“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”[al-Quran9:108 (Basmeih)]
“Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya ke dalam api Neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”[al-Quran9:109 (Basmeih)]
Nabi Muhammad dan Masjid Quba
Semasa hayatnya, Nabi Muhammad kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat. Mengikut hadis dari Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah pernah berkunjung ke Quba' dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki.
Telah diceritakan bahawa Nabi menziarahi Masjid Quba' pada tiap-tiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadang-kadang baginda pergi ke sana pada hari Isnin.[1][2](Riwayat Bukhari dan Muslim.)
Sabda Nabi lagi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)
Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi bersabda: Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba' pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah. [3]
Seni reka
Masjid Quba telah siap dibina semula dalam tahun 1986 Masihi. Kerajaan Arab Saudi telah meminta Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek Mesir untuk membina semula Masjid Quba. Abdel Wahid asalnya hendak mengekalkan struktur masjid yang lama dan digabungkan dengan bangunan baru. Tetapi Kerajaan Arab Saudi berkeras untuk meruntuhkan bangunan Masjid yang lama.
Masjid Quba mempunyai dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempat di tingkat dua. Dewan solat disertakan dengan kawasan kediaman petugas masjid, pejabat masjid, bilik wuduk, kedai-kedai dan juga sebuah perpustakaan.
Terdapat 6 buah pintu masuk sebagai tambahan kepada pintu masuk utama di bahagian utara, selatan dan timur masjid ini. Masjid ini mempunyai empat menara, dengan satu menara disetiap penjuru dewan solat. Masjid ini mempunyai kawasan lapang yang boleh dilindungkan dengan bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.