Mukim Selama terletak dalam Parlimen Larut. Kampung Selama atau dahulunya dipanggil sebagai Kampung Selamat dibuka oleh Encik Abdul Karim bin Raja Aman Shah pada 22 Januari 1870 bersamaan dengan 14 Muharram 1290 Hijrah. Sebelum itu En. Abdul Karim bekerja sebagai budak pejabat di bawah orang kaya Menteri Larut, Long Jaafar.
Kemudian beliau dinaikkan pangkat menjadi kerani. Pada tahun 1858, Ngah Ibrahim menggantikan ayahnya sebagai orang kaya Menteri Larut. Encik Abdul Karim yang terus bekerja dengan Ngah Ibrahim kemudiannya meminta restu untuk membuka sebuah kampung di Utara Larut. Permohonannya itu diperkenan oleh Ngah Ibrahim.
Sebelum kedatangan Encik Abdul Karim di daerah ini sudah pun wujud sebuah kampung berhampiran sungai lebih kurang 10km dari Pekan Selama yang dikenali sebagai Kampung Sungai Bayor. Kampung ini didiami oleh orang-orang Melayu keturunan Pattani yang dibuka oleh keluarga Panglima Wan Abdul Jamal (Tok Mat Sheik).Beliau merupakan salah seorang hulubalang dari Kesultanan Melayu Pattani Darulsalam(Selatan Thailand) yang memimpin penghijrahan orang Melayu-Pattani yang melarikan diri dari penindasan tentera Siam selepas Pattani kalah dalam Perang Pattani-Siam sekitar bulan Ogos 1786.
Rombongan Encik Abdul Karim menaiki sampan mudik Sungai Kerian dan singgah di sebuah tempat bernama Tanjong Medan (kini dikenali Kampung Medan). Kemudian mereka berpindah pula ke Kampung Selamat yang terletak antara Jalan Sir Chulan dan Kampung Gudang, kemudian kampung itu ditukar nama kepada Kampung Selama.
Apabila bijih timah dijumpai (di belakang Pejabat Daerah Selama sekarang), maka Encik Abdul Karim menjemput orang keturunan Rawa dari Sumatera dan Orang Cina datang ke Selama untuk memajukan perusahaan bijih timah di Selama.
Encik Abdul Karim pernah menubuhkan pasukan pengawal untuk melindungi keselamatan pekerja dan perusahaan bijih timahnya. Bijih diambil secara mendulang dan cara pam kelikir. Bijih dijadikan jongkong dan dipasarkan ke Nibong Tebal dengan menggunakan sampan.
Apabila hasil bijih timah merosot, Encik Abdul Karim menyerahkan Kampung Selama kepada pihak Inggeris pada tahun 1888. Di bawah pemerintahan pihak Inggerislah yang terus membangunkan dan memajukan Selama.
Encik Abdul Karim juga pernah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (State Council) di bawah pemerintahan Raja Yusuf. Encik Abdul Karim meninggal dunia pada tahun 1890 dan dikebumikan di kebumikan bersebelahan Masjid Lama Jalan Sri Chulan Selama Perak.