Mas Idayu 1001 merupakan album keenam penyanyi dangdut Mas Idayu yang diedarkan pada tahun 2002 oleh Syncrosound Studio. Album ini merupakan album dangdut pertama Mas Idayu yang tidak diterbitkan oleh Ruslan Imam setelah tamat kontrak bersama Warner Music. Album ini tampil dengan hits "Hasrat Perindu", "Habibi Milkuh" dan "Tari Jari Jemari". Ketika ini Ayu beralah dengan permintaan stesen radio yang tidak mahukan genre dangdut asli lalu mengambil inisiatif memasukkan elemen arab dan padang pasir untuk album ini[1]. Hasilnya beberapa lagunya diputarkan oleh stesen radio biarpun kebanyakan lagu-lagu lain yang tidak dijadikan single masih mengekalkan konsep dangdut. Lagu "Hasrat Perindu" ciptaan Adnan Abu Hassan berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-18 dalam kategori Etnik Kreatif. Namun begitu, setelah setahun dipasarkan, jualan album tersebut dilihat tidak begitu memberangsangkan biarpun lagu-lagunya popular di radio. Ayu sempat menyelar syarikat rakaman yang dikatakan tidak membuat promosi secara menyeluruh[2].