dṵtḭja̰ ɪ́ɰ̃ɡəleɪʔ mjəmà sɪʔ]; 5 April 1852 – 20 January 1853). Ia merupakan perang kedua dari tiga perang yang terjadi antara Burma dan Empayar British semasa abad ke-19. Akibatnya, kekuatan dan kedaulatan Burma perlahan-lahan terhakis sehingga akhirnya ditakluk British.
Latar belakang
Raja Bagyidaw berpendapat Perjanjian Yandabo berat sebelah dan menjatuhkan maruah Burma. Burma telah kehilangan wilayah-wilayah penting seperti Arakan dan Tenasserim. Pengambilan kedua-dua wilayah itu dianggap sebagai satu rampasan terhadap hak rakyat Burma dan Burma masih menganggapnya sebagai tidak sah. Baginda tidak menghormati wakil British yang dihantar ke Burma dan enggan menubuhkan pejabat perwakilan Burma ke Calcutta serta tidak menghantar wakilnya ke situ.Tindakan baginda telah merenggangkan lagi hubungan Inggeris-Burma. Pengambilan Arakan dan Tenasserim merugikan Burma. Hal ini kerana kawasan- kawasan tersebut kaya dengan pelbagai sumber seperti beras dan kayu jati. Pihak Inggeris pula tidak berpuas hati dengan Perjanjian Yandabo kerana Burma mengengkari perjanjian ini. Menurut Perjanjian Yandabo, Burma dikehendaki membayar 1000 juta rupee kepada Inggeris tetapi Burma enggan menyerahkan ganti rugi itu kepada pihak Inggeris.
John Crawford telah dihantar ke Burma (1826) untuk mengadakan rundingan tentang isu perdagangan. Hal ini termaktub dalam Perjanjian Yandabo yang menyatakan kedua-dua pihak akan membincangkan isu perdagangan secara berasingan. Kedatangan Crawford bertujuan mendapatkan kebenaran Raja Bagyidaw untuk mengeksport beras dari Ranggon. Utusan Crawford tidak mendapat layanan yang sewajarnya kerana Raja Bagyidaw enggan memberi kebenaran mengeksport beras dan perak. Henry Burney dihantar ke Burma (1830) sebagai Residen Inggeris yang pertama. Beliau ditugaskan untuk berunding tentang ganti rugi perang, masalah sempadan dan hak perdagangan. Bagaimanapun tugasnya itu tidak kesampaian kerana Raja Bagyidaw menjadi tidak siuman. Pengganti Bagyidaw, Raja Tharawaddy juga memberi layan buruk kepada Burney. Atas sebab keselamatan, pihak Inggeris telah menindahkan pejabat Residennya dari Amarapura ke Rangoon. Pengganti Burney iaitu Richard Benson dan Wilham Mcleod juga tidak dilayan dengan baik. Akhirnya pentadbiran British terpaksa menutup pejabat Residennya di Burma pada tahun 1840.
Raja Pagan Min yang bersikap anti-British memberi kuasa kepada gabenor Pegu, Maung Ok berurusan dengan British. Maung Ok juga anti-British. Beliau menghalang perniagaan saudagar British di bandar-bandar Burma. British pula mahukan kebenaran berniaga di kawasan pedalaman. Maung Ok menuduh Kapten Shepperd dan Lewis melakukan penipuan dan terlibat dalam satu kes pembunuhan. Walaupun tiada bukti yang jelas, Mereka dipaksa membayar ganti rugi sebanyak 1000 rupi. Pagan Min melucutkan jawatan Maung Ok tetapi enggan berunding tentang ganti rugi. Komander Lambert menenggelamkan beberapa buah kapal di pelabuhan Burma. Pasukan tentera dihantar dan menuntut ganti rugi sebanyak 100 000 paun. British mengisytiharkan perang pada tahun 1852. Kesan Perang Burma-Inggeris Kedua ini ialah kejayaan British menguasai Arakan, Tenasserim dan Hilir Burma. Raja Myanmar hanya berkuasa di bahagian Hulu Burma sahaja (Burma Utara). British juga menguasai hutan kayu jati yang banyak hasilnya. British meneruskan usaha untuk menguasai seluruh Burma. Burma pula cuba mempertahankan maruah dan kedaulatannya.