Melaka Tengah merupakan sebuah daerah dalam negeri Melaka, Malaysia. Daerah ini berkeluasan 314 kilometer persegi dan mempunyai penduduk seramai 597,135 orang menjadikannya sebagai daerah paling ramai penduduk di Melaka dan daerah kesembilan paling ramai penduduk di Malaysia.
Daerah Melaka Tengah terletak di tengah negeri Melaka bersempadan dengan daerah Alor Gajah di utara, Jasin di timur dan Selat Melaka di selatan.
Iklim
Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[3] Purata suhu ialah 27.44 °C (81.4 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 28.1 °C (82.6 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.6 °C (79.9 °F).[3] Purata kerpasan di Melaka Tengah adalah 1973.6 milimeter pertahun. Bulan November merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 226.3 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 80.1 milimeter.[3]
Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Melaka Tengah ialah seramai 597,135 orang dengan kepadatan penduduk 1,663 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sangat padat. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 65 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih enam peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[4]
Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 111:100. Terdapat 196,668 tempat kediaman dengan sebanyak 160,155 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 405 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 155 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 35 ribu orang merupakan warga tua.
Majoriti penduduk di daerah Melaka Tengah beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Kristian diikuti agama Hindu. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut beberapa agama lain serta tidak beragama.[4]
Daerah Melaka Tengah boleh dihubungkan melalui beberapa laluan persekutuan seperti Laluan Persekutuan 5LP 5 dari arah Masjid Tanah (utara) dan Jasin (selatan), Laluan Persekutuan 19LP 19 dari arah Alor Gajah (utara) dan Jasin (selatan).