Nombor kuantum ialah suatu nombor yang menerangkan ciri-ciri suatu elektron di suatu orbital atom.[1] Nombor ini menjelaskan kuantiti terabadi suatu zarah dalam suatu sistem kuantum.
Nombor kuantum utama, n, menerangkan tentang tahap tenaga elektron, atau secara mudah, petala elektron yang diduduki suatu elektron. Nilai n ialah daripada satu hingga nilai petala terluar yang diisi oleh elektron. Sebagai contoh, atom barium, Ba memiliki enam buah petala berisi elektron, dan oleh itu, suatu elektron atom barium boleh memiliki nilai n daripada satu ke enam.
Secara umumnya, dalam bidang kimia, nilai n yang paling maksimum ialah tujuh setakat kini hingga unsur pertama dari Kala 8 ditemui. Dalam fizik atom, nilai n yang lebih tinggi boleh wujud dalam konteks tahap elektron yang teruja. Pemerhatian garis spektrum atom hidrogen di medium antara najam menunjukkan nilai n sehingga tahap ratusan, dengan nilai mencecah 766 pernah dicatatkan.[3]
Nombor kuantum azimut atau sudut, ℓ, menerangkan subpetala suatu elektron dan menerangkan magnitud momentum sudut orbital bagi suatu elektron. Nombor kuantum ini menerangkan bentuk orbital mana yang diduduki suatu elektron, seperti di bawah:
ℓ
0
1
2
3
Orbital
s
p
d
f
Orbital dengan nilai ℓ yang sama dikira sebagai petala elektron, manakala bahagian orbital dengan nilai n dan ℓ yang sama dikira sebagai subpetala elektron.
Nombor kuantum magnet, m, menerangkan tentang jenis orbital khusus yang diduduki suatu elektron dalam subpetala, dan menerangkan arah momentum sudut orbital di suatu paksi tertentu. Nilai m ialah integer daripada -ℓ ke ℓ.[4]
Nombor kuantum spin, s, pula menerangkan tentang nilai spin bagi suatu elektron dalam orbital khusus. Suatu elektron memiliki nombor kuantum spin sama ada +1/2 atau -1/2, masing-masing dikenali sebagai nilai "spin atas" dan "spin bawah". Berdasarkan prinsip pengecualian Pauli, setiap elektron dalam suatu orbital atom khusus mesti mempunyai nombor kuantum spin yang berbeza, dan oleh itu, hanya maksimum dua elektron dapat wujud di dalam suatu orbital khusus.