Maharaja Jimmu

Maharaja Jimmu
Maharaja Pertama Jepun
Maharaja Jimmu
Pemerintahantidak diketahui - 11 Mac 585 SM
DimakamkanUnebi-yama no ushitora no sumi no Misasagi (Nara)
PenggantiMaharaja Suizei

Maharaja Jimmu (神武天皇, Jinmu-tennō); juga dikenali sebagai: Kamuyamato Iwarehiko-no-Mikoto (神倭伊波礼琵古命); nama berian: Wakamikenu no Mikoto (若御毛沼命) atau Sano no Mikoto (狹野尊), ialah tokoh legenda yang dipercayai sebagai pengasas negara Jepun dan juga maharaja pertama yang tertera dalam senarai maharaja tradisional.[1]

Wangsa diraja Jepun sejak dahulu lagi menuntut takhtanya berasaskan keturunannya dari Jimmu. Zaman hayat dan pemerintahan maharaja ini tidak dapat lagi ditentukan dengan tarikh bulat, begitu juga dengan para pewaris terawalnya. Zaman pemerintahan Maharaja Kimmei (509?-571), iaitu maharaja Jepun yang ke-29 mengikut susunan pewarisan tradisional, ialah zaman maharaja pertama yang dapat ditentusahkan tarikh-tarikhnya oleh bidang historiografi masa kini.[2]

Naratif legenda

Menurut penceritaan legenda dalam buku Kojiki, tokoh bersejarah ini diputerakan pada 13 Februari 711 SM (1hb pertama dalam kalendar Cina), dan mangkat pada 11 Mac 585 SM (kedua-dua tarikh berasaskan kalendar Jepun lama yang berbentuk qamari-suria).

Nama-nama dan tarikh-tarikh maharaja terawal yang diterima umum tidak dapat disahkan sebagai "tradisional" sehinggalah pemerintahan Maharaja Kammu (737–806), iaitu pemerintah ke-50 wangsa Yamato.[3]

Menurut kepercayaan agama Shinto, Jimmu dipercayai merupakan keturunan terus dari dewi matahari, Amaterasu. Amaterasu ada seorang putera bernama Ame no Oshihomimi no Mikoto, dan darinya ada cucunda bernama Ninigi-no-Mikoto. Amaterasu menghantar cucundanya ke kepulauan Jepun di mana beliau mengahwini Konohana-Sakuya-hime. Mereka ada tiga anak lelaki, salah seorangnya Hikohohodemi no Mikoto, juga dikenali sebagai Yamasachi-hiko, mengahwini Toyotama-hime, iaitu puteri kepada dewa laut Ryūjin. Yamasachi-hiko dan Toyotama-hime melahirkan anak tunggal bernama Hikonagisa Takeugaya Fukiaezu no Mikoto. Anak itu ditinggalkan oleh ibu bapanya sewaktu lahir lalu dibesarkan oleh Tamayori-hime, adik kepada ibunya. Lama-kelamaan, Hikonagisa dan Tamayori-hime pun berkahwin dan melahirkan empat anak lelaki, yang bongsunya ialah Maharaja Jimmu.

Dikatakan juga sebaik sahaja Jimmu mula memerintah, terlantiknya seorang Pengacara Majlis (saishu). Jawatan ini lazimnya dipegang oleh seorang ahli puak Nakatomi semenjak abad ke-8.[4]

Penghijrahan Jimmu

Catatan-catatan mitos dalam Kojiki dan Nihon Shoki menyatakan bahawa kanda-kanda Jimmu lahir di Takachiho, di bahagian selatan Kyūshū (kini wilayah Miyazaki), kemudian hendak berpindah ke arah timur kerana Takachiko didapati tidak sesuai sebagai tempat memerintah seluruh negara. Seorang kanda kepada Jimmu, Itsuse no Mikoto mula memimpin perjalanan mereka ke arah barat merentasi Laut Pedalaman Seto dengan bantuan orang besar tempatan bernama Sao Netsuhiko. Setibanya di Naniwa (kini Ōsaka), sekali lagi mereka bertembung dengan seorang besar, iaitu Nagasunehiko ("sang kaki panjang"), lalu mereka bertempur sehingga Itsuse gugur. Jimmu sedar bahawa mereka ditewaskan kerana mereka bertempur ke arah timur melawan Matahari, jadi beliau hendak mendarat di bahagian timur Semenanjung Kii dan bertempur ke arah barat. Mereka mencapai Kumano, dan dengan bantuan seekor burung berkaki tiga bernama Yatagarasu ("gagak lapan rentang"), berpindahnya mereka ke Yamato, di mana sekali lagi mereka melawan Nagasunehiko sehingga berjaya.

Di Yamato, Nigihayahi no Mikoto yang juga mendakwa dirinya sebagai keturunan dewa-dewi Takamagahara, menerima perlindungan Nagasunehiko. Bagaimanapun, sebaik sahaja bertemu dengan Jimmu, maka Nigihayahi pun mengiktiraf hak Jimmu sebagai pemerintah lalu membenarkan baginda naik takhta.

Makam rasmi Maharaja Jimmu ditemui di Kashihara, wilayah Nara, tidak jauh dari Tokong Kashihara.

Menurut Kojiki, ajal menemui Jimmu pada usia 126 tahun. Nama anumerta maharaja ini membawa erti harfiah "kekuatan ketuhanan" atau "pahlawan dewa". Tidak dinafikan bahawa penamaan ini berbentuk kecinaan dan berunsur agama Buddha, yang membayangkan bahawa nama ini mungkin dibiasakan beratus-ratus tahun selepas zaman anggapan hayat Jimmu, mungkin sekali sezaman legenda asal-usul wangsa Yamato dihimpunkan menjadi kisah riwayat yang kini dikenali sebagai Kojiki.[3]

Kaitan Maharaja Jimmu dengan dasar peluasan kuasa Jepun

Upacara Penubuhan Tugu Hakkō ichiu. Pada bahagian hadapan tugu ini terukirnya karya kaligrafi Hakkō ichiu oleh Putera Chichibu.
Maharaja Jimmu menjadi tokoh peringatan kebangsaan pada Februari 1940.

Dalam takwim qamari-suria Jepun yang lama, Hari Tahun Baru disambut hari pemerintahan Maharaja Jimmu.

Pada tahun 1872, kerajaan Meiji mengisytiharkan 11 Februari 660 SM, dalam takwim Gregory sebagai hari penubuhan negara Jepun. Tarikh penuh mitos ini diperingati sebagai hari perayaan Kigensetsu ("Hari Zaman") dari tahun 1872 hingga 1948. Sambutan Kigensetsu pada tahun 1940 menjadi titik pertikaian pada masa kini; tetapi ketika itu pada awal zaman Shōwa, segala persoalan diketepikan apabila seluruh negara memperingati apa yang dihitungkan sebagai 2,600 tahun sejak bermulanya pemerintahan Maharaja Jimmu.[5] Perayaan ini digantung selepas berakhirnya Perang Pasifik, sehingga sambutannya dipulihkan pada tahun 1966 sebagai hari cuti kebangsaan Kenkoku Kinen no hi ("Hari Penubuhan Negara").

Sejak tahun 1928, pemerintahan Maharaja Shōwa dikaitkan dengan penemuan semula Hakkō ichiu sebagai suatu unsur fahaman perluasan kuasa dalam kepercayaan nasionalisme Jepun.[6] Perjanjian pengehadan tentera laut pada tahun 1921 dan terutamanya sekali tahun 1930, dilihat sebagai kesilapan besar kerana memberi kesan luar jangkaan kepada pergelutan politik dalaman di Jepun; dan perjanjian-perjanjian inilah yang memberikan pemangkin semangat luaran yang membangkitkan unsur-unsur ketenteraan reaksioner sehingga terjadinya tindakan-tindakan terdesak yang lambat-laun menyelubungi unsur-unsur sivil dan liberal dalam masyarakat.[7] Evolusi Hakkō ichiu ini berperanan sebagai ujian getir kepada perhubungan sesama paksi sepanjang dekad yang seterusnya.[8]

Pada tahun 1940, rejim Shōwa mendirikan binaan baru di tapak legenda istana Maharaja Jimmu, berhampiran Miyazaki, iaitu Menara Hakkō yang melambangkan hak ketuhanan Empayar Jepun untuk "menyatukan lapan sudut di dunia". Ungkapan lama Hakkō ichi'u yang digunakan oleh Maharaja untuk menghuraikan penyatuan semula dunia di bawah pemerintahan sucinya, diperintahkan kepada segala taklukan Jepun.[9]

Lihat juga

Petikan

  1. ^ Titsingh, Isaac. (1834). Annales des empereurs du Japon, pp. 1-3; Brown, Delmer et al. (1979). Gukanshō, p. 249; Varley, Paul. (1980). Jinnō Shōtōki, pp. 84-88.
  2. ^ Titsingh, pp. 34-36; Brown, pp. 261-262; Varley, pp. 123-124.
  3. ^ a b Aston, William. (1896). Nihongi, pp. 109-137.
  4. ^ Brown, p. 249 n10.
  5. ^ Brownlee, John. Japanese Historians and the National Myths, 1600-1945: The Age of the Gods, pp. 136, 180-185.
  6. ^ Bix, Herbert. (2001). Hirohito and the Making of Modern Japan, p. 201.
  7. ^ Morrison, Samuel Eliot. (1948). History of United States Naval Operations in World War II: The Battle of the Atlantic, September 1939 - May 1943, pp. 3-10.
  8. ^ GlobalSecurity.org: "Kodo (Way of the Emperor)"
  9. ^ Earhart, David C. (2007). Certain Victory, p. 63.

Rujukan

Pautan luar

Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Pembentukan baru
Maharaja Jepun Berlegenda
660-585 BC
(tarikh tradisi)
Diikuti oleh:
Majaraja Suizei

Strategi Solo vs Squad di Free Fire: Cara Menang Mudah!